|
kosmo
Meninggal dunia selepas tunai haji
KERETA yang dipandu Sulaiman terbabas sebelum terjatuh ke tebing setinggi 15 meter dalam kemalangan di Batu Pahat, Johor semalam.
BATU PAHAT - Tiga maut apabila kereta yang mereka naiki terbabas sebelum terjatuh ke tebing setinggi 15 meter di Kilometer 124.6 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Pagoh-Yong Peng di sini semalam.
Kejadian pukul 10 pagi itu menyebabkan Sulaiman Besah@Kitam, 46, dari Bukit Antarabangsa, Ampang, Mohd. Ranoorsyam Abdul Razak, 27, dari Tumpat, Kelantan dan Md. Fuat Ahmad, 53, dari Kelana Jaya, Selangor mati selepas tersepit dalam kenderaan.
Difahamkan tiga sahabat itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru atas urusan perniagaan.
Sulaiman ialah Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Maju Nusa Sdn. Bhd., iaitu syarikat berkaitan perunding teknologi maklumat dan komunikasi di ibu kota. Dia baru sahaja memulakan tugas selepas pulang daripada mengerjakan haji pada 1 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd. Aris berkata, kejadian berlaku apabila kereta jenis Toyota Camry yang dipandu |
|
|
|
|
|
|
|
kosmo
Geng pecah rumah penjahat Vietnam
Oleh NASRI JAMALUDIN
[email protected]
MOHD. MOKHTAR (dua dari kanan) mendengar penerangan pegawainya mengenai barang rampasan pada sidang akhbar di Johor Bahru semalam.
JOHOR BAHRU - Berhenti kerja kilang untuk jadi penjenayah.
Bagaimanapun, tindakan sekumpulan sembilan warga Vietnam termasuk tiga wanita itu tidak ke mana apabila mereka ditahan dalam satu serbuan di tiga premis berasingan di sekitar Kelapa Sawit, Kulaijaya Selasa lalu.
Difahamkan, sejak lari daripada majikan beberapa bulan lalu, suspek yang berusia di antara 27 dan 33 tahun disyaki telah memecah masuk sekurang-kurangnya 50 premis termasuk kilang, pasar raya dan pejabat di sekitar bandar raya ini. Sebelum ini kesemua mereka bekerja di sebuah kilang di sini.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, siasatan awal mendapati kesemua mereka bertindak melarikan diri daripada majikan untuk menjadi penjenayah.
"Sebelum ditangkap, kesemua mereka telah menceroboh sebuah kilang di kawasan Bukit Batu, Kulaijaya. Kita turut menemui beberapa senjata dan barang yang dilarikan termasuk 21 unit telefon bimbit, sebuah komputer riba, kamera (2), pendrive (5), mesin pemotong jenama Bosch (4) dan 60 keping cutting dish.
"Selain hasil risikan, mereka yang banyak meresahkan orang ramai termasuk pelabur negeri ini dapat ditangkap berdasarkan maklumat awam," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini semalam. |
|
|
|
|
|
|
|
metro
Cenderamata eksklusif
JOHOR BAHRU: Pameran Fotografi sempena Sambutan 20 Tahun Akhbar Harian Metro di Danga City Mall di sini, menjadi tumpuan penggemar dan peminat cenderamata eksklusif The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP).
Antara cenderamata menarik disediakan untuk pengunjung adalah cawan, botol air, pendrive dan pelapik tetikus yang boleh diperoleh pada harga serendah RM10 hingga RM25.
Pengunjung, Mohd Zalani Razak, 34, berkata dia amat tertarik dengan cenderamata yang dijadikan buah tangan ketika mengunjungi pameran pertama kali dianjurkan di Malaysia itu.
Dia yang tinggal di Sitiawan, Perak, mengambil kesempatan cuti sekolah pulang ke kampung di Pontian untuk mengunjungi pameran berkenaan bagi mengenali dengan lebih dekat akhbar dan berita liputan Harian Metro sejak diterbitkan pada 1991.
