LONDON 2 Mei – Seorang pegawai polis yang dilantik sebagai Ketua Polis Devon dan Cornwall yang baharu menjadi perhatian ramai wanita di Britain apabila digelar sebagai pegawai polis paling kacak negara ini.
Jim Colwell
Portal berita AOL melaporkan, semuanya bermula apabila Ibu Pejabat Polis Devon dan Cornwall menyiarkan berita pelantikan Superintenden Jim Colwell menerusi laman sosial Facebook.
Tambah laporan tersebut, gambar Colwell mendapat lebih 1,400 ‘like’ dan lebih 300 komen yang memuji wajah kacak pegawai polis tersebut berbanding pencapaiannya.
“Mungkin selepas ini aktiviti jenayah dalam kalangan wanita akan meningkat di kawasan ini,” kata seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Lisa Wood.
“Teringin untuk ditahan?,” soal seorang lagi pengguna Facebook, Maddie O’Neill. Di sebalik usikan tersebut, be­rita kenaikan pangkat Colwell turut menerima pujian beberapa individu termasuk pesara polis yang dikenali sebagai Neil Thomson.
“Colwell merupakan pegawai polis yang profesional dan baik kerana bertemu saya secara peribadi untuk mengucapkan selamat tinggal ketika saya bersara,” katanya. Pegawai polis lulusan Universiti Leicester itu menyertai perkhidmatan keselamatan pada 2001 sebelum menerima kenaikan pangkat sebagai pegawai polis penyiasat.
Seorang jurucakap polis berkata, Colwell terkenal menerusi kemahirannya menjalankan siasatan terutama membabitkan kes berprofil tinggi seperti insiden pelanggaran maut bot laju di Padstow pada 5 Mei 2013 selain kes pembunuhan dan penculikan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/ ... thash.frOxj1fN.dpuf
|