|
Pinjam semangat Beyonce
Oleh Farihad Shalla Mahmud
SEBELUM ini memang ramai yang mengaitkan dirinya dengan penyanyi sensasi Beyonce Knowles. Barangkali ia ada kaitan dengan penampilan penyanyi kelahiran, Kuching, Sarawak ini yang dikatakan persis anggota kumpulan Destiny's Child itu. Walaupun agak kurang selesa apabila namanya dikaitkan dengan penyanyi itu, namun satu hakikat yang tidak dapat dinafikan penyanyi Dayang Nurfaizah Awang Dowty adalah dia memang meminati figura yang memang terkenal dengan imej seksi itu.
Justeru, apabila berpeluang menyaksikan konsert jelajah dunia Beyonce, The Beyonce Experience World Tour di Jakarta, awal bulan lalu, Dayang menganggap apa yang berada di depan matanya itu ibarat bulan jatuh ke riba.
Terpancar wajah kepuasan yang tidak terhingga sewaktu bercerita pengalamannya selama dua jam menyaksikan konsert idola kesayangannya itu.
"Bayangkan dia boleh menyanyi dan dalam waktu yang sama menari tanpa rasa penat. Ketika konsert bermula, Dayang macam tidak percaya yang Beyonce berada di depan mata Dayang. Terpaku seketika, tak tahu nak cakap apa," ujar Dayang yang kini muncul dengan imej baru berambut pendek yang dipotong separas. Nampak lebih muda dan segar sesuai dengan usia 26 tahun yang baru dicapainya.
Biarpun terpaksa mengeluarkan belanja yang mahal namun bagi Dayang, dia tidak kisah itu semua kerana baginya persembahan Beyonce memang berbaloi untuk ditonton.
"Pentas tempat untuk dia mengadakan persembahan itu biasa saja tapi kekuatannya memang dari segi showmanship dan juga vokal. Dia tidak perlukan hiasan pentas yang hebat-hebat. Yang penting dia mahu peminat memberi tumpuan padanya. Itulah yang Dayang pelajari sewaktu menyaksikan konsert itu tempoh hari," cerita Dayang lagi.
Kalau sudah namanya peminat, tidak lengkap rasanya menonton konsert jika tubuh tidak sama bergoyang mengikut alunan muzik. Dan perasaan Dayang turut dibuai dengan alunan muzik Beyonce yang cukup sensual dan menggetarkan jiwa yang mendengarnya.
"Puas hati sangat apabila dia menyanyikan hampir kesemua lagu popularnya dalam konsertnya itu," ujar Dayang. Antara lagu yang dialunkan penyanyi ini adalah Crazy In Love, Dangerously in Love, Listen, Naughty Girl, Irreplaceable dan Deja Vu
Diusik pertanyaan apakah dia ingin meniru apa yang dilakukan Beyonce itu, Dayang berkata kalau sekadar menjadi inspirasi, tidak menjadi masalah baginya.
"Dayang tertarik dengan cara dia berinteraksi dengan penonton dan aksinya di atas pentas, tapi untuk menjadi seperti dirinya yang begitu berani di atas pentas, itu tidak mungkin. Biarlah Dayang meminjam semangatnya saja untuk menghiburkan orang ramai," kata Dayang ketika ditemui pada majlis sesi bertemu peminat sempena konsert akustika Live & Loud 07 di Cineleisure, Mutiara Damansara, baru-baru ini.
Turut bersama Dayang menyaksikan konsert itu, pengurusnya Sharliza dan juga Ratu Jazz, Sheila Majid. Manakala artis Indonesia yang ditemuinya ialah Kris Dayanti, Agnes Monica, Harvey Malaiholo, Titi DJ, Dewi Sandra dan Shanty.
TANGGAL 29 November ini menjadi detik paling bersejarah buat penyanyi berkulit hitam manis ini apabila bakal berkongsi pentas dengan penyanyi antarabangsa, James Morrison dan Rick Price. Suara gemersiknya itu bakal berkumandang memenuhi segenap Dewan Plenary Kuala Lumpur Convention Centre sempena festival Muzik Live & Loud 07 bermula 23 November hingga 2 Disember depan.
"Apabila mendapat tahu yang Dayang bakal menghiburkan penonton menerusi konsert akustika ini serta berkongsi pentas dengan dua artis terkenal, Dayang cukup teruja. Biarpun ini bukan kali pertama Dayang berkongsi dengan artis luar, pertama kali sewaktu konsert Force of Nature dan 3 Diva, namun perasaan gementar tetap ada. Tapi pada masa yang sama, rasa macam tak sabar nak buat persembahan," luah penyanyi yang terkenal dengan lagu berentak R&B ini.
Mengulas persediaannya untuk konsert akustika itu, jelas Dayang dia akan menjalani rutin latihan yang biasa dilakukan setiap kali diundang untuk mengadakan konsert.
"Macam biasa, Dayang akan tumpukan dari segi latihan vokal dan juga muzik kerana ini adalah sebuah konsert akustika. Lagipun, Dayang baru saja selesai mengadakan showcase di No Black Tie. Kebetulan, persembahan itu mempunyai persamaan dengan konsert yang akan saya adakan," kata Dayang. Antara lagu yang akan dinyanyikan adalah Ain't No Sunshine, It Ain't Over Till Its Over dan Kasih yang disifatkannya serasi untuk konsep akustika.
INFO
Konsert Akustika
Artis: Dayang Nurfaizah, James Morrison dan Rick Price
Tempat: Dewan Plenary, Kuala Lumpur Convention Centre
Tarikh: 29 November 2007
Harga Tiket: RM300, RM230, RM180 dan RM130
PROFIL
Dayang Nurfaizah Awang Dowty
Panggilan: Dayang
Tarikh Lahir: 20 Julai 1981
Tempat Lahir: Kuching, Sarawak
Status: Bujang
Album: Dayang Nurfaizah (1999), Seandainya Masih Ada Cinta (2001), Di Sini Bermula (2002), Hembusan Asmara (2002), The Best of Dayang Nurfaizah (2003), Dayang Sayang Kamu (2004), Dayang Sayang Kamu - Repackaged (2005), Kasih (2006) Buat Kamu - Repack (2006, Dayang MTV Karaoke (2006) dan Dayang 20 07 (2007)
Kejayaan: Juara Bintang Remaja Asli Kuching (1996), Juara Golden Teen Search RTM (1997), Juara Bintang Remaja Kuching (1997), Juara Bintang, Penghibur HMI (2001), Juara Kategori Lagu Popular/Seandainya Masih Ada Cinta/Anugerah Planet Muzik (2001), Juara Kategori Balada/Seandainya Masih Ada Cinta/Anugerah Juara Lagu (2001), Lagu Sepanjang Tahun/Seandainya Masih Ada Cinta/AIM (2002), Juara Kategori Etnik Kreatif/Erti Hidup/Anugerah Juara Lagu (2004), Juara Muzik Global/Erti Hidup/Anugerah Era (2005) dan Juara Kategori Kejuruteraan Album Terbaik/Kasih/AIM (2006) Finalis Ikon Malaysia (2007) |
|