Personaliti media sosial yang dikenali ramai, Faiz Dickie akan menggunakan pengaruhnya sebaik mungkin menerusi platform itu selagi terdapat permintaan daripada masyarakat terutama pengikutnya. Pemilik nama sebenar Mohd Nasrul Faiz Abu Azal berkata, pada masa ini antara yang dilakukannya adalah mempromosikan produk dan membuat iklan. “Sebab saya berpendapat kegemilangan seseorang di media sosial tidak bertahan lama kerana satu hari nanti mungkin kita akan jatuh. Jadi, sementara ada ‘demand’ sekarang, lebih baik saya menggunakan peluang ini sebaik mungkin. Saya tidak mahu sekadar dikenali sebagai Faiz Dickie yang hanya menghasilkan video-video lawak, tetapi turut menggunakan platform yang diikuti ramai ini untuk perkara-perkara lain yang memberi manfaat. Lebih mesra dengan panggilan Faiz, dia bagaimanapun mahu terus bergelar sebagai individu berpengaruh di media sosial. Katanya, ramai melihat golongan berkenaan lebih menjurus kepada bidang hiburan, tetapi beliau berpendapat skopnya begitu meluas dan beliau pula menjurus kepada akademik. Tambah pemuda berusia 27 tahun ini, pendekatan itu seiring dengan cita-citanya untuk bergelar pensyarah dalam bidang berkaitan media terutama media baharu. “Saya mahu jadi pensyarah satu hari nanti, sebab itu saya kini melibatkan diri dengan memberi ceramah dan ucapan. Secara tidak langsung, ia dapat membina kemahiran saya dalam berkomunikasi. Alhamdulillah, banyak universiti menjemput saya untuk memberikan ‘talk’ dan ucapan. Saya berbesar hati bila dikatakan para pelajar menghormati saya,” ujar Faiz. Tambah Faiz, ceramah atau ucapan itu lebih kepada sesi perkongsian pengalaman dan pengetahuannya berkaitan dengan media sosial, media digital dan kewartawanan.
|