“Sebagai pembaca setia Harian Metro, saya sentiasa menyokong program dianjurkan akhbar ini dan cenderahati yang dijual juga dianggap pada harga berpatutan, malah amat berbaloi membelanjakan wang untuk mendapatkan barangan eksklusif ini.
“Diharapkan pada masa akan datang program seumpama ini dibuat dengan lebih kerap dan di semua negeri di tanah air bagi membolehkan pembaca mengenali segala aspek Harian Metro termasuk gambar, berita, wartawan dan akhbar Harian Metro sendiri,” katanya.
Katanya, selain kupasan isu semasa berkaitan masyarakat masa kini, kandungan dan isi yang padat menyebabkan dia memilih Harian Metro sebagai akhbar utama.
Bagi Rohaniza Kassim, 26, dia berminat memiliki cenderahati dijual di pameran itu untuk dijadikan koleksi peribadinya berikutan keluarannya yang terhad.
“Cenderamata yang ditawarkan juga pelbagai, rekaannya menarik dan harganya tidak mahal dibandingkan dengan barangan lain yang dijual di pasaran.
“Malah, cenderamata seperti pendrive dengan rekaan terkini dan mudah dibawa juga amat berguna untuk kerja harian, bukan sekadar buah tangan atau disimpan saja,” katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
utusan
Sultan Johor, Sultan Kelantan dikurnia DK
SHAH ALAM 10 Dis. - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dikurniakan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) sempena ulang tahun ke-65 keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, esok.
Istiadat pengurniaan darjah kebesaran itu akan berlangsung di Istana Alam Shah, Klang pada pagi esok.
Dua orang menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) darjah kelas pertama yang membawa gelaran 'Datuk Seri' iaitu Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad.
Anakanda Sultan Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dikurniakan Darjah Kebesaran Datuk Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) kelas pertama yang membawa gelaran Datuk Setia.
Seorang lagi penerima darjah kebesaran tersebut ialah Pro Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Tan Sri Dr. Nayan Ariffin.
Seramai 12 orang dikurniakan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS), darjah kelas kedua yang membawa gelaran 'Datuk' kepada lelaki dan 'Datin Paduka' bagi penerima wanita.
Mereka didahului oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Teng Chang Khim; Pengarah Urusan Sime Darby Property Berhad, Datuk Tunku Putra Badlishah Tunku Annuar; Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Wira Allatif Mohamed Noor.
Pakar Klinikal Kanan O&G Markas Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Dr. Abdul Razak Md. Yusoff; Laksamana Madya Panglima Angkatan Bersama, Markas Angkatan Tentera Laut, Datuk Jamil Osman; Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) - Pentadbiran dan Pembangunan, Md. Nasir Md. Arshad.
Turut menerima DPMS ialah Timbalan Ketua Pengarah II Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Datuk Wahab Hamid; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Mislan Tugiu; Pegawai Daerah Hulu Langat, Zainal Abidin Aala dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Che Asmah Ibrahim.
Pakar Perunding Bedah Am dan Ketua Jabatan Bedah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Dr. Mohamed Yusof Abdul Wahab dan Pengarah Nestle (M), Berhad, Mohd. Rafik Shah Mohamad.
Seramai 16 orang menerima Darjah Kebesaran Datuk Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS), darjah kelas kedua yang membawa gelaran 'Datuk' bagi lelaki dan 'Datin Paduka' bagi wanita.
Mereka ialah Panglima Sistem Armada, Markas Tentera Laut, Laksamana Pertama Datuk Khairuddin Khalid; Timbalan Asisten Ketua Staf (AKS) Perkhidmatan Anggota Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral Datuk Ahmad Anuar Ahmad dan Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (UiTM), Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam.
Bekas ketua pasukan bola sepak Malaysia pada Sukan Olimpik 1972, Datuk M. Chandran; Pegawai Daerah Klang, Bakhtiar Hussin; Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia, Azizan Mohamad Sidin; Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal UPM, Prof. Dr. Yaakob Che Man dan Pengarah Pasukan Pertubuhan Khas Persekutuan Majlis (Sabah/Labuan) Keselamatan Negara, Misri Barham.
Penerima lain, Pensyarah Jabatan Fizik Universiti Malaya (UM), Prof, Dr. Mohd. Zambri Zainuddin; Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Ab. Halim Tamuri; Pendaftar UPM, Wan Azman Wan Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings Berhad, Norazlina Zakaria.
Naib Presiden Eksekutif Sapura Secured Technologies Sdn. Bhd., Wan Shaharuddin Wan Mahmood; Pegawai Eksekutif NGV Tech Sdn. Bhd., Zulkifli Sharif; Ketua Pegawai Eksekutif I-Berhad, Eu Hong Chew dan Timbalan Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan SP Setia Berhad, Teow Leong Seng.
Seramai 15 orang dikurniakan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor (SMS) antaranya, Pengarah Dasar dan Pengurusan Markas Tentera Darat, Kolonel S. Suriakala; Pengarah Sumber Markas Tentera Darat, Kolonel Nazri Abu Bakar; Pengarah Undang-undang Markas Tentera Laut, Kapten Azhari Abdul Aziz.
Pegawai Pemerintah Pangkalan Udara Subang, Kolonel Ramlan Kasbi dan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Jalil Hassan.
Orang Besar Istana (Tengku Seri Paduka Shah Bandar) Tengku Ardy Esfandiari Tengku Abdul Hamid Shah pula antara 18 orang yang menerima Darjah Kebesaran Setia Sultan Sharuddin Idris Shah (SIs).
Antara yang turut tersenarai ialah Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Abu Bakar Mohd. Daud; Timbalan Pendaftar Kanan UPM, Chek Zan Kasah; Pengarah Bahagian Kejuruteraan Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan, Ir. Mohamad Dalib dan Pengarah Cawangan Risikan Kastam Diraja Malaysia, Badarudin Mohamed Rafik.
Seramai 27 orang dikurniakan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (AMS) termasuk wartawan akhbar The Star, Edward Rajendra J.S. Henry Kandiah manakala seramai 20 lagi dikurniakan Darjah Kebesaran Ahli Sultan Sharafuddin Idris Shah (AIS) dan seramai tujuh orang menerima Bintang Perkhidmatan Cemerlang (BPC).
Sultan Selangor juga berkenan mengurniakan tiga Jaksa Pendamai (JP) iaitu kepada bekas Ahli Dewan Diraja Selangor, Datuk Abu Bakar Abdul Hamid; Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Kementerian Sumber Manusia, Tan Sri Lee Lam Thye dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Raja Muda Selangor, Puan Sri Thamayanthi Dewi Ampikaipakan. |
|
|
|
|
|
|
|
utusan
Johor bangga lima sekolah dipilih sebagai perintis
JOHOR BAHRU 10 Dis. - Pemilihan lima sekolah di negeri ini sebagai perintis Rangkaian Sekolah Amanah Yayasan Amir, sebuah yayasan di bawah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) disambut baik oleh Pengarah Pelajaran negeri, Markom Giran.
Beliau yang bangga dengan pemilihan itu yakin, pretasi kelima-lima sekolah tersebut iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Uda (2), SK Kampung Layau, Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Kangkar Pulai, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Semenchu dan SMK Gelang Patah akan terus melonjak.
Menurutnya, menerusi Yayasan Amir, setiap sekolah akan menerima bantuan bernilai RM1 juta setahun bagi tujuan mempertingkatkan kecemerlangan akademik dan kokurikulum serta pengurusan sekolah.
Selain itu, setiap sekolah yang terbabit turut menerima bantuan tenaga pengajar profesional dalam beberapa bidang seperti bahasa Inggeris.
"Banyak program akan dirangