Seorang cef maut dipatuk seekor ular tedung ketika menyediakan hidangan sup ular tersebut di sebuah restoran di China, lapor akhbar Daily Star.
Ketika kejadian, Peng Fan dari bandar Foshan telah menghabiskan masa selama 20 minit untuk menyediakan juadahnya dan memotong kepala ular tedung berbisa tersebut.
Ketika mencapai kepala haiwan itu untuk dibuang ke dalam tong sampah, ia secara tiba-tiba mematuk lelaki itu.
Kredit foto: Getty Images
Menurut seorang pelanggan, Lin Sun, 44, dia sedang makan di restoran tersebut bersempena sambutan ulang tahun kelahiran isterinya apabila suasana tiba-tiba menjadi kecoh.
“Kami tidak tahu apa yang sedang berlaku, namun mendengar jeritan dari arah dapur.
“Pekerja restoran kemudiannya menghubungi doktor namun sebaik sahaja bantuan perubatan tiba, lelaki itu dilaporkan sudah mati. Selepas mendengar berita itu, kami terus berhenti makan,” katanya.
Bisa daripada ular tedung itu mengandungi neurotoksin yang boleh membunuh dalam masa 30 minit, mengakibatkan lumpuh dan membuatkan mangsa mengalami sesak nafas sehingga boleh membawa maut.
Terdapat penawar bagi bisa tersebut, namun ia perlu diberikan kepada mangsa secepat mungkin.
Sementara itu, menurut seorang pakar, ular dan beberapa reptilia lain masih boleh bergerak sehingga satu jam selepas dibunuh.
“Tidak mustahil haiwan itu masih hidup dan menggigit tangan Peng Fan. Selepas kepalanya dipotong, ia dianggap telah mati namun masih terdapat pergerakan reflektif.
“Ini bermakna ular masih boleh mematuk meskipun selepas kepalanya cedera teruk,” kata pakar tersebut. -CARI
Sumber: Kosmo |