Berang kucing peliharaannya dibunuh, wanita berusia 41 tahun nekad membalas dendam dengan memukul teman serumahnya menggunakan tukul hingga maut.
Tidak cukup hanya membunuh, mayat lelaki berusia 39 tahun itu dikerat-kerat dengan gergaji rantai sebelum disumbat di dalam lima beg plastik hitam.
Daily Mail melaporkan, suspek kini direman bagi membantu siasatan.
Menurut laporan, Anastasia Kh didakwa membuang dan membakar bahagian tubuh mangsa di dalam pasir di Kirov, St Petersburg, Rusia iaitu hampir lima kilometer dari rumah mereka.
Mayat mangsa kemudian ditemui seorang lelaki yang sedang berjalan bersama anjingnya sebelum memaklumkan kejadian kepada polis.
Beg hitam yang dibakar dalam pasir
Polis turut menemui tulang kaki, rusuk, bahu, bahagian pelvis dan kulit mangsa, lapor akhbar tempatan Komsomolskaya Pravda.
Dalam satu kenyataan polis, selain memukul kepala mangsa dengan tukul, suspek juda didakwa menyepak lelaki itu beberapa kali sebelum mengerat tubuhnya.
Polis berkata, mereka sudah lama bersengketa gara-gara kucing wanita terbabit dan kemuncaknya, suspek naik hantu apabila mangsa membunuh haiwan peliharaannya hingga dia nekad membalas dendam.
Foto: Daily Mail
Hasil pemeriksaan juga menemui kesan darah di atas lantai di kediaman dikongsi mangsa dan suspek.
Sementara itu, pakar forensik berkata, mayat mangsa dikerat dengan cara yang sangat 'profesional'. - CARI |