Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) mengesahkan pihaknya menyaman sekumpulan pemandu kereta mewah yang didakwa memandu perlahan dan menghalang lalu lintas di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) atau jambatan kedua Pulau Pinang seperti yang tular dalam satu rakaman video sejak kelmarin.
Dalam kenyataannya semalam, Deputi Superintenden Mohd. Norazmi Abd. Ghapar berkata, rakaman tular yang dimuat naik ke dalam akaun Tik Tok milik seorang pengguna atas nama ‘panglimaperang’ kira-kira pukul 9 malam Jumaat menunjukkan deretan kereta mewah dipandu secara perlahan dan menghalang lalu lintas.
TANGKAP layar video yang tular dalam laman TikTok mengenai deretan kereta mewah yang didakwa dipandu perlahan dan menghalang lalu lintas di atas jambatan kedua Pulau Pinang
“Siasatan lanjut mendapati, kejadian berlaku pada 9 Jun (Jumaat) kira-kira pukul 12.30 tengah hari bermula dari KM (Kilometer) 3.8 dari arah Batu Kawan sehingga KM9.0 arah ke Batu Maung.
“Polis mengesahkan telah menerima laporan mengenai kejadian tersebut dan kertas siasatan juga telah dibuka di bawah Kaedah Lalu Lintas 1959 iaitu Kaedah 16 (1) LN 167/59 kerana melakukan halangan lalu lintas,” katanya.
Bagaimanapun, kata Mohd. Norazmi, kira-kira pukul 12.10 tengah malam semalam, kesemua pemandu berkenaan telah hadir ke ibu pejabat polis daerah (IPD) SPS untuk memberikan keterangan dan telah dikenakan saman.
“Dalam hal ini, polis sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan lalu lintas.
“Masyarakat juga diminta supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat mana-mana pihak yang melakukan kesalahan lalu lintas di atas jalan raya,” ujar beliau.
Sumber: UTUSAN |