Telah bercerita kepada kami Mu'adz bin 'Abdullah bin Khubaib dari ayahnya dari pamannya berkata; Kami berada disuatu majlis kemudian Rasulullah SAW datang, dirambut baginda ada sisa-sisa air, kami berkata; Wahai Rasulullah! Kami melihat Rasulullah sedang bahagia. Rasulullah SAW bersabda: "Benar." Kemudian orang-orang membincangkan kekayaan. Rasulullah SAW bersabda: "Tidak mengapa kekayaan bagi orang yang bertakwa kepada Allah dan kesihatan bagi orang yang bertakwa kepada Allah itu lebih baik (dari kekayaan) dan kebahagiaan jiwa itu termasuk sebahagian dari kenikmatan." (Musnad Ahmad No: 22144) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Kekayaan yang dimiliki oleh seseorang tidak tercela asalkan ia diurus dengan cara yang bertakwa.
2. Pemilik yang bertakwa akan memastikan sumber hartanya bersih lagi halal disamping menunaikan hak terhadap harta yang dimiliki seperti zakat dan sedekah.
3. Orang kaya yang dicela apabila ia tidak menunaikan hak harta dan tidak pernah merasa cukup dengan apa yang dimiliki.
Dari Abdullah bin Amr bin Al-Ash, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya sangat beruntung orang yang telah masuk Islam, diberikan rezeki yang cukup dan Allah menjadikannya merasa puas (qanaah) dengan apa yang diberikan kepadanya.” (HR Muslim no: 1746)
4. Kesihatan yang dimiliki oleh orang yang bertakwa kepada Allah itu lebih baik dari harta kekayaan. Kesihatan yang dimiliki tidak boleh ditukar dengan wang ringgit dan harta.
5. Kebahagiaan jiwa (ketenangan, ketenteraman dan kelapangan) merupakan sebahagian dari kekayaan kenikmatan hidup.
6. Memiliki wang ringgit dan kekayaan harta belum menjamin ketenangan jiwa.
Biar berharta, asalkan memiliki sifat qanaah (merasa cukup) dan sentiasa bersyukur dengan menunaikan hak-hak harta serta jiwa pemilik harta sentiasa merasa tenang dan bahagia.