|
Bintang baru mula cecah awan
Oleh Zubir Mohd Yunus
QUE Haidar, Stacy dan Noorkhiriah melakar sejarah tersendiri apabila pertama kali menggenggam trofi berprestij Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008
PEMINAT sudah pun menobatkan Que Haidar, 30, sebagai bintang filem dan drama terbaik, namun selepas bergelar anak wayang kira-kira lima tahun lalu, baru kini dia berjaya bertakhta di hati peminat untuk melabelnya sebagai yang paling popular, akhirnya!
"Rasanya kemenangan ini berdasarkan filem Maut dan rezeki perkahwinan saya dengan Linda (Jasmine), 14 Februari lalu. Namun, kemenangan ini paling manis dalam hidup saya kerana ia adalah kemenangan pertama saya dalam sejarah penganjuran ABPBH!
"Tambahan pula saya berdepan dengan pesaing nama besar dalam industri lakonan, kini saya semakin yakin baru sekarang peminat nampak hasil kerja keras selama ini," kata Que.
Tambahnya lagi, peminat sekarang semakin bijak memilih artis kegemaran mereka, sekali gus membelakangkan status atau personaliti berkenaan. Rata-rata yang membawa pulang trofi ABPBH2008 adalah mereka yang sudah berumah tangga dan mampu mengekalkan kemenangan mereka untuk beberapa lama, contohnya Datuk Siti Nurhaliza yang terus dinobatkan sebagai Penyanyi Wanita Popular selama 12 tahun berturut-turut!
"Untuk menambat hati peminat, personaliti diri kena jaga. Selain itu, segala kerja kita, contohnya lakonan seharusnya berterusan, tidak ada istilah berehat bagi saya kerana jika sekejap berlakon, sekejap kita hilang, peminat akan bosan.
"Begitu juga dengan kontroversi, saya akui ia tetap membantu melonjakkan populariti seseorang artis, namun kontroversi melampau boleh mengundang dua perspektif berbeza, buat orang suka atau benci dengan kita. Sikap plastik (kepura-puraan) yang keterlaluan juga boleh buat peminat membenci kita. Bagi saya, jangan sesekali buat peminat benci dengan personaliti kita kerana nak mengembalikan kepercayaan peminat, terlalu sukar.
"Seperkara lagi, biar apapun pekerjaan kita sebagai pelakon, penyanyi mahupun pengacara, itu adalah kerja tetap, tapi selagi pekerjaan kita mendapat sokongan daripada peminat, kita tidak harus membelakangkan media umpamanya fotografi, bagi saya ia juga satu kerja. Begitu juga dengan rakaman TV, radio, majlis amal, kemunculan istimewa atau road tour, semua itu adalah kerja kita kerana ia diberi penilaian oleh peminat," kata Que lagi.
Itu cerita Que yang terpaksa menunggu selama lima tahun sebelum berpeluang menggenggam trofi Pelakon Filem Lelaki Popular, tapi bagi Stacy yang dicungkil bakatnya menerusi Akademi Fantasia 6 (AF6) kira-kira setahun yang lalu, dia sudah mampu meraih undian peminat untuk memilihnya sebagai yang paling popular daripada puluhan atau ratusan artis baru yang muncul dalam industri bak cendawan tumbuh selepas hujan.
Namun, di sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Ketika nama Stacy berada di puncak, syarikat yang dipertanggungjawabkan menaikkan namanya, tiba-tiba tutup kedai apabila 1 April lalu, Maestro Talent & Management (Maestro) terpaksa memberhentikan operasinya gara-gara kegawatan ekonomi.
"Memang saya sedih kerana Maestro banyak membantu karier saya selama ini. Tapi, hidup perlu diteruskan, jangan pandang belakang lagi kerana hari mendatang masih banyak cabaran dan rintangannya. Saya sedar, kerjaya saya ditunjangi sokongan padu daripada peminat, bermula dari kemenangan di AF6 dulu sehinggalah dinobatkan pula sebagai Artis Baru Wanita Popular pada ABPBH2008, semuanya gara-gara undian peminat.
"Orang sering bercakap, bintang AF tidak mampu kekal lama, tapi saya akan membuktikan, kata-kata itu tidak benar! Saya yakin dengan kerja keras dan memelihara kualiti kerja, peminat sentiasa bersama kita. Seperkara lagi, jangan mudah lupa diri apabila nama berada di puncak. Saya selalu ingat, dari mana asal usul saya, saya lahir daripada keluarga yang miskin dan segala kejayaan hari ini adalah untuk membantu keluarga," katanya.
Menurut Stacy lagi, kontroversi yang berlebihan boleh membunuh kerjaya seseorang artis itu dan dia sendiri pernah dikritik kerana berpakaian seksi apabila tidak peka dengan sensitiviti peminat Melayu membuatkan kali ini berusaha mengurangkan imej itu.
"Sebagai artis, kita jangan 'bakar' platfrom atau jambatan yang membawa kita ke seberang dengan kesilapan diri sendiri.
