Lima nelayan Myanmar ditahan dengan lebih 2 tan hasil laut
Bot nelayan tempatan yang ditahan di perairan Kuala Tembeling, Kuantan. - Foto Maritim Malaysia
KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C kerana disyaki melanggar syarat sah lesen pada kedudukan 1.2 batu nautika dari tenggara perairan Kuala Tembeling, di sini semalam. Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab, berkata bot terbabit ditahan kira-kira jam 9 pagi ketika pihaknya sedang menjalankan rondaan Op Makmur. Katanya, pemeriksaan awal terhadap bot yang sedang bersauh itu mendapati ia dikendalikan lima warga Myanmar, termasuk tekong berusia antara 28 dan 40 tahun. "Hasil pemeriksaan lanjut, bot itu disyaki melanggar syarat sah lesen Akta Perikanan 1985 kerana tidak mempunyai permit kerja yang sah iaitu menggajikan pekerja warga asing tanpa kebenaran Pengarah Perikanan Malaysia
"Kes juga akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) ketika diperiksa," katanya dalam kenyataan hari ini. Mazlan berkata, bot berkenaan kemudian diarah masuk ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway bersama peralatan menangkap ikan serta hasil laut dianggarkan 2,300 kilogram untuk tindakan lanjut.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/10/1305991/lima-nelayan-myanmar-ditahan-dengan-lebih-2-tan-hasil-laut
|