|
Berita Harian
Daif!
Oleh Mohamed Farid Noh
2010/06/07
Bantuan diproses 2008 tetapi sehingga kini tiada jawapan
BATU PAHAT: Daif dan usang, begitulah keadaan rumah sepasang suami isteri, Mohd Yusof Alam, 55, dan Halimah Abdullah, 49, di Kampung Parit Lapis Batu Puteh, Simpang Lima, Parit Sulong, di sini.
Keadaan rumah pasangan berkenaan yang sudah hampir berusia 52 tahun itu juga sudah tidak sesuai didiami berikutan terpaksa berhati-hati apabila memijak lantai kayu rumah berkenaan akibat beberapa beluti lantainya akan bergoyang ketika berjalan di atasnya.
Malah, pasangan suami isteri itu sehingga kini masih meniti titian usang dan tidak stabil yang merintangi parit di hadapan rumah mereka untuk keluar masuk setiap hari walaupun hampir kesemua penduduk kampung berkenaan sudah membina titian daripada konkrit.
Halimah berkata, mereka suami isteri reda dengan ketentuan takdir hidup yang dihimpit kemiskinan kerana tidak mempunyai pendapatan tetap.
"Kami tidak mempunyai pelajaran kerana bersekolah setakat darjah enam saja apatah lagi hanya pakcik saja yang bekerja mengambil upah mengait sawit di kebun orang dengan pendapatan kira-kira RM200 sebulan dan wang itu digunakan untuk perbelanjaan harian.
"Makcik ada sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi. Bagaimanapun, makcik akan tetap menemani pakcik mengait buah kelapa sawit jika keadaan mengizinkan," katanya ketika ditemui di rumahnya.
Halimah berkata, atas bantuan penduduk kampung, permohonan untuk bantuan rumah dibuat pada 2008 menerusi Jawatankuasa Zakat dan Fitrah Negeri Johor.
"Penduduk kampung bersusah payah menghantar permohonan berkenaan selepas simpati dengan nasib kami dan pada masa yang sama, surat pengesahan permohonan daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) diterima menyatakan permohonan berkenaan diproses.
"Bagaimanapun, sehingga kini tiada berita lagi. Makcik sebenarnya segan hendak meminta-minta, sebab itu kami suami isteri mendiamkan diri dan reda terhadap ujian tuhan ini.
"Alhamdulillah, baru-baru ini Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad bersama wakil daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Baitulmal, doktor serta jururawat dari Hospital Putra Batu Pahat (HPBP), datang menjenguk ke rumah kami," katanya.
Beliau berkata, dirinya dan suami amat berterima kasih terhadap keprihatinan pemimpin masyarakat berkenaan dan rombongannya apatah lagi Noraini sendiri berjanji akan menghubungi pihak berkenaan untuk meminta mereka mempercepatkan permohonan bantuan rumah yang sudah dibuat. |
|
|
|
|
|
|
|
Utusan Online
Terap kepentingan penggunaan air
Oleh KHADIJAH IBRAHIM
[email protected]
SEBAHAGIAN pelajar teruja melihat bahan dan penerangan berkaitan air pada Majlis Penutupan Program Pendidikan Air Negeri Johor di Sekolah Menengah Johor Bahru, baru-baru ini.
JOHOR BAHRU 6 Jun - Kesedaran tentang kepentingan air dalam kehidupan perlu diterapkan di kalangan pelajar supaya mereka menghargai sumber alam.
Pengarah Jabatan Pelajaran Johor, Sufa'at Tumin berkata, untuk memupuk kesedaran itu, pendidikan mengenai perkara tersebut wajar diterapkan dalam salah satu subjek pelajaran.
Katanya, usaha meningkatkan kesedaran tentang penggunaan air, memulihara kawasan tadahan air, sumber air bersih dan alam sekitar perlu dimulakan sejak di bangku sekolah.
''Jika pada usia muda lagi sudah diterapkan dengan budaya menghargai sumber alam, pasti orang ramai tidak akan membazir dan menggunakan air dengan berhemah.
''Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan sumber air negara sentiasa terpelihara dan elakkan daripada pembaziran," katanya pada Majlis Penutupan Program Pendidikan Air Negeri Johor di Sekolah Menengah Johor Bahru di sini baru-baru ini.
Katanya, program anjuran Saj Holding Sdn. Bhd. (SAJ) dengan sokongan Jabatan Pelajaran Johor dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) perlu diteruskan kerana ia amat berkesan dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Unit Hal Ehwal Murid Jabatan Pelajaran Johor, Md. Yazid Said.
Program ilmiah bertema Setiap Titisan Berharga bermula sejak Februari lalu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 2.
Ia membabitkan 16 buah sekolah di seluruh Johor melibatkan kira-kira 3,000 pelajar peringkat menengah atas yang mendapat manfaat daripada program tersebut.
Sementara itu, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat SAJ, Jamaluddin Jamil dalam satu kenyataan berkata, sepanjang program berlangsung, pelajar didedahkan dengan ceramah, demonstrasi, pameran dan kuiz berkaitan air.
Katanya, program itu bertujuan memberi kesedaran kepada pelajar tentang langkah-langkah penjimatan air serta aspek-aspek pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar.
"Sepanjang program, aspek yang diberi penekanan dan keutamaan adalah amalan menghargai sumber bekalan air dan juga tatacara penjimatan dalam penggunaan air.
"Turut ditekankan kepada pelajar adalah aspek kepenggunaan dalam perkhidmatan bekalan air di negeri ini," katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
Utusan Online
Kerajaan negeri perlu sediakan kawasan sukan lasak
AINOR Nadirah Othman menunjuk isyarat bagus selepas menguji kereta drift di tempat letak kereta Plaza Angsana, Johor Bahru, kelmarin.
JOHOR BAHRU 7 Jun - Kerajaan negeri diminta supaya menyediakan satu kawasan lapang yang khusus bagi kegunaan acara sukan lasak untuk memenuhi kehendak generasi muda.
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Mohd. Ghani Mohd. Yusof berkata, pada masa ini ketiadaan kawasan lapang itu telah menyukarkan para penggemar sukan lasak seperti drift dan go-kart, untuk mengadakan aktiviti mereka.
"Apa yang dilakukan bagi menganjurkan acara-acara sukan lasak ketika ini kami terpaksa menyewa kawasan lapang milik swasta yang kos sewanya cukup mahal.
"Kalau kerajaan sediakan satu kawasan khas, untuk sukan jenis itu, ia membolehkan pihak penganjur mengadakan sukan itu pada bila-bila masa.
"Ia secara tidak langsung dapat menggelakkan gejala sosial berlaku, kerana generasi muda terbabit mempunyai tempat untuk mereka melakukan aktiviti yang dijadikan hobi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menyaksikan Siri Drift Kementerian Belia dan Sukan 2010 Zon Selatan di Plaza Angsana di sini semalam.
