Akaun socmed 'meletup' dengan ucapan tahniah, Susan Lankester terharu bakat dihargai
Susan mula menarik perhatian selepas tampil dalam filem pertamanya, Mekanik arahan Othman Hafsham pada 1983. Foto NSTP Rohanis Shukri
KUALA LUMPUR: Menyedari laman sosial dibanjiri ucapan tahniah, Susan Lankaster, 62, mengakui sangat terharu atas tumpuan diberi selepas lebih empat dekad membina reputasi dalam industri seni tanah air. Susan berkata, penghargaan dan maklum balas diterima susulan kemenangan pada Asian Academy Creative Awards (AACA) 2024 dan Festival Filem Malaysia (FMM) Ke-33, menjadi kenangan paling manis. "Saya sangat terharu melihat laman sosial sedang 'meletup' gila-gila. Semua orang ucap tahniah dan kata bangga dengan saya. Ada yang cakap saya banggakan Malaysia dan seumpamanya. "Saya terkejut lihat maklum balas ini. Mereka semua seperti menumpang keseronokan saya... Ini adalah perasaan yang sangat indah.
"Saya fikir saya boleh 'terbang' sebab maklum balas orang ramai sangat mengharukan. Lebih-lebih, pada AACA 2024, mereka cakap saya kalahkan dari New Zealand... Saya rasa macam berada di awang-awangan," katanya ditemui sebaik FFM 33 melabuhkan tirai di sini, Sabtu lalu. Lakonan Susan sebagai Aileen Choo dalam filem arahan Tunku Mona Riza, Rain Town mengangkatnya sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada AACA 2024 di Singapura dan FFM 33. Susan yang mula menarik perhatian selepas tampil dalam filem pertamanya, Mekanik arahan Othman Hafsham pada 1983, mengakui tidak dapat melupakan saat menerima trofi di pentas AACA 2024 dan FFM 33. "Apabila naik ke atas pentas AACA 2024, saya tidak tahu apa yang mahu dikatakan. Saya berdiri dan apa yang saya fikir hendak cakap, saya keluarkan. "Seperti malam ini (Sabtu lalu), 'floor manager' suruh cakap cepat, jadi, saya luahkan apa yang saya rasa. "Saya mahu sebut semua nama kru produksi, namun, saya diminta berhenti. Secara jujurnya, semua kru produksi Rain Town harus disebut. "Terima kasih kepada Tunku Mona dan keluarga Rain Town atas usaha mereka untuk menjadikan filem ini berjaya. Keluarga buat filem besar, jadi, tenaga itu yang perlu kita hargai," katanya. Susan turut mengaku seronok bekerja dengan pelakon seperti Chew Kin Wah, Fabian Loo, Wilson Lee dan Pauline Tan. "Itu yang kita cari apabila berlakon sampai saya berada dalam industri selama 40 tahun. Ia suatu yang menyeronokkan jadi pelakon. Tetapi anda kena kerja keras. Kadang-kadang sakit dan penat, namun, kita tetap buat," katanya. Susan juga popular menerusi lakonannya dalam sitkom Kampung Seri Wangi, Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan 2+1 pada era 1980-an dan 1990-an.
https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2024/12/1334673/akaun-socmed-meletup-dengan-ucapan-tahniah-susan-lankester-terharu
|