|
ADUH, panas sungguh telinga Papa apabila mendapat panggilan daripada seseorang yang hanya mahu menamakan dirinya sebagai Bad.
Apa yang Bad mahu sampaikan kepada Papa ialah kisah seorang artis kontroversi yang rupanya kini sedang hebat menjalin hubungan dengan seorang putera raja dari sebuah negeri yang cukup terkenal.
Kalau disebut nama artis wanita itu dan kekasihnya dari golongan bangsawan itu, sudah tentu ramai yang akan terlopong.
Khabarnya, mereka sudah lama saling mengenali antara satu sama lain dan kini sedang ralit memadu kasih.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka amat sukar untuk meneruskan hubungan cinta ke peringkat yang serius kerana anak raja itu sudahpun mempunyai keluarga sendiri.
Pada masa yang sama, aktres itu juga terlalu muda untuk memikirkan hal rumah tangga.
Apatah lagi, ketika ini aktres berkenaan juga terikat dengan pelbagai tawaran berlakon.
Sebelum menemui putera raja ini, aktres berkenaan pernah menjalin hubungan kasih dengan anak seorang jutawan yang berpengaruh.
Hubungan intim mereka seperti yang dilaporkan media memperlihatkan keluarga kedua-dua belah sangat menyenangi dan merestui hubungan mereka.
"Yang saya tahu, sebelum ini, dia cukup bahagia dengan teman lelakinya. Malah, saya lihat mereka memang cocok sekali. Namun, apabila bertemu anak raja, si aktres itu mengambil jalan untuk memutuskan hubungan dengan kekasihnya," kata Bad panjang lebar.
Melopong mulut Papa apabila mendengar kisah Bad dan seandainya kisah ini benar, Papa memang hilang rasa hormat kepada artis ini.
source:utusan |
|