GABUNGAN pengarah dan pelakon baru dalam genre seram terbitan Primeworks Studios, Sesuatu Yang Tertinggal ternyata menjadi apabila ia mendapat sambutan memberangsangkan daripada peminat filem tanah air, sejak menjengah pawagam tempatan 5 Januari lalu.
Filem arahan pengarah muda, Asrul Hisyam ini mempertaruhkan gandingan pendatang baru di persada hiburan iaitu Zahiril Adzim, Shera Aiyob, Sara Ali dan Eina Azman.
Pengurus Besar, Filem Dan Drama, Primeworks Studios, Tengku Iesta Tengku Alaudin berkata, kutipan filem ini sudah melebihi RM1 juta sejak enam hari menjengah 66 pawagam tempatan.
“Pihak kami berpuas hati dengan jumlah kutipan awal filem ini. Pada masa sama, kami yakin jumlah itu akan terus meningkat sehingga tempoh tayangannya berakhir nanti.
“Hasil tinjauan kami di beberapa pawagam tempatan, rata-rata penonton memberi maklum balas memuji lakonan Sara Ali yang berjaya melakonkan watak gadis yang dirasuk hantu dalam filem ini. Lakonan Zahiril dan Shera juga tidak kurang hebatnya,” katanya.
Kata Iesta lagi, filem Sesuatu Yang Tertinggal menjalani penggambaran kira-kira dua tahun yang lalu.
“Semua pelakon utama seperti Zahiril juga masih baru ketika itu. Zahiril juga dikenali ramai sejak tahun lalu. Begitu juga dengan isterinya, Shera yang banyak berlakon filem sekarang.
“Pada masa sama, ia filem pertama garapan Asrul yang juga pengarah baru dalam bidang seni. Menyusul selepas filem ini, Asrul juga mengarah filem barunya yang juga genre aksi berjudul Pecah pada minggu lalu,” katanya.
Ternyata kata Iesta, filem genre seram masih relevan dan turut mendapat tempat daripada peminat filem tempatan.
“Apa yang menarik, Sesuatu Yang Tertinggal adalah filem seram pertama yang membuka tirai di pawagam pada 2012.
“Sebenarnya, Sesuatu Yang Tertinggal sudah dihasilkan sebelum isu membabitkan genre seram timbul. Walaupun ia bukan berdasarkan kisah benar, filem ini tetap mempunyai tarikan dan kekuatan tersendiri untuk menarik penonton ke pawagam berhampiran,” katanya.
Sesuatu Yang Tertinggal hasil tulisan Ienas Mokhtar ini menceritakan enam penghuni rumah anak yatim - Arshad (16), Mona (15), Zakiah (15), Ashraf (11), Daud (10) dan Murni (9) yang melalui satu pengalaman yang menghantui mereka ketika menetap di sebuah rumah lama.
Cerita bermula apabila mereka dan penghuni Rumah Anak Yatim Setia harus berpindah ke sebuah rumah yang diwakafkan oleh seorang lelaki.
Rumah itu adalah milik arwah datuknya. Sebuah almari antik dijumpai oleh anak-anak yatim berkenaan ketika proses pembersihan dan mereka mengambil keputusan untuk mengalihkan almari itu ke bilik yang lain.
Semasa mereka memindahkan almari itu, ia tergelincir dan menyebabkan lantai kayu usang terkopak. Arshad menjumpai sebuah cermin muka tua melalui celahan bahagian yang terkopak dan menghadiahkan kepada Mona tanpa mengetahui bahawa cermin itu bakal menjerumuskan mereka ke ambang misteri. Mona mula berubah sikap.
Bella, pelajar yang sering memperlekehkan Mona di sekolah dan seorang pengawas sekolah yang menyukai Mona dikejutkan dengan peristiwa ngeri yang menimpa mereka.
Daud pula cuba meyakinkan Arshad bahawa Mona dirasuk melalui penelitiannya pada komik-komik seramnya. Akhirnya mereka merancang sesuatu untuk memerangkap kuasa yang mendampingi Mona.
Berjayakah mereka?
Apakah sebenarnya yang mengganggu hidup Mona? Adakah cermin lama dan almari antik yang berada di dalam rumah lama itu saling bersangkut? |