DUBAI: Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRG) berkata ia melancarkan ratusan dron dan peluru berpandu ke Israel lewat Sabtu, serangan yang mungkin mencetuskan pertempuran besar antara musuh ketat serantau, dengan AS berikrar untuk menyokong Israel.
Tentera Israel berkata lebih 100 dron, yang menurut sumber keselamatan Iraq, dilihat terbang di atas negara itu dari Iran, akan mengambil masa berjam-jam untuk mencapai sasaran mereka.
Media saluran 12 Israel berkata beberapa telah ditembak jatuh di Syria atau Jordan manakala agensi berita Iran memetik sumber mengatakan tenteranya turut melancarkan gelombang pertama peluru berpandu balistik terhadap Israel.
Iran berikrar membalas dendam bagi serangan Israel ke atas konsulatnya di Damsyik pada 1 April yang mengorbankan tujuh pegawai anggota IRG termasuk dua komander kanan.
Katanya, serangan itu adalah hukuman bagi 'jenayah Israel', walaupun regim Yahudi itu tidak mengesahkan mahupun menafikan bertanggungjawab ke atas serangan konsulat itu.
"Sekiranya rejim Israel membuat kesilapan lagi, tindak balas Iran akan menjadi lebih teruk," kata misi Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan memberi amaran kepada AS supaya 'jangan campur tangan' serta menganggap 'perkara itu selesai'.
Presiden AS, Joe Biden, yang memberi amaran kepada Iran supaya tidak menyerang Israel, memendekkan lawatan ke negeri asalnya, Delaware, untuk bertemu penasihat keselamatan negara di Rumah Putih, kata seorang pegawai.
Perang Gaza antara Israel dan Hamas yang kini memasuki bulan ketujuh, mencetuskan ketegangan di Asia Barat, dengan Lubnan dan Syria dan melepaskan tembakan jarak jauh ke Israel, sama seperti Yaman dan Iraq.
Syarikat keselamatan maritim Britain, Amery, dalam satu kenyataan berkata, dron juga dilaporkan dilancarkan terhadap Israel oleh kumpulan Houthi yang bersekutu dengan Iran di Yaman.
Pertempuran itu kini mengancam untuk berubah menjadi konflik terbuka langsung yang melaga-lagakan Iran dan sekutu serantaunya terhadap Israel serta penyokong utamanya, AS, dengan kuasa serantau Mesir menggesa semua pihak 'menahan diri' elakkan perang.
Pesawat pejuang A.S. dan Britain terlibat dalam menembak jatuh beberapa dron milik Israel di kawasan sempadan Iraq-Syria, lapor Channel 12. Tiga pegawai AS berkata tentera AS telah menembak jatuh pesawat dron tanpa menyatakan jumlahnya.
"Ini adalah peningkatan yang buruk dan berbahaya. Keupayaan pertahanan dan serangan kami berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi menjelang serangan berskala besar dari Iran ini," kata jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang pesawat rasminya berlepas sejurus selepas serangan bermula, mengadakan mesyuarat Kabinet perang di sebuah ibu pejabat tentera di Tel Aviv, kata pejabatnya. - REUTERS