|
Post Last Edit by lemak_masin at 14-10-2010 20:33
CHOO dan isteri, Siew menunjukkan sebuah model rumah menawarkan set perabot kompleks dan pelbagai aksesori sampingan.
PELBAGAI pilihan ruang boleh dicuba namun kreativiti menentukan keunikannya.
Pre-sen-te beri pilihan aksesori comel teknik DIY
MANIS dan menawan kamar tidur mahu pun sudut kediaman diserikan replika perabot mini dalam bingkai comel. Selain berciri tiga dimensi, ia menggamit tumpuan kerana menawarkan suasana ruang sebenar sebuah bilik seperti bilik kanak-kanak, ruang berdandan, bilik air serta ruang tamu.
Lebih menarik lagi, ia bukan hiasan biasa kerana memerlukan kreativiti dan kesabaran tinggi berikutan cirinya sebagai aksesori pasang sendiri atau ‘DIY.’
Tidak hairanlah, Pre-sen-te - kedai hiasan dalaman yang memperkenalkan produk dari China itu menerima sambutan hebat kerana mengetengahkan pilihan aksesori DIY berkenaan.
Namun, usah bimbang kerana seperti diakui pemiliknya, YT Choo, Pre-sen-te mengutarakan pelbagai rekaan dengan tahap kesukaran berperingkat iaitu permulaan set asas bilik sehingga cabaran menyiapkan sebuah rumah.
“Bagi mereka pertama kali mencuba, elok memilih set asas yang menawarkan gaya penataan ringkas seperti bilik bayi, bilik mandi dan ruang sarapan. Jika set lebih menguji minda dengan perabot rekaan kompleks, mereka boleh mencuba aksesori tambahan bersaiz mikro selain cabaran pendawaian elektrik khususnya untuk pencahayaan,” katanya yang mengusahakan kedainya itu bersama isteri, Serene Siew.
Apa yang menarik, setiap set asas dijual pada harga berpatutan iaitu RM30 dengan 18 pilihan tema penataan, antaranya; Happy Breakfast, Magic World, Fantasy Dressing Room dan bermacam lagi.
“Setiap set menawarkan cabaran tersendiri dan memerlukan sehingga dua jam untuk disiapkan. Bahagian paling rumit membabitkan urusan menjahit misalnya, jahitan manik, tilam, gebar selesa dan langsir. Selebihnya, kesabaran diperlukan untuk mencantum dan melekat rangka perabot, kertas dinding serta lantai.
“Jika diteliti, kebanyakan material digunakan untuk replika itu boleh didapati di sekeliling kita terutama papan serta bod yang membentuk perabotnya. Sebab itu, saya katakan, model ini berupaya membina kemahiran dan kreativiti bagi yang mahu berfikir, misalnya, gantikan fabrik cadar dengan kain sendiri, gambar dalam bingkai dengan potret peribadi malah sekecil-kecil perhiasan seperti selipar, terendak lampu boleh ditukar,” katanya.
Bagi set yang tinggi tahap kesukarannya, boleh mencecah hingga ratusan ringgit bergantung skop ruang, luas pekan lantai, bilangan perabot serta aksesori termasuk struktur dan seni bina rumah.
“Antara model boleh dicuba seperti kedai kek, kafe, studio muzik bahkan sebuah rumah dua atau tiga tingkat. Mereka yang berjaya menyiapkan model rumah setingkat, meminta saya carikan set kediaman dua dan tiga tingkat pula namun dilengkapi tangga, balkoni dan loteng,” katanya.
Choo berkata, selain set model sedia ada, pelanggan berpeluang membuat tempahan reka bentuk rumah diingini berserta kelengkapan di dalamnya.
“Ada pelanggan mencadangkan dijual set model rumah tradisional seperti rumah kampung, Cina Peranakan dan sebagainya berserta perabot, kemasan serta perhiasan sejajar konsep. Menerusi perunding dengan pembekal di China, mereka bersetuju mengadakannya namun mengisyaratkan kuantiti tempahan perlu lebih 300 unit. Justeru, bagi yang berminat, selain menyertakan kuantiti, perlu mengepilkan sekali gambar seni bina rumah, perabot, kemasan dan perhiasan kala membuat tempahan,” katanya yang turut menjual replika serta aksesori tambahan secara berasingan.
Meskipun, baru sebulan membuka perniagaan berkaitan kraf di Ikano, Mutiara Damansara di Petaling Jaya, Selangor, Choo berkata, pelanggannya bukan setakat peminat kraf dan mereka yang ingin mencari ole-ole buat yang tersayang, bahkan turut menerima tempahan dari peserta sekolah seni.
Pre-sen-te turut mempunyai gerai di gedung beli-belah Midvalley dan Sri Hartamas, Kuala Lumpur. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada emel [email protected].
Lemak_masin:FUHHHH!!! Macam best je hobi ni....NI mesti kene try ni.. |
|