|
ANGGOTA JPAM tergelak menunjukkan getah ikat rambut yang disangka ular
Melaka: Seorang suri rumah terkejut apabila menyangka ada ular berbisa di bawah katil ketika mengemas sebuah bilik rumahnya di Taman Kota Laksamana, di sini, kelmarin, sehingga menghubungi pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sedangkan ia sebenarnya getah pengikat rambut.
Dalam kejadian jam 6 petang itu, suri rumah warga emas yang mahu dikenali sebagai Puan Lim, berkata ketika kejadian, hanya saya dan suami berada di rumah.
“Selepas mengemas di tingkat bawah, saya masuk bilik tidur anak untuk mengemas dan terkejut apabila melihat ada ular berwarna hitam berbintik di bawah katil.
“Saya segera keluar dan menutup pintu bilik sambil menjerit memanggil suami yang kemudian menghubungi JPAM.
“Apabila anggota JPAM sampai, mereka membawa penyepit masuk ke bilik berkenaan.
“Namun apabila mereka menangkapnya, kami semua ketawa kerana benda yang disangka ular itu sebenarnya getah pengikat rambut,” kata Puan Lim yang kemudian memohon maaf kepada anggota JPAM.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya. |
|