"Saya tak nak jadi seperti sesetengah artis, populariti naik mendadak, tapi kerana keangkuhan, tak jaga mulut, populariti mereka jatuh menjunam," katanya yang mengakui masih berkawan rapat dengan rakan seperjuangannya, Nubhan sekalipun mereka kini jarang berhubungan kerana kesibukan masing-masing.
Bagi Nookhiriah pula, dia sekali lagi meminta maaf di atas kegagalannya hadir di pentas ABPBH2008, 12 April lalu untuk menerima trofi kemenangannya.
"Apabila saya dapat tahu nama masuk Top 5, saya sudah membuat persiapan awal untuk ke Genting Highlands termasuk sudah menempah pereka fesyen dan jurusolek. Tapi, sebaik saja pulang dari mengerjakan umrah awal April lalu, kandungan saya mengalami sedikit pendarahan, justeru doktor tidak membenarkan saya ke Genting takut terjadi sesuatu yang tidak baik pada kandungan apabila sudah mengalami keguguran pertama Jun 2007," katanya.
Noorkhiriah menambah, hanya selepas 10 tahun dia mengabdikan diri dalam bidang seni, barulah kini dia berpeluang menggenggam trofi popular hasil undian peminat, selain melahirkan rasa bangga apabila disebabkan kemenangan itu juga, ini baru pertama kali dia diberi peluang muncul sebagai penghias muka depan B*Pop kerana sebelum ini dia tidak pernah diberikan ruang keemasan seperti itu!
"Kadang-kadang tu saya sedih juga kerana lambat mengecapi populariti, tapi apabila difikirkan kembali, ada rakan artis yang sudah berbelas tahun berlakon, tak pernah pun diberi perhatian oleh peminat mahupun media. Kata-kata saya kepada mereka, sabar... Saya reda, Tuhan beri rezeki kepada saya di penghujung karier kerana tak selamanya saya akan berlakon, usianya pun semakin meningkat.
"un begitu, pendakian saya ke puncak populariti umpama mendaki tangga, bukan seperti segelintir artis, populariti naik melonjak macam naik lif, tapi turun pun cepat macam lif! Yang penting, sebagai artis jangan sesekali riak dan mendabik dada kerana tindak tanduk kita sentiasa jadi perhatian peminat," katanya lagi.
Info QUE
NAMA PENUH: Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar.
TARIKH LAHIR: 30 Mei 1979.
ASAL: Kulai, Johor.
KELUARGA: Anak kelima daripada 10 beradik.
DRAMA: Tuhan Pun Tahu, Terlerai Takbir Kasih, Orang Minyak Naik Minyak dan Cinta Untuk Ain (masih disiarkan di TV3).
FILEM: Castello, KL Menjerit 1, Rock, Zombi Kampung Pisang dan Maut.
FILEM AKAN TAYANG: Papadom, Setem, Duhai Si Pari-Pari, Skrip 7707, My Spy, Romance (akan menjalani penggambaran) dan Merempuh Karma (akan menjalani penggambaran).
PENCAPAIAN: Pelakon Lelaki Harapan, Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM19); Pelakon Pembantu Lelaki TV Terbaik, Anugerah Skrin 2008 (AS2008) dan Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008.
Info NOORKHIRIAH
NAMA PENUH: Noorkhiriah Ahmad Shapie.
TARIKH LAHIR: 11 April 1976.
ASAL: Raub, Pahang.
KELUARGA: Anak kedua daripada lima beradik.
DRAMA: Nek Kiah, Kerana Cintaku Saerah, Papaya dan Terlerai Takbir Kasih.
FILEM: Gubra, Mukhsin, Los & Faun, Syaitan dan Papadom.
PROJEK TERBARU: Dalam pembikinan menyiapkan blok ketiga drama 44 episod, Matahari untuk slot Akasia TV3.
PENCAPAIAN: Pelakon Pembantu Wanita TV Terbaik, Anugerah Skrin 2007 (AS2007) dan Artis Komedi Wanita Popular, ABPBH2008.
Info STACY
NAMA PENUH: Stracie Angie Anam.
TARIKH LAHIR: 18 Ogos 1990.
ASAL: Penampang, Kota Kinabalu, Sabah.
KETURUNAN: Kadazan-Dusun.
KELUARGA: Anak kelima daripada enam beradik.
ALBUM: Aku Stacy mengandungi lagu seperti Aku Stacy, Gagap, Cerah, Cinta Yang Ku Duga dan Pakai Buang.
DUTA/JURUCAKAP: Power Root, Intimate, Teh Boh dan Canon.
PENCAPAIAN: Juara Akademi Fantasia 6 (AF6) dan Artis Baru Wanita Popular, ABPBH2008.
Solekan Stacy & Que: Rieza Amour (013 434 3615)
Dandanan Stacy & Que: Zul Bastari (012 381 2671)
Solekan & dandanan Noorkhiriah: Fiza Zainuddin (012 2217031)
Pakaian, aksesori & kasut Stacy, Noorkhiriah: Sya Shaharani (012 285 5048)
Pakaian Que: Koleksi peribadi.
kredit: Berita Harian.
[ Last edited by hijau88 at 26-4-2009 13:32 ] |
|