Edited by maklukpenggoda at 13-10-2024 06:36 AM
LANGKAWI: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengalami kecederaan ringan apabila basikal dinaikinya ketika menyertai Ironman Malaysia di Langkawi, hari ini terbalik selepas terlanggar dahan pokok tumbang.
Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika bekas Menteri Belia dan Sukan beraksi dalam disiplin berbasikal sempena kejohanan peringkat antarabangsa yang sedang berlangsung di sini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, mengesahkan kemalangan membabitkan Ahli Parlimen berusia 31 tahun itu.
"Setakat ini, belum ada laporan bagaimana kemalangan berlaku dan sejauh mana tahap kecederaan dialami beliau.
"Cuma difahamkan Syed Saddiq masih dapat berkayuh menuju pusat pemeriksaan akhir sebelum beliau dipercayai terus beraksi untuk acara berikutnya iaitu larian," katanya ketika dihubungi.
Media sebelum ini melaporkan Syed Saddiq antara turut tersenarai sebagai peserta Ironman Malaysia kali ini.
Ironman Malaysia membabitkan tiga disiplin - berenang sejauh 3.8 kilometer (km), berbasikal 180km dan berlari sejauh 42.2km. BH
|