Pada siri drift itu, seramai 40 peserta dari Melaka, Negeri Sembilan dan Johor termasuk dua peserta wanita menyertai acara itu.
Antara peserta wanita yang menyertai drift itu ialah Ainor Nadirah Othman dan Noor Ahsikin Abd. Latiff.
Abd Ghani berkata, penyediaan kawasan khas itu secara langsung mampu menarik lebih ramai penggemar drift yang kini di peringkat negeri sebanyak 100 orang telah menjadi ahli.
"Berdasarkan maklum balas, banyak yang ingin menceburi arena drift namun kerajaan tidak menyediakan kemudahan yang dikehendaki," katanya.
Sementara itu Ainor Nadirah, 20, yang berasal dari Bandar Baru Uda di sini berkata, dia meminati drift kerana menyukai sukan yang mencabar di samping mendapat dorongan dari bapanya Othman Basiron.
Katanya, dia telah menceburi bidang itu hampir setahun dengan mendapat latihan daripada drifter terkenal Nabil Anuar dan berhasrat menjadi drifter wanita terkenal di negara ini.
Begitu juga dengan Noor Ahsikin, 28, yang begitu meminati sukan yang mencabar itu.
"Bagi saya adalah menjadi satu kepuasan yang maksimum jika berada di dalam kereta drift dan misi saya juga untuk menjadi drifter wanita yang mewakili Johor," katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
Utusan Online
Usahawan bumiputera perlu berani bersaing
Md. Othman Yusof (kiri) diberi penerangan oleh Jasman Salim selepas perasmian Bangunan Jasman Salim di Kampung Bakar Arang, Pontian, baru-baru ini.
PONTIAN 7 Jun - Usahawan bumiputera perlu berani untuk membuat keputusan dan mencuba sesuatu yang baru bagi memastikan mereka lebih berdaya saing berbanding peniaga lain.
Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Md. Othman Yusof berkata, bagi mencapai sesuatu kejayaan, banyak rintangan perlu dilalui dalam tempoh masa yang lama.
Katanya, ramai tokoh usahawan yang berjaya di negara ini bermula dari bawah di samping tidak mempunyai asas-asas perniagaan yang diikuti di institusi pengajian tinggi.
Namun menurutnya, mereka telah berjaya menguasai ekonomi negara ini dan muncul di antara golongan yang terkaya hingga menjadi jutawan di peringkat Asia.
Jelasnya, bantuan dan sokongan yang diberikan, tidak semestinya menjamin kejayaan sekiranya usahawan Melayu tidak mempunyai semangat yang kuat dan gigih berusaha setiap masa.
"Ciri-ciri tekun, kuat berusaha, gigih dan tidak kenal putus asa perlu menjadi pegangan dan amalan semua pihak sekiranya ingin melihat lebih ramai golongan bumiputera berjaya dalam bidang perniagaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bangunan Jasman Salim di Kampung Bakar Arang, Pekan Nanas di sini kelmarin.
Bangunan tersebut adalah milik Jasman Salim, seorang usahawan bumiputera yang terlibat dengan kerja-kerja membekal bahan pencegah kebakaran, kejuruteraan mekanikal dan hawa dingin.
Tambah Md. Othman, peluang yang diberikan oleh kerajaan kepada usahawan bumiputera hendaklah dimanfaatkan dengan memberikan mutu kerja dan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.
"Walaupun tanpa pendidikan asas dalam bidang keusahawanan namun beliau (Jasman) telah berjaya membuktikan ia bukan satu halangan untuk berjaya," katanya.
Justeru, katanya, peniaga dan usahawan bumiputera perlu mempunyai hala tuju dan matlamat sesuatu bidang yang diceburi bagi memastikan mereka mempunyai perancangan yang betul.
Sehubungan itu, Md. Othman berharap, usahawan bumiputera juga bersedia untuk melahirkan dan melatih tenaga mahir bagi membolehkan mereka terus bersaing di pasaran yang lebih besar.
Katanya, dengan adanya tenaga mahir, mereka akan dapat menjimatkan kos bagi mengambil tenaga pakar dari luar yang tentunya tidak memberikan faedah jangka panjang kepada syarikat. |
|
|
|
|
|
|
|
Utusan Online
Polis edar kad nama
Oleh FARIK SALLEH
[email protected]
KOTA TINGGI 7 Jun - Sempena Operasi High Profile Policing (HPP) Daerah Kota Tinggi, 12 pasukan yang diketuai pegawai berpangkat inspektor ke atas dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) mengedarkan kad nama dan risalah pencegahan jenayah ke kawasan perumahan dan tumpuan orang ramai.
Ketua Polis Kota Tinggi, Supritendan Osman Muhammad Sebot berkata, kawasan tumpuan kali ini termasuk Plaza Kota Tinggi, Terminal Pengangkutan Awam sementara di Jalan Niaga, Taman Ria, pasar raya Econsave di Taman Diaman Jaya.
"Setiap pasukan akan memperuntukan masa turun padang setiap minggu dan meluaskan kawasan tumpuan masing-masing," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, sebelum ini, IPD dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah mengedarkan kad nama dan nombor Bilik Gerakan 24 jam IPD di talian 07-8837222 kepada pengunjung dan peniaga pasar malam untuk memudahkan orang ramai pantas menghubungi pihak berkuasa dalam hal kecemasan.
Katanya, langkah itu penting sebagai usaha membanteras jenayah kerana masih terdapat kes ragut dan penipuan yang menyasarkan mangsa di kawasan orang ramai terutamanya di pusat bandar.
Osman berkata, dalam membendung kegiatan ragut, polis Johor akan menyegerakan pendakwaan ke atas peragut yang ditangkap.
Sementara itu, beliau memuji inisiatif penduduk Kawasan Rukun Tetangga (KRT) seperti Taman Mawai, Kota Kecil, Taman Sri Saujana dan Taman Kota Emas yang mengambil inisiatif mengadakan Skim Rondaan Sukarela (SRS).
Kata Osman, pencegahan jenayah harus dipandang serius oleh semua masyarakat dalam usaha mengurangkan kadar jenayah di samping mengekalkan keamanan. |
|
|
|
|
|
|
|
Utusan Online
Belia disaran ceburi sektor pertanian
MERSING 7 Jun – Golongan belia di luar bandar perlu lebih berani menceburi bidang pertanian bagi mengusahakan tanah-tanah terbiar di sekitar kawasan mereka untuk mendapatkan pulangan pendapatan yang menguntungkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, ini kerana pelbagai peluang untuk golongan tersebut menceburi bidang berasaskan pertanian sudah disediakan kerajaan di kawasan mereka.
