Amaran ribut petir di 9 negeri, Johor dijangka paling terjejas
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di sembilan negeri, termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya sehingga 1 tengah hari ini. Amaran dimuat naik di media sosial jabatan pada 10.10 pagi, menyenaraikan negeri dijangka mengalami ribut petir adalah Pulau Pinang, Selangor dan Melaka, manakala di Pahang melibatkan daerah Bentong serta Rompin. Johor dijangka paling terjejas dengan cuaca itu, melibatkan Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru. Di Negeri Sembilan, daerah diramal terlibat ialah Seremban, Port Dickson, Rembau dan Tampin. Cuaca sama juga diramal di Kubang Pasu, Kota Setar dan Bandar Baharu di Kedah, manakala di Perak melibatkan Kerian, Larut, Matang, Selama, Manjung dan Bagan Datuk.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1310994/amaran-ribut-petir-di-9-negeri-johor-dijangka-paling-terjejas
|