KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 30 lokasi di sekitar Lembah Klang, ketika ini dikenal pasti menjadi tumpuan koloni warga asing dari pelbagai negara.
Lembah Klang yang terkenal dengan kepesatan pembangunan dan aktiviti perniagaan di bandar-bandar utama, besar, menjadi daya tarikan utama kehadiran warga asing untuk memenuhi keperluan pekerjaan yang terbuka luas untuk golongan itu.
Permintaan tinggi tenaga kerja dalam sektor pembinaan, perkhidmatan dan pembersihan menjadikan warga asing alternatif terbaik bagi majikan menggajikan mereka. Bagaimanapun, jumlah mereka yang terlalu ramai memberi impak kepada penduduk tempatan apabila mereka mula membina koloni dan mula mendominasi sesuatu kawasan.
DISYORKAN UNTUK ANDA
Tinjauan BH mendapati, kini beberapa kawasan sekitar Lembah Klang menjadi 'perkampungan' beberapa koloni warga asing sehingga menimbulkan rasa kurang senang orang ramai.
Warga Indonesia yang menjadi kelompok warga asing teramai di negara ini, bertaburan di seluruh Lembah Klang dengan kebanyakannya di pusat bandar Kuala Lumpur, Sungai Buloh, Ampang, Selayang, Shah Alam, Kajang, Rawang, Gombak, Puchong dan Klang.
Begitu juga dengan warga Bangladesh banyak kelihatan di Lebuh Ampang, Bukit Bintang dan Cheras Baru, manakala pelarian etnik Rohingya pula tertumpu di Ampang, Gombak dan Seri Kembangan.
Bukan setakat berani membuka perniagaan, malah koloni warga asing ini turut membina kemudahan sendiri seperti surau, kedai runcit, kedai makan dan sekolah, sekali gus membuktikan mereka sudah bertapak lama di Malaysia.
|