“Para belia perlu memanfaatkan peluang ini kerana saya dapati terdapat banyak tanah terbiar dan tidak dimajukan di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan program Jalinan Kasih Orang Muda peringkat Kampung Semanyir dekat sini baru-baru ini.
Pada majlis berkenaan, Zainal Abidin turut menyampaikan sumbangan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) kepada 30 orang ibu tunggal dan golongan yang kurang bernasib baik.
Beliau berkata, antara yang boleh dilakukan ialah pemilik tanah yang tidak berkemampuan, bekerjasama dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan persatuan belia tempatan untuk mengusahakan tanah mereka.
Katanya, para belia boleh mengusahakan tanaman sayur-sayuran atau menternak lembu dan kambing bagi memajukan ekonomi mereka serta penduduk setempat.
“Secara tidak langsung ia akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat di samping mengurangkan penghijrahan penduduk desa ke bandar,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Belia Wawasan Kampung Semanyir, Zahari Mohamad, 32, berkata, program tersebut diadakan bertujuan merapatkan hubungan golongan muda dengan warga tua terutama mereka yang tidak bernasib baik. |
|
|
|
|
|
|
|
berita harian
Johor: Tembok rapuh
Oleh Mohamed Farid Noh
[email protected]
2010/06/10
Binaan tak ikut spesifikasi menyebabkan batu bergerak selepas dihempas ombak
BATU PAHAT: Ratusan hektar kebun di sepanjang Pantai Punggur, Rengit, dijangka terjejas dan mungkin hilang ditenggelami air pasang pantai berkenaan berikutan pembinaan projek tembok penahan hakisan ombak yang tidak mengikut spesifikasi sepatutnya.
Tinjauan Edisi Johor ke Pusat Rekreasi Pantai Punggur, baru-baru ini mendapati beberapa bahagian tembok yang sudah siap dipasang berada dalam keadaan tidak stabil malah ada blok tembok runtuh terjerlus ke dalam pasir berikutan dihempas ombak kuat.
Garisan pantai yang dulunya ratusan meter dari lautan kini semakin menghampiri daratan dan mengancam keselamatan penduduk serta harta benda mereka yang tinggal berhampiran pantai.
Apatah lagi, hanya 350 meter tembok penahan hakisan ombak yang siap sepenuhnya menyebabkan apabila air pasang, kemudahan di kawasan daratan pantai itu termasuk beberapa lot gerai serta tandasnya sering rosak dinaiki air sehingga paras betis.
Walaupun kerja sedang giat dijalankan bagi memasang tembok penahan hakisan ombak yang masih berbaki satu kilometer lagi sepanjang pantai berkenaan, wujud kebimbangan masyarakat setempat sama ada pembinaan tembok itu mampu menghalang air laut memasuki kawasan daratan pada masa hadapan berikutan mutu pembinaan yang diragui.
Penduduk berdekatan, Azmi Hussein, 23, berkata hakisan ombak di pantai berkenaan semakin serius apabila air laut melimpah masuk ke kawasan daratan ketika air pasang sehingga merosakkan kemudahan yang disediakan di pantai berkenaan.
“Walaupun ada tembok ini tetapi tengoklah ada yang sudah runtuh disebabkan hakisan ombak. Saya bimbang tembok ini tidak mampu bertahan lama, cuba bayangkan tembok di pantai ini belum siap sepenuhnya tetapi ada yang sudah runtuh tidak sampai pun beberapa tahun ia dibina.
“Pembinaan tembok ini tidak bermakna kalau air laut tetap boleh naik ke kawasan daratan dan melimpah sampai ke kawasan gerai dan tandas pantai rekreasi ini malah sehingga ke kebun penduduk kampung, " katanya ketika ditemui di pantai itu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit, Ayub Jamil, berkata masalah tembok penahan hakisan ombak yang kini tidak stabil dan terjerlus ke dalam pasir itu disebabkan pembinaannya yang tidak mengikut kesesuaian pembinaan di pantai.
“Tembok berkenaan seharusnya melalui proses penanaman cerucuk konkrit bagi mengukuhkan kedudukan dan struktur tembok di sepanjang pantai tetapi jika dilihat tembok itu hanya diletakkan saja di atas pantai tanpa ada apa-apa yang menyokong kedudukannya.
“Apabila ia dihempas ombak kuat, sudah tentu tembok yang tidak kukuh itu bergerak lebih-lebih lagi ombak turut menarik pasir ke laut yang hanya mewujudkan keadaan lompang di bawah tembok berkenaan menyebabkan ia terjerlus, tidak stabil dan lama kelamaan akan runtuh," katanya.
Ayub berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) seharusnya segera memikirkan langkah alternatif bagi mengukuhkan tembok berkenaan bagi mengelakkan pembinaannya hanya sia-sia dan tidak menyelesaikan masalah hakisan ombak yang semakin memburuk.
“Saya tidak mahu kehidupan penduduk di kawasan ini terjejas dan terpaksa dipindahkan ke tempat lain berikutan air laut semakin melimpah walaupun kerajaan sudah mengeluarkan kos untuk mengatasi masalah ini," katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
Dua jam bergelut tangkap buaya
INILAH buaya tembaga yang ditangkap oleh Azhar (mencangkung dari kiri), Zulfikri dan Sarjuni di Kampung Linau Kecil, Bukit Pasir, Batu Pahat semalam.
BATU PAHAT - Seorang datuk yang menghabiskan masa melayan cucu-cucunya terutama pada musim cuti sekolah merupakan satu perkara biasa.
Namun bagi seorang warga emas, Sarjuni Katmo, 79, masa lapang bersama dua cucunya pula dijadikan aktiviti menangkap buaya di kawasan parit berhampiran kebun kelapa kira-kira 10 meter dari kediamannya di Kampung Linau Kecil, Bukit Pasir.
Malah mereka berjaya menangkap seekor buaya tembaga betina seberat 80 kilogram dan sepanjang 2.5 meter kira-kira pukul 12 tengah malam semalam.
Sarjuni bersama cucunya, Azhar Jaris, 22, dan Zulfikri Khairudin, 17, bergelut selama dua jam sebelum berjaya menewaskan buaya itu yang masuk ke dalam perangkap yang dipasang.
Mereka kemudian memikul buaya itu sejauh hampir satu kilometer dari kawasan parit ke rumah.
Menurut Sarjuni, buaya itu dipercayai bertelur di kawasan parit kerana habitat asalnya kini kurang sesuai ekoran kerja-kerja mendalamkan sungai.
"Parit itu dekat dengan sungai dan dinaiki air pada waktu air pasang lalu menjadi tempat buaya bertelur. Beberapa hari lalu saya nampak tapak kaki buaya, menyebabkan kami memasang perangkap kerana bimbang keselamatan penduduk," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Sarjuni menjelaskan, dia bukan dukun buaya sebaliknya mempunyai sedikit kemahiran mengubati penyakit secara tradisional.
