THULASENDRAPURAM: Berita kemenangan Kamala Harris sebagai Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) diraikan oleh penduduk di kampung halaman datuknya di India dengan penuh kemeriahan.
Sekumpulan penduduk Thulasendrapuram, sebuah perkampungan kecil dihuni 350 orang, berhimpun di pinggir jalan membaca surat khabar dan berbual mengenai kemenangan calon Demokrat itu sebelum menuju ke sebuah kuil.
Seorang wanita menulis ucapan tahniah kepada Harris dengan kapur berwarna di luar rumahnya dan menganggapnya sebagai kebanggaan kampung mereka.
Ketika menunggu keputusan pemilihan, sebilangan besar daripada mereka sudah pun tidur apabila Joe Biden memperoleh 270 undi elektoral untuk dipilih sebagai Presiden AS.
Serentak itu, Harris menjadi wanita pertama dan orang pertama keturunan Asia Selatan yang dipilih sebagai Naib Presiden di AS.
Penduduk kampung, Kalidas Vamdayar, berkata sejak dua tiga hari lalu, mereka terus berharap nasib menyebelahi Harris sementara menunggu keputusan yang tertangguh.
"Sekarang adalah saat menggembirakan bagi kita dan kami menikmatinya sambil meraikan dengan membakar mercun, memberikan gula-gula kepada orang ramai serta berdoa di kuil.
Sementara itu, Perdana Menteri India, Narendra Modi, menyifatkan kejayaan Harris sebagai kejayaan besar dan kebanggaan yang luar biasa bukan hanya untuk saudara-maranya tetapi juga untuk semua orang India di AS.
"Saya yakin bahawa hubungan India dan AS yang rancak akan semakin kukuh dengan sokongan serta kepimpinan anda," katanya. - AGENSI
Sumber : BeritaHarian |