|
taken from mstar.com.my
Mila tidak tercabar dengan Stacy?
oleh WAHIDA ASRANI
GADIS kecil molek ini pernah melakar sejarah tersendiri di dalam program Akademi Fantasia apabila dia berjaya memecah 'tradisi' AF dengan menjadi juara wanita pertama di dalam program realiti popular itu bagi musim yang kelima kira-kira setahun yang lalu.
Bakat yang dimiliki Nursyarmilla Jirin atau lebih mesra disapa Mila ini sememangnya tidak boleh dipertikaikan lagi.
Malah, gadis berusia 20 tahun ini juga turut mengukir sebuah lagi kejayaan apabila memenangi kategori Lagu Terbaik dan Anugerah Khas Juri bagi kategori Penyanyi Muda Berbakat pada 17th International Pop Music Festival yang telah berlangsung di Varna, Bulgaria, bulan lalu.
Pencapaian yang boleh dianggap hebat oleh penyanyi muda yang masih setahun jagung di dalam industri ini.
Namun, belum pun puas mengumpul kejayaan dalam karier seninya itu, Mila dikatakan bakal digugat dengan kehadiran juara wanita kedua AF, Stacie Angie Anam, atau Stacy yang baru saja dinobatkan sebagai pemenang AF6 baru-baru ini.
Gadis kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu dilihat mempunyai bakat yang tidak kurang hebatnya dengan Mila dan lantaran itu, ramai yang berpendapat 'kedudukan' penyanyi yang popular dengan lagu Persis Mutiara itu mungkin tidak akan 'selesa' seperti dulu.
"Saya tidak pernah berfikir seperti itu. Ini satu persaingan yang sihat. Kami bukan hanya bersaing sesama artis AF saja, tetapi dengan artis-artis lain di luar sana juga.
"Tidak pernah saya rasa tergugat atau sebagainya kerana kami masing-masing ada cara dan keistimewaan tersendiri.
"Nasihat saya untuk Stacy, just go ahead dengan apa yang telah diimpikannya sebelum ini.
"Perlu diingat, AF memang satu platform yang cukup baik, tetapi selepas itu kenalah pandai-pandai membawa ke mana arah tuju karier seni kita.
"Meskipun akan dibantu oleh Maestro, diri sendiri juga perlu meletakkan usaha yang tinggi.
"Apapun, saya memang kagum dengan bakat Stacy. Mungkin jika berkesempatan, tidak salah kalau kami dapat berduet bersama di dalam album," kata Mila yang ditemui pada majlis pelancaran Green@Palace di Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan, semalam.
Menurut penyanyi ini lagi, dia bersyukur dengan apa yang telah diraihnya setakat ini.
Namun, tidak pernah terlintas di hati penyanyi yang berasal dari Teluk Kumbar, Pulau Pinang ini untuk mendabik dada dengan apa yang dimilikinya itu.
Malah, Mila sendiri menganggap kontroversi atau gosip yang pernah melanda dirinya sebelum ini juga menjadi antara pembakar semangat untuk dirinya lebih berusaha keras untuk memastikan namanya akan terus bertahan di persada ini.
"Apa yang telah berlaku dulu saya tidak pernah anggap ia adalah perkara terburuk yang pernah terjadi di dalam hidup saya. Ia buatkan saya menjadi seorang yang lebih kuat sebenarnya," tutur gadis ini.
Berbicara mengenai perkembangan karier seninya, kata Mila, ketika ini dia sedang di dalam perbincangan untuk menerima sebuah tawaran berlakon, namun dia enggan mendedahkan sama ada tawaran tersebut untuk filem atau pun drama.
"Perkara itu masih lagi di dalam perbincangan dengan pihak Maestro sebenarnya. Secara peribadi, memang saya minat untuk berlakon, cuma tidak ada kesempatan sebelum ini.
"Bukan untuk menjadikannya sebagai karier, tetapi hanya sekadar mencuba. Saya pernah buat cameo di dalam filem Apa Kata Hati arahan Saw Teong Hin yang sudah mula ditayangkan.
"Walaupun babak saya itu tidak memerlukan skrip, tetapi susah juga sebenarnya. Banyak lagilah nampaknya yang saya perlu belajar," kata Mila dalam nada ceria.
Dalam pada itu, kata Mila lagi, dia juga merancang untuk menyertai sebuah lagi pertandingan nyanyian di peringkat antarabangsa, Pop International Festival di Macedonia pada tahun hadapan.
"Sekarang ini, Maestro sedang berusaha untuk mencari sponsor. Insyaallah, jika ada rezeki, saya akan berpeluang sertai festival tersebut.
"Sepatutnya, saya ingin sertai juga pertandingan yang sama di Italy, tetapi memandangkan ia akan berlangsung pada bulan ini, memang tidak sempat untuk kami buat persiapan dan mencari penaja," jelas Mila.
[ Last edited by aFViRGo at 6-6-2008 08:57 PM ] |
|