|
NEW SOUTH WALES, Australia – Kebimbangan sepasang pengantin baru di sini terhadap cuaca mendung pada majlis perkahwinan mereka bertukar menjadi pengalaman menakjubkan melalui rakaman gambar intim di dalam hujan memukau khalayak.
Sebelum itu, Jessica Gower, 30, dan suaminya, Nick Gower, sudah pun memeriksa keadaan ramalan cuaca memandangkan majlis tersebut diadakan di lokasi terbuka di Southern Highlands.
Bagaimanapun, hujan yang turun pada saat-saat akhir membuatkan jurugambar pasangan pengantin berkenaan, Thomas Stewart memanfaatkan panorama tersebut dengan merakam beberapa gambar.
“Apabila saya melihat foto tersebut di laman sosial Facebook yang dimuat naik Stewart, saya rasa seperti terawang-awang. Ia kelihatan seperti gambar cerita dongeng antara puteri dan putera raja,” kata Jessica.
Sementara itu, menurut Stewart dia hanya mengambil masa 30 saat dan lima percubaan merakam gambar momen paling istimewa itu dan ternyata ia menjadi sesuatu yang amat sempurna.
Pengguna media sosial turut melahirkan rasa kagum terhadap gambar tersebut yang mendapat lebih 25,000 Likes dan dikongsi hampir 10,000 orang. – Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/co ... 5.htm#ixzz3rF3rLBIm
Hakcipta terpelihara
|
|