|
Ratu jaz negara, Datuk Sheila Majid meluahkan rasa terkilan dengan sikap muda-mudi yang kini tiada adab dan tatasusila sebagai seorang masyarakat Timur.
Sheila atau nama sebenarnya Shaheila Abdul Majid, 50, berkata sekiranya adab tidak ditanam, lebih ramai golongan generasi Y tidak tahu erti sopan santun dan seterusnya akan menimbulkan pelbagai masalah tatasusila serta pergaulan.
"Apa yang saya nampak, sikap golongan remaja yang begitu terbuka sehingga lupa untuk menghormati orang lain perlu dibendung sebelum ia semakin menjadi-jadi.
"Saya sendiri pernah ditegur dengan beberapa remaja dengan cara yang sangat tidak sopan di mana mereka melihat cara teguran 'sempoi' dan 'cool'.
"Pendidikan awal di rumah menjadi asas dalam menyalurkan didikan dan asuhan kepada anak-anak supaya mengenal erti sopan santun.
"Sekarang ini, bukan sahaja ibu-bapa yang perlu peka tentang perkara ini, tetapi juga golongan pendidik dan kerajaan," tegasnya kepada mStar Online.
Datuk Sheila Majid
Sheila ditemui pada majlis pelancaran lagu tema filem Sinaran iaitu Sinaran Cinta di pusat karaoke Red Box di The Gardens di sini pada Selasa.
Sementara itu, Sheila bersyukur apabila ada pihak begitu menghargai bakatnya bagi menerbitkan filem Sinaran, sebuah karya muzikal yang menampilkan sebanyak sembilan buah lagu popularnya.
Antara lagu yang ditampilkan ialah Sinaran, Di Dalam Emosi Ini, Warna, Fikirkan Dahulu, Cinta Jangan Kau Pergi dan Antara Anyer Dan Jakarta.
Kesemua lagu itu telah disusun dan dinyanyikan semula oleh Malaque Mahdali dan Evan Sanders.
Manakala lagu temanya, iaitu Sinaran Cinta yang diciptakan oleh Kevin Chin dan Shahrom Rashid akan menjadi single baharu Sheila.
"Alhamdulillah, idea ini sudah diberikan pada beberapa tahun lalu dan tak sangka filem ini benar-benar dihasilkan.
"Satu penghargaan untuk saya apabila ada yang sanggup melaburkan wang menghasilkan filem muzikal lagu-lagu saya.
"Lagu Sinaran Cinta juga saya percaya peminat-peminat pasti menyukainya," ujar Sheila.
Sinaran merupakan filem arahan Osman Ali yang dibintangi oleh Lisa Surihani, Izara Aisyah, Syarif Sleeq dan Nadiah M.Din.
Ia bakal ditayangkan pada 26 November ini.
|
|