"Saya bukan dukun buaya, sepanjang hidup ini kali pertama saya tangkap buaya. Beberapa minggu lalu, saya pasang perangkap untuk tangkap buaya tetapi tidak berjaya, buaya itu terlepas," katanya.
Menurutnya, walaupun telah masuk perangkap yang diperbuat daripada besi dan tali, namun tali lain perlu diikat pada buaya tersebut.
Kerja mengikat atau digelarnya 'menyembat' buaya itu, selain menuntut keberanian, katanya, faktor kesabaran juga penting kerana ia perlukan masa yang sesuai dan menanti buaya menjadi agak lemah. |
|
|
|
|
|
|
|
berita harian
Hilang Datuk
[email protected]
2010/06/12
Sultan Johor lucut darjah kebesaran empat individu
JOHOR BAHRU: Jumaah Majlis Diraja Johor secara rasmi mengumumkan pelucutan darjah kebesaran daripada empat individu yang membawa gelaran Datuk, termasuk bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Chua Jui Meng yang kini Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan penjelajah solo ke Kutub Utara dan Kutub Selatan, Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir. Dua lagi ialah adik ipar Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, iaitu Komander Shaftdean Lutfy Rusland yang berkhidmat di Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut dan seorang peguam, Hassan Yunos. Shaftdean Lutfy adalah suami kepada Tunku Muna Najiah Sultan Iskandar, iaitu adinda Sultan Ibrahim. Jui Meng, Sharifah Mazlina dan Shaftdean Lufty masing-masing ditarik balik dua darjah kebesaran, iaitu Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Datuk Seri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) Pangkat Pertama dan Datuk Mahkota Johor (DPMJ) pangkat kedua, manakala Hassan ditarik balik darjah kebesaran DPMJ. Semua penarikan balik berkuatkuasa 4 Jun lalu.
Pengumuman penarikan balik darjah kebesaran itu diumumkan oleh Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor yang juga Menteri Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia, Datuk Abdul Rahim Ramli dalam persidangan media di Istana Besar, di sini semalam.
Abdul Rahim berkata, keputusan dibuat selepas menimbang laporan terhadap mereka sebelum bersetuju menasihatkan Sultan Ibrahim sebagai Raja yang melaksanakan kuasa baginda di bawah Fasal 12 Undang-Undang dan Peraturan bagi Darjah Mahkota Johor dan Fasal 7(f) Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1985 untuk memecat serta mengeluarkan mereka daripada Darjah Mahkota Johor.
"Berikutan itu mereka tidak boleh lagi menggunakan gelaran dan huruf ringkas darjah berkenaan dalam sebarang urusan dan persuratan,” katanya.
Ditanya mengapa darjah kebesaran itu ditarik balik, Abdul Rahim berkata ia adalah kuasa mutlak Sultan Johor dan enggan mendedahkan alasannya kerana tidak mahu mengaibkan individu berkenaan.
Johor adalah negeri pertama memperkenalkan darjah kebesaran seperti itu sejak 1886 sebelum diikuti negeri lain kira-kira 30 tahun kemudian dan sehingga kini ia sudah diberikan kepada 712 individu dengan 120 daripadanya memakai gelaran berkenaan.
Abdul Rahim juga berkata, Sharifah Mazlina dan Hassan sudah memulangkan pingat yang dianugerahkan kepada mereka semalam, manakala Jui Meng dan Shaftdean Lufty belum berbuat demikian.
“Mereka sudah dimaklumkan pada 4 Jun lalu menerusi surat khidmat Pos Laju, selain tindakan susulan menerusi telefon empat hari kemudian untuk menyemak status sama ada mereka sudah menerima surat berkenaan atau sebaliknya. Namun, Jui Meng seperti dalam laporan sebelum ini memberitahu tidak menerima surat tetapi semakan dengan Pos Laju mendapati dakwaannya benar kerana beliau tiada di rumah pada 4 Jun lalu.
“Begitupun, kami menghantar lagi surat yang sama di alamat sama di Bukit Damansara, Kuala Lumpur sebelum membuat panggilan semalam (kelmarin) bagi memaklumkan mengenai penghantaran semula surat itu,” katanya.
Di BATU PAHAT, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman menafikan terbabit atau bertanggungjawab sehingga Istana Johor menarik balik dua darjah kebesaran itu.
“Saya tidak tahu menahu mengenai penarikan pingat berkenaan kerana ketika keputusan dibuat saya berada di luar negara. Siapa Jui Meng ini... bukan kerja kita pun (untuk tarik pingat)... beliau juga bukanlah seorang yang penting,” katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
berita harian
Johor: Busuk, nyamuk biak
[email protected]
2010/06/11
Kilang kitar hasilkan pencemaran bau, bunyi
MUAR: Kewujudan kilang kitar semula di Kampung Tengah, dekat sini, yang mula beroperasi sejak kira-kira tiga bulan lalu, menimbulkan keresahan di kalangan penduduk sekitarnya, terutama Taman Budiman yang terletak bersebelahan kilang yang didakwa melakukan pencemaran bau, bunyi dan udara selain menjadi tempat pembiakan nyamuk. Penduduk mendakwa kilang itu yang terletak di tepi Laluan Pintas Muar menyebabkan kehidupan mereka tidak tenteram sehingga tidak dapat membuka pintu dan tingkap berikutan pencemaran udara dan bau terutama setiap kali kilang berkenaan membakar plastik. Tinjauan Edisi Johor mendapati kilang itu hanya dipisahkan oleh pagar zink dengan Taman Budiman dan lokasi yang terlalu dekat itu menyebabkan penduduk boleh mendengar bunyi kuat jentera melakukan kerja, selain berlaku pencemaran udara akibat habuk dan asap.
Seorang penduduk, Kamarul Ariffin Md Saat, 46, berkata beliau sekeluarga tinggal di Taman Budiman sejak kira-kira tiga tahun lalu sebelum kilang itu dibina di kawasan seluas kira-kira satu hektar.
“Sejak kilang itu dibuka kami terpaksa hidup dalam suasana tidak tenteram apabila terganggu akibat pencemaran bau busuk dan udara tercemar, selain mendapati nyamuk semakin banyak dipercayai akibat kewujudan kilang kitar semula berkenaan, " katanya.
Beliau bimbang dengan keadaan itu yang jika tidak diatasi segera akan menyebabkan masalah lain termasuk wabak denggi dan masalah kesihatan akibat daripada pencemaran udara, bunyi serta bau.
Sehubungan itu beliau meminta pihak berkuasa supaya mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah itu bagi memastikan kesejahteraan penduduk sekitar Kampung Tengah.
