Ismail dedah ibu bapanya sudah dua tahun bercerai
KUALA LUMPUR: Selepas lebih dua tahun ibu bapanya memilih untuk berpisah, penyanyi Ismail Izzani, 24, mengakui ia bukanlah suatu perubahan yang mudah buatnya. Bagaimanapun, Ismail atau nama sebenarnya, Ismail Izzani Zainal Nazeri berkata, dia menyayangi ibu bapanya, justeru sentiasa mendoakan yang terbaik buat mereka meskipun tidak lagi tinggal sebumbung. "Bagi saya, ia agak berat sebab saya sendiri berjanji untuk berkongsi perkara ini. Tapi, saya sayangkan ibu bapa. Sudah tentu, saya sayangkan mama. "Pada penghujungnya, keputusan di tangan mereka. Bagi saya, selagi mama gembira dan selamat, saya sokong dan mungkin boleh buat lebih banyak benda yang dia nak buat.
"Jadi, ia baik-baik sahaja bagi saya. Sedih memang sedih sebab sudah tentu rindu 'vibe' raya bersama. Jujurnya, perubahan yang berlaku agak berat, tapi saya kena terima," katanya kepada BH Online. Ibunya yang juga penyanyi veteran 1980-an, Suliza Salam berkahwin dengan ahli perniagaan terkenal, Datuk Zainal Nazeri Zainuddin yang juga penerbit filem pada 11 Januari 1991. Bagaimanapun, pasangan itu tidak pernah berkongsi mengenai perceraian mereka.
Ismail berkata, dia cuba mengelak daripada terlalu emosional memandangkan dirinya satu-satunya anak lelaki, jadi perlu memberi sokongan pada ibu dan kakaknya. "Saya tak boleh emosional sebab saya kena sokong mama dan kakak. Saya juga satu-satunya anak lelaki dalam keluarga. "Selepas perpisahan terjadi, saya bertanggungjawab untuk memastikan mama dan kakak berada dalam keadaan baik. "Saya sekarang pun duduk dekat dengan rumah mama, tak jauh hanya enam minit sahaja jaraknya. Saya terpaksa duduk sendiri sebab saya kena ada studio di rumah, jadi kasihan mama kalau duduk dengan saya. "Takut bising mama tak boleh tidur," katanya yang ditemui pada majlis bersama peminat di Undefeated, The Exchange, di sini, semalam. Pada acara itu, peminat berpeluang menerima poster yang ditandatangani Ismail sambil menunjukkan bakat sepanjang acara. Ismail juga tampil dengan lagu baharu berjudul Iman yang disifatkan sebagai lagu cukup besar maknanya secara peribadi.
https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2024/09/1302748/ismail-dedah-ibu-bapanya-sudah-dua-tahun-bercerai
|