Penyanyi, Siti Sarah Raisuddin, 37, yang positif Covid-19 masih tidak sedarkan diri sejak ditidurkan petang Jumaat lalu untuk menjalani pembedahan mengeluarkan bayi dalam kandungannya.
Terbaru, Pakar motivasi, Datuk Dr Mohd. Fadzilah Kamsah memberitahu beliau dapat merasakan ada "gangguan lain" yang sedang mengganggu Siti Sarah yang kini masih dirawat dan dalam keadaan koma di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
Jesteru, beliau menyarankan agar suami selebriti berkenaan, Shuib Sepahtu agar mendapatkan kebenaran pihak hospital bagi memasang bacaan ruqyah buat isterinya, lapor Kosmo.
"Saya sarankan kepada Shuib, minta kebenaran daripada pihak hospital untuk membuka bacaan ayat-ayat Ruqyah di katil Siti Sarah. Sebab saya dapat rasakan ada gangguan lain pada dia. Gangguan tersebut agak mengganggu dia," ujarnya selepas sesi bacaan Yassin buat selebriti tersebut.
Beliau juga mencadangkan rawatan menggunakan Asmaul Husna serta bacaan al-Fatihah bagi mendoakan Siti Sarah.
"Kaedah merawat selain ubat dan teknologi moden adalah Asma al-Husna. Itu adalah terapi untuk semua jenis gangguan.
"Selain itu saya minta semua orang yang ada di sini, tengok gambar Siti Sarah dan bacakan al-Fatihah. Boleh juga baca apa sahaja doa.
"Kemudian hembuskan kepada gambarnya. Dengan niat supaya Allah sembuhkan dia. Mana tahu dalam lebih 1,000 orang yang berbuat demikian, ada seseorang yang Allah angkat doanya," jelasnya lagi.
Dalam perkembangan terkini juga, Shuib memaklumkan keadaan isterinya, Siti Sarah adalah pada tahap sangat tidak baik ketika ini kerana tahap oksigen isterinya menurun sehingga ke paras 40.
Perkara itu dikongsi Shuib sebelum majlis bacaan Yassin dan doa selamat yang dihadiri hampir 1,000 ahli keluarga, rakan dan dan peminat untuk Siti Sarah secara virtual dimulakan, malam tadi.
Sama-sama kita doakan kesembuhan buat Siti Sarah. Semoga beliau diberi kekuatan, dihilangkan kesakitan dan kembali sedar. - CARI
|