Penduduk, Chiew Meng Hwa, 53, yang mengidap penyakit jantung, berkata pencemaran akibat kilang kitar semula itu menyebabkan beliau terpaksa menutup semua pintu dan tingkap bagi mengurangkan pencemaran.
Katanya, kesan pencemaran itu juga menyebabkan beliau dan isteri yang tinggal bersebelahan dengan kilang itu, sering mengalami masalah sesak nafas serta batuk dipercayai akibat pencemaran bau dan udara.
“Kilang itu turut membakar plastik dan sisa kitar semula pada waktu petang sehingga malam menyebabkan wujud kepulan asap dan bau yang menusuk hidung, selain menyebabkan saya turut sesak nafas, " katanya.
Katanya, beliau sudah membuat aduan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai pencemaran yang dilakukan kilang berkenaan tetapi sehingga kini tiada tindakan lanjut dijalankan mungkin disebabkan kilang terbabit hanya membakar plastik pada waktu petang sehingga malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Chiew berharap tindakan tegas dikenakan terhadap pemilik kilang itu kerana kilang itu tidak sesuai diadakan di kawasan berhampiran perumahan, sebaliknya perlu dipindahkan di kawasan perindustrian bagi menjaga kesejahteraan penduduk. |
|
|
|
|
|
|
|
metro
Angan jadi polis
Oleh Salman Hamat
[email protected]
2010/06/12
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang terlalu meminati bidang kepolisan sanggup menggantung tiga potretnya berpakaian lengkap pegawai polis berpangkat Senior Asisten Komisioner (SAC) dan Asisten Komisioner (ACP).
Tiga potret itu digantung di rumahnya di Jalan Rotan Batu, Taman Seri Jaya, di sini. Selain itu, suspek juga mengumpul pelbagai barangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk topi pasukan keselamatan itu, sepasang sarung tangan putih, lampu beacon biru, set pingat PDRM, pelekat lambang PDRM dan baton-T hitam. Selain itu, turut dirampas gari, set perhubungan walkie-talkie serta sehelai jaket biru lengkap dengan lambang polis dan tanda pangkat SAC.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Sharif berkata, dalam soal siasat dijalankan, lelaki itu mengaku baru memulakan hobi barunya itu kerana tertarik untuk memiliki semua peralatan PDRM.
“Suspek juga berlagak seperti pegawai polis dan seakan gembira dengan semua peralatan dimiliki dengan alasan hanya untuk suka-suka.
“Pemeriksaan pada badan ketika serbuan di rumahnya menemui satu kad kuasa menyerupai kad kuasa pegawai kanan PDRM warna biru, tiga keping kad Persatuan Bekas Polis, gambar pasport lengkap memakai pakaian seragam penuh dan sarung telefon bimbit warna hitam dengan perkataan ‘Police’,” katanya, di sini, semalam.
Menurutnya, serbuan dijalankan hasil maklumat orang awam yang curiga dengan suspek dan ketika serbuan, polis juga menahan dua wanita di kediaman itu.
Wanita berkenaan bagaimanapun dibebaskan dan hanya lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut.
“Sehingga kini, kami belum menerima sebarang laporan berhubung tindakan suspek yang mungkin menyamar sebagai pegawai kanan polis, bagaimanapun jika ada aduan kami menyiasat.
“Semakan rekod lampau menunjukkan suspek tiada rekod jenayah dan kini dreman dua hari,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana memiliki, membuat, menjual atau membekalkan barang yang diberikan kepada pegawai polis serta menggunakan pakaian seragam pasukan itu tanpa kebenaran.
“Jika sabit kesalahan boleh dipenjara enam bulan dan denda tidak melebihi RM500 atau kedua-dua sekali,” katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
metro
2 beradik tak mampu berdiri
Oleh Jamaludin Husin
[email protected]
2010/06/12
MUAR: “Berat badan kedua-dua anak lelaki saya ini naik mendadak sejak masing-masing berusia lima tahun. Kini, mereka tidak boleh bergerak dan berdiri.
“Kami terpaksa sediakan kerusi roda dan menghasilkan bangku khas. Kami sedih kerana kedua-duanya terpaksa berhenti sekolah kerana kami tidak ada kenderaan sesuai menghantar mereka,” kata Halimah Ali, 39, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Keroma, Jalan Datuk Kosai, Bakri di sini, semalam.
Menurut tukang jahit sambilan itu, kedua-dua anaknya, Md Ilham Ismail, 13, dan Md Ismadi, 12, selepas menunjukkan peningkatan berat badan ketika berusia lima tahun, berat mereka semakin bertambah hingga menggusarkan keluarga.
Bagaimanapun, anak sulungnya yang berusia 16 tahun tidak mengalami sebarang masalah. Akhirnya, keluarga berkenaan terpaksa membeli kerusi roda untuk digunakan kedua-dua beradik itu secara bergilir-gilir.
“Mulanya mereka mampu bergerak dan bersekolah seperti biasa. Bagaimanapun, apabila berat semakin bertambah, mereka mula mengalami masalah untuk bergerak.
“Kami belikan sebuah kerusi roda untuk kegunaan mereka, tetapi kini Md Ilham tidak boleh menggunakannya, sebaliknya suami, Ismail Atan menghasilkan sendiri bangku khas untuk kegunaannya,” katanya.
Sebelum ini, dua beradik berkenaan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Parit Keroma Darat di sini, dan dihantar Ismail menggunakan motosikal, tetapi kerana lelaki berusia 42 tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan itu tidak mampu membeli kenderaan sesuai, mereka terpaksa menamatkan sesi persekolahan.
Kini, kedua-dua beradik itu menghabiskan masa di rumah dan perlu dipapah jika mahu bergerak. Walaupun ada rakan mengajak mereka bermain, tetapi tidak mampu berbuat demikian.
“Md Ilham berhenti sekolah ketika tahun enam manakala adiknya ketika tahun lima. Kami buntu memikirkan bagaimana mahu memberikan mereka pelajaran formal akibat masalah kesihatan itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Perhubungan Puteri Umno negeri, Farha Ismail, yang menyaksikan keadaan dua beradik berkenaan berjanji akan mengetengahkan perkara itu kepada pihak berkaitan dalam masa terdekat.
“Kami akan menghulurkan bantuan termampu untuk membantu dua beradik berkenaan. Pada masa sama, kami akan membincangkan jalan penyelesaian bagi membantu mereka mendapatkan pendidikan formal,” katanya.
Selain dua beradik berkenaan, rombongan berkenaan melawat seorang ibu tunggal, Asmah Moslim, 80, yang uzur dan menghidap darah tinggi, kencing manis serta lemah jantung.
