|
Taken from Bintang Popular
Hadiah untuk ayah
MANJA: Mila (kanan) dan ayahnya, Jirin Burhan.
Mila terkenang kesusahan orang tua sempena Hari Bapa
TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Tiada yang lebih membahagiakan Nursyarmilla Jirin, 20, atau Mila apabila dapat membantu mengubah nasib dan kehidupannya sekeluarga. Selepas bergelar juara Akademi Fantasia musim kelima, hidup Mila tidak lagi susah seperti dulu.
Dengan hasil titik peluh dan bakat sebagai penyanyi, Mila kini sudah mampu membantu menyara keluarga.
Paling menggembirakannya apabila dapat membawa keluarga tinggal bersamanya di Kuala Lumpur. Hidup Mila juga lebih terurus dan terjamin apabila berada di sisi keluarga.
Sambil tersenyum, Mila akui: "Saya berbangga dapat membahagiakan keluarga. Saya rasa cukup tenang apabila melihat ayah dan mak sentiasa tersenyum dan tidak lagi terkejar sana-sini mencari rezeki. Cukuplah 20 tahun mak dan ayah bekerja siang dan malam mencari rezeki dan membesarkan saya bersama dua adik.
"Dari dulu saya kasihan melihat ayah yang bekerja sebagai pengawal keselamatan bersengkang mata, mak pula sekejap kerja shift pagi, sekejap shift malam di kilang. Ayah kadang kala bermain muzik untuk mencari pendapatan sampingan. Masih terbayang kesusahan mak nak jaga makan pakai kami adik beradik, mana pula berkejar ke tempat kerja, jadi dengan limpahan rezeki dikurniakan tentunya saya tak lupa nak berkongsi rezeki dengan mereka.
"Saya mahu mak dan ayah berehat di rumah, biarlah saya bekerja menyara keluarga. Cukuplah dengan pengorbanan mereka selama ini.
Bagaimanapun, saya dan ayah bercadang nak buka perniagaan yang mana ayah yang uruskan. Buat masa sekarang, ayah membantu menguruskan syarikat saya, MC Voices & Stars."
Pada Hari Bapa pada 15 Jun (hari ini), Mila dan adik beradiknya tidak pernah melupakan meraikan hari istimewa buat golongan kaum Adam itu. Kalau dulu ketika zaman persekolahannya, Mila akan memberikan bapanya kad yang dibuat dengan sentuan kreativiti sendiri, kini tidak lagi.
Mila akui dia akan membuat `suprise’ kepada bapanya sempena Hari Bapa. Tahun ini, Mila akan membawa seisi keluarganya makan malam di Menara Kuala Lumpur untuk hari istimewa itu. Bukan saja makan malam di tempat yang selesa dan enak, dirinya pasti tak lupa memberikan hadiah pada bapanya.
Mila suka bersolek waktu kecil
"AYAH saya seorang yang cool dan sentiasa tenang dalam apa juga keadaan. Kalau ayah marah tandanya adalah sesuatu yang tak betul.
Bagaimanapun, saya sentiasa ingat pesanan ayah, apabila sudah popular - jadilah seperti padi, makin tunduk makin berisi. Ayah juga sentiasa memberi kekuatan kepada saya.
"Paling saya tak lupa, pesanan ayah ialah alang alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Kalau lakukan sesuatu, buat sebaik-baiknya," katanya.
Bapa Mila, Jirin Burhan, 46, akui Mila atau panggilan manjanya, Shasha adalah anak yang baik dan mudah dilentur. Sejak kecil, Mila sudah memperlihatkan bakat sebagai anak seni apabila suka menyanyi, bergaya dan bersolek. Bagaimanapun, tidak terlintas di fikirannya cahaya mata pertamanya itu menempa nama sebagai penyanyi.
"Dulu masa Mila kecil-kecil, saya dan ibunya, Zarinah Harun, 36, sudah nampak bakatnya dalam bidang seni, tapi saya tidak menggalakkannya sangat menyanyi. Sebagai bapa, saya mahu melihat anak saya berjaya ke menara gading dan mempunyai pekerjaan tetap.
"Mila pula rajin belajar dan pelajarannya sentiasa baik hingga berjaya dimasukkan ke Sekolah Teknik Tunku Abdul Rahman Putra. Mila pula minat melukis dan bercita-cita nak jadi arkitek. Bagaimanapun, sudah takdir Mila menyertai AF dan bergelar juara, jadi sudah tertulis Mila akhirnya bergelar penyanyi.
"Saya sentiasa mendoakan yang terbaik buat Mila. AF adalah platform buat Mila mencipta nama, tetapi dalam masa yang sama, Mila perlu berusaha jika mahu pergi jauh.
Sebagai bapa, tentunya saya mahu melihat Mila boleh mencapai tahap sehebat Datuk Siti Nurhaliza atau penyanyi evergreen, Datuk Sharifah Aini," katanya. |
|