Warga emas berkenaan yang tinggal bersama anak menerima bantuan makanan serta wang tunai untuk kegunaan harian. |
|
|
|
|
|
|
|
berita harian
‘Rakyat usah pertaruh masa depan pilih pembangkang’
2010/06/13
JOHOR BAHRU: Rakyat diminta tidak mempertaruhkan masa depan mereka dan negara dengan memilih parti pembangkang yang hanya ingin berkuasa tetapi tidak mempunyai hala tuju untuk membawa negara ini ke arah kemajuan, kata Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.
Beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah selama 64 tahun sudah terbukti berjaya memimpin negara dengan baik dan tidak akan tergamak membiarkan tanah air dalam keadaan tidak menentu.
Katanya, terbaru kerajaan BN sudah membentangkan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang mempunyai strategi ekonomi untuk membawa Malaysia menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.
"Ia menekankan pembangunan inklusif dan keadilan sosial mencakupi semua masyarakat tidak kira Melayu, Cina, India, Orang Asli serta Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Saya percaya BN dapat memenuhi hasrat rakyat.
“Oleh itu, semua rakyat termasuk ahli Parti Progresif Penduduk (PPP) dan BN perlu kekal setia kepada BN tanpa mengizinkan parti pembangkang menjadi pemerintah negara," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung PPP di Dewan serbaguna Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah, Skudai, di sini semalam.
Abdul Ghani berkata, tindakan memilih parti pembangkang yang hanya ingin berkuasa tetapi tidak mempunyai hala tuju untuk membawa negara ini ke arah kemajuan, umpama menjual masa depan negara.
“Dakwaan bahawa dasar yang diperjuangkan BN dan UMNO adalah sempit perlu disangkal. Dasar yang dibuat BN yang diperjuangkan UMNO dan PPP adalah dasar sederhana. Ia ramuan untuk kita hidup dalam suasana maju, baik dan damai," katanya.
Sementara itu, Presiden PPP, Datuk M Kayveas, berkata parti itu semakin kuat dengan 580,000 ahli, termasuk Bumiputera dari Sarawak yang menyumbang kira-kira 8,000 ahli selain 900 ahli dari kalangan Orang Asli. |
|
|
|
|
|
|
|
Kumpul tandatangan kecam rejim Zionis
2010/06/14
HISHAMMUDDIN bersama pelajar UTHM menunjukkan isyarat 1Malaysia selepas majlis penutup Seminar Memperkasakan Generasi Muda 2010 di Dewan Terbuka UTHM di Batu Pahat, semalam.
BATU PAHAT: Kerajaan akan memulakan gerakan massa mengumpul sebanyak mungkin tandatangan rakyat Malaysia bagi mengiringi usul berhubung kekejaman rejim Zionis yang akan dibawa ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam masa terdekat ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet, baru-baru ini selepas usul tergempar berhubung kekejaman rejim Zionis itu diluluskan sebulat suara Dewan Rakyat 7 Jun lalu.
Katanya, kerajaan berharap usul mengecam Israel ke PBB akan disokong seramai mungkin rakyat Malaysia dalam bentuk tandatangan tanpa mengira kaum, agama serta ideologi politik sebagai pendirian bersama menolak penindasan, keangkuhan, kebiadaban serta kerakusan rejim Israel yang tidak berperi kemanusiaan.
“Gelombang kecil ini jika ada cetusan yang boleh menyedarkan, boleh menjadi gelombang besar dan tidak mustahil menjadi tsunami. Sekurang-kurangnya, suara kita bersama dapat didengari sama ada diakur atau tidak adalah perkara yang lain.
“Jika usul tergempar (mengecam Israel) yang dibentang di Dewan Rakyat boleh diterima sebulat suara tanpa mengira fahaman politik baru-baru ini, jadi apa alasan masyarakat untuk tidak menyahut cabaran dan usul ini.
“Sudah sampai masanya semua pihak termasuk pihak yang mempunyai fahaman serta ideologi politik berbeza untuk melihat serta berkongsi lebih banyak persamaan yang boleh menyatukan kita daripada melihat semua perkara dari sudut politik semata-mata, " katanya selepas menutup Seminar Memperkasakan Generasi Muda 2010, di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini semalam.
Ditanya siapa akan mengetuai gerakan massa berkenaan, Hishamuddin berkata, gerakan massa itu akan digerakkan rakyat sendiri melalui pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Aman Malaysia.
“Apa yang pasti rakyat menjadi elemen penting menunjukkan sokongan bagi menentang keganasan Israel dan kerajaan hanya akan membantu dari segi memberi sokongan dan panduan yang diperlukan," katanya.
Di POKOK SENA, Hishammuddin berkata, pihaknya akan memantapkan lagi inisiatif Keberkesanan Program Pemulihan Jabatan Penjara bagi memastikan jumlah banduan berulang kali masuk ke penjara dapat diturunkan.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya menyasarkan mengurangkan jumlah banduan berulang kali tidak melebihi 17 peratus daripada jumlah kemasukan setahun, bagi mengatasi masalah kesesakan dan mengurangkan beban perbelanjaan kerajaan. |
|
|
|
|
|
|
|
berita harian
Tenggiri 8.74kg tuah juara Laut Dalam
Oleh Saufi Hamzah
[email protected]
2010/06/14
Pekerja swasta bawa pulang RM20,000 dalam persaingan pusingan ketiga GP Joran 2010
DESARU: Seorang pekerja swasta, Zulkaflli Saaiddin dari Selangor meraih wang tunai RM20,000 dan menang bergaya dengan membawa pulang pelbagai hadiah iringan apabila mengungguli Kategori Laut Dalam pada pusingan ketiga saingan GP Joran 2010 di sini, semalam.
Beliau yang pertama kali menyertai pertandingan itu, menewaskan kira-kira 700 peserta lain dengan ikan tenggiri seberat 8.74 kilogram yang dipancing pada jam 8.08 pagi kelmarin.
Hasil kemenangan itu, Zulkaflli mengutip 131.1 mata sebagai bekalan untuk merebut hadiah utama pada pusingan akhir nanti di Teluk Lipat, Dungun.
Tempat kedua kategori yang sama dimenangi Aznan Abu Yazid dari Johor yang melayakkannya membawa pulang wang tunai RM10,000 dengan menaikkan ikan dari jenis dan berat yang sama pada jam 8.49 pagi.
Peserta dari Singapura, Mohd Effendi Mustafa pula muncul pemenang ketiga dan menerima habuan wang tunai RM4,000 dengan ikan tenggiri seberat 8.28 kilogram.
“Saya tidak menyangka untuk muncul juara dalam Kategori Laut Dalam. Apapun, hadiah kemenangan ini saya akan berikan sebahagian kepada isteri dan selebihnya akan digunakan untuk membeli peralatan memancing," kata Zulkafli ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan berkenaan.
Hadiah disampaikan oleh Penolong Pegawai Daerah Kota Tinggi, Mohd Radif Kosnin. Hadir sama Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Mahfar Ali; Pengarah Jabatan Pelancongan negeri, A Jabar Md Tahir; wakil Pengurus Besar Kejora, Noriah Hussain; Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat BERNAS, Sabrina Yon; wakil Pengurus Besar Desaru Resort, Tazulidin Tamin dan Pengurus Projek Khas Berita Harian, Mohd Mizal Hasbullah.
Karnival GP Joran 2010 turut menyaksikan penyertaan kira-kira 575 pemancing bagi Kategori Pantai.
Juara kategori itu, seorang pekerja ladang, Osman Sahid dari Indonesia yang menaikkan ikan ebek seberat 1.2 kilogram sekali gus menerima wang tunai RM20,000 dan pelbagai hadiah iringan.
“Hadiah ini saya akan guna sebagai modal berniaga kerana jumlahnya ialah kira-kira 40 juta Rupiah. Ini kali pertama menang sebagai juara dan ini akan menjadi pendorong untuk mengambil bahagian dalam pertandingan lain," katanya.
Naib juara diraih peserta tempatan, Paie Rosnin yang menjinakkan ikan ebek seberat 1.09 kilogram dan melayakkan beliau menerima RM10,000, manakala tempat ketiga diraih Mohd Azuki Mohd Shariff yang membawa pulang wang tunai RM4,000.
Selain itu, bagi Kategori Khas Laut Pari dikuasai Rahim Sulaiman yang menaikkan ikan seberat 14.16 kilogram dan membawa pulang wang tunai RM1,000 manakala Shahidan Din kedua dengan ikan seberat 12.54 kilogram bagi meraih RM500 dan tempat ketiga menjadi milik Mohd Badrul Hisyam Zainal Abidin dengan RM300.
Sementara itu, Mohd Mizal berkata, Berita Harian amat berterima kasih kepada kerjasama kerajaan negeri dan semua agensi yang terbabit menjayakan pertandingan berkenaan di Desaru.
“Kita dapati setiap tahun GP Joran di Johor, bukan saja sambutan amat memuaskan dari kalangan pemancing tempatan tetapi peserta negara jiran seperti Indonesia dan Singapura yang turut mengambil bahagian.
“Secara tidak langsung ia dapat mempopularkan lagi Johor sebagai destinasi pelancongan. Hampir 60 peratus peserta dari Johor dan kita berharap sambutan ini terus diberikan pada tahun akan datang," katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
berita harian
Johor: Bersih lubuk maksiat
Oleh Mohamed Farid Noh
[email protected]
2010/06/14
140 kKuarters usang dibaiki untuk didiami pegawai kerajaan
BATU PAHAT: Selepas lebih tiga tahun terbiar usang dan menjadi sarang maksiat, vandalisme dan jenayah, kira-kira 140 unit kuarters kerajaan Gunung Soga di sini, dibersihkan dan dibaik pulih, baru-baru ini.
Deretan kuarters berkenaan sebelum ini bukan saja menyakitkan pandangan warga bandar malah turut membahayakan penduduk setempat berikutan semak dan belukar tumbuh melata menjadi sarang binatang berbisa seperti ular.
Malah apa yang dibimbangkan penduduk setempat mengenai tempat itu dijadikan kawasan persembunyian penjenayah berasas dengan penemuan motosikal curi sebaik kerja pembersihan dilakukan baru-baru ini.
Pegawai Daerah Batu Pahat, Norizan Kulob, berkata pihaknya mengambil langkah membersihkan dan membaikpulih kuarters berkenaan dan kawasan sekitarnya berikutan ia sudah menjadi terlalu menjolok mata.
Katanya, sebelum ini kawasan berkenaan ingin dimajukan pihak swasta menyebabkan ia terpaksa dikosongkan sebelum ia tertangguh begitu saja disebabkan masalah teknikal dan perundangan.
“Ia terbiar usang sehinggalah pihak kami menerima banyak aduan penduduk sekitar yang tidak selesa dengan pemandangan di situ yang terlalu semak selain ia dijadikan tempat maksiat muda-mudi serta dibimbangi menjadi kawasan jenayah.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membaikpulih secara asas semua 140 unit kuarters ini bagi membolehkan ia diduduki pihak yang berminat termasuk mana-mana pegawai agensi kerajaan mahupun institusi pengajian tinggi (IPT) yang mahu menjadikannya sebagai kawasan kediaman pelajar mereka.
“Kita juga dengan ini membuka kuarters ini kepada pihak yang berminat termasuk agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu menjadikannya sebagai pejabat mereka di sini.
“Kepada yang berminat, permohonan boleh diajukan terus kepada Pejabat Daerah dengan beberapa syarat termasuk kos penyelenggaraan yang perlu ditanggung sendiri," katanya kepada Edisi Johor.
Januari lalu, Edisi Johor melaporkan deretan kuarters kerajaan berkenaan terbiar dan hanya menunggu masa menyembah bumi sehingga menyesakkan pandangan warga daerah ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kuarters Kerajaan Gunung Soga, Ali Mohd Yunus, 51, berkata beliau bersyukur kerana akhirnya Pejabat Daerah membersihkan dan membaik pulih kawasan berkenaan.
“Pada masa ini, hanya kira-kira 32 lot kuarters yang diduduki penjawat awam, sementara yang lain terbiar usang sehingga ditumbuhi belukar.
“Keadaan itu amat membahayakan penduduk terutama remaja dan pelajar yang sering melalui kawasan ini untuk ke sekolah berhampiran, malah penduduk pernah terserempak dengan pasangan remaja sedang memadu asrama di dalam kereta ketika pulang dari solat Isyak yang sudah tentu amat tidak menyenangkan penduduk sekitar," katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
myMetro
'Ejen bola’ edar iklan ditahan
2010/06/15
BATU PAHAT: Seorang ejen yang sibuk mengedarkan iklan pinjaman along sempena Piala Dunia 2010 Afrika Selatan di Pekan Ayer Hitam, di sini, ditahan ketika asyik menjalankan tugasnya itu.
Iklan mengelirukan itu termasuk pelbagai tawaran menarik seperti tanpa faedah selama lima hari diedarkan bersama jadual perlawanan bola sepak dan nombor telefon along.
Ia bukan setakat untuk menghubungi Along terbabit, malah untuk membuat pertaruhan membabitkan perlawanan dikehendaki.
Bagaimanapun, malang menimpa lelaki berusia 23 tahun itu kerana ketika asyik mengedarkan iklan, dia terserempak dengan seorang anggota polis sebelum ditahan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris, berkata dalam kejadian petang kelmarin, lelaki terbabit ditahan ketika asyik meletak jadual dan iklan along di cermin depan kenderaan di sekitar Ayer Hitam.
Katanya, lelaki itu diserahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk siasatan lanjut. |
|
|
|
|
|
|
|
utusan online
Ibrahim Mohd. Aris menunjukkan kad iklan tawaran pinjaman wang dan kad jadual pertandingan bola Piala Dunia di IPD Batu Pahat, semalam.
BATU PAHAT 14 Jun - Baru tiga hari perlawanan Piala Dunia 2010 berlangsung, kegiatan ah long cuba memerangkap mangsa telah dikesan.
Ia terbukti apabila ada ah long di daerah ini yang menawarkan pinjaman tanpa bunga jika hutang dilunaskan dalam tempoh antara tiga dan lima hari.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd. Aris ketika mendedahkan perkara tersebut meminta mana-mana pihak agar tidak terpedaya dengan tawaran itu.
"Ia jelas satu perangkap kerana dalam perjudian, tiada yang akan sentiasa menang. Apabila kalah, duit pinjaman ah long tidak dapat dibayar dan biasanya peminjam akan menerima ugutan.
"Ia sekali gus membebankan pihak polis kerana banyak lagi kes yang perlu diberi perhatian untuk diselesaikan. Kita berharap orang ramai tidak terpedaya dengan taktik ah long ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.
Sementara itu, Ibrahim berkata, seorang remaja ditahan kerana mengedarkan kad iklan ah long yang dilengkapi jadual pertandingan Piala Dunia 2010 dalam bahasa Melayu dan Cina.
Katanya, remaja itu ditahan atas kesalahan mengedarkan iklan tanpa permit daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Kita juga menyiasat siapakah dalang utama sindiket ah long itu," ujarnya |
|
|
|
|
|
|
|
utusan online
Johor guna sistem trem BRT
Oleh NORZAINURA ABDUL MAJID
[email protected]
BATU PAHAT 14 Jun - Johor merancang menggunakan sistem Bas Rapid Transit (BRT) iaitu sistem pengangkutan bas berbentuk trem sejauh 40 kilometer yang menghubungkan pusat bandar raya Johor Bahru ke Iskandar Malaysia.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, projek berkenaan telah dibentangkan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk tindakan lanjut dan dijangka memulakan operasinya dalam tempoh dua tahun lagi.
"Sebagai permulaan, sistem BRT ini akan menggunakan dua laluan utama iaitu Tebrau dan Skudai secara dua hala sejauh kira-kira 40 kilometer dan hentiannya juga telah dikenal pasti," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Lagoon Sembrong, Parit Raja sempena Rawatan Aplikasi Teknologi Mikrob dekat sini baru-baru ini.
Katanya, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) diharap dapat membantu kerajaan negeri merealisasikan rancangan itu supaya sistem pengangkutan berkenaan dapat mula beroperasi di Johor Bahru dalam masa dua tahun ini.
Abdul Ghani berkata, sistem BRT ini digunakan dengan meluas di banyak negara termasuk di Brisbane, Australia.
"Pada pendapat saya ia lebih baik daripada sistem Transit Aliran Sederhana (MRT) dan kita menjangkakan dalam masa lima tahun lagi ia akan digunakan di kawasan Johor Bahru terutamanya di taman perumahan," katanya.
Beliau berkata, andai dapat dilaksanakan, BRT akan menjadi antara sistem pengangkutan utama di bandar raya Johor Bahru dan merupakan pengangkutan berkesan dan efektif untuk diperluaskan kerana kosnya yang lebih rendah berbanding MRT.
Beliau berkata, kerajaan tidak perlu membina laluan baru khususnya membina laluan bertingkat atau terowong tetapi cukup dengan membina laluan khas bas di laluan sedia ada.
Abdul Ghani berkata, BRT sesuai digunakan dari Johor Bahru ke Iskandar Malaysia kerana ia lebih fleksibel serta mempunyai kapasiti mencukupi bagi menampung keperluan masyarakat.
Katanya, sekiranya dua laluan yang dibuat itu berjaya, bas hibrid yang mesra alam tanpa perlu menggunakan diesel mahupun petrol dapat digunakan.
Kerajaan negeri memberi jaminan kesemua bas yang beroperasi akan mengikut kekerapan serta ketepatan masa perkhidmatan bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna |
|
|
|
|
|
|
|
utusan online
FAMA biaya kios air tebu
BATU PAHAT 14 Jun - Jenama Tebu Semerah yang semakin mendapat perhatian mendorong Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memperkenalkan program usahawan bimbingan dengan membiayai sepenuhnya kios air tebu untuk diusahakan peniaga tempatan.
Pengarah FAMA negeri, Faridulatrash Md. Mokri berkata, empat usahawan tempatan dipilih menyertai program perintis itu yang menawarkan kios air tebu moden mengikut piawaian tinggi yang ditetapkan pihaknya.
"Semua peralatan termasuk modal pusingan awal diberikan, malah kesemua peserta telah menjalani kursus akaun untuk menjalankan perniagaan dengan berkesan.
"Mereka hanya memproses tebu jenama Semerah yang terdapat di Pusat Pengumpulan Ladang FAMA di Semerah yang dijamin kualiti dan tahap kebersihannya," katanya pada Majlis Penyerahan Kios Tebu Semerah di sini baru-baru ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah, Datuk Ariss Samsudin yang menyerahkan kios tersebut kepada empat usahawan terpilih iaitu Abdul Rahman Hussin, 44; Azman Sujad, 37; Mustaffa Khalid, 45, dan Shahrul Zahrin Jaafar, 33.
Faridulatrash berkata, peserta juga dikehendaki mengendalikan kios menerusi kaedah piawaian yang lebih menarik dan bersih, antaranya batang tebu yang hendak diproses perlu dipotong kecil pada saiz 0.45 meter dan disimpan dalam kotak.
"Ini berbeza berbanding kaedah konvensional di tepi jalan yang batang tebu panjang dipacak dan disilang macam dalam cerita puak Apache, Red Indian," katanya.
Beliau berkata, FAMA juga bersedia membantu usahawan tersebut mempelbagaikan hasil tebu di kios masing-masing seperti penjualan jeli dan ais krim yang diperbuat daripada tebu.
FAMA berharap supaya empat usahawan terpilih itu dapat mengembangkan perniagaan mereka termasuk mewujudkan persatuan bagi membolehkan mereka mendapat pasaran di pasar raya seluruh negara.
Menurut Faridulatrash, kira-kira 90 peratus tebu yang dieksport ke luar negara dihasilkan di Johor dengan majoritinya dari Batu Pahat dan Muar.
Beliau memberitahu, Pusat Pengumpulan Ladang FAMA di Semerah merupakan satu-satunya pusat pengumpulan tanaman tebu kendalian pihaknya.
Sementara itu, Ariss berkata, Tebu Semerah telah menjadi jenama yang dikenali di dunia dan mendapat permintaan tinggi dari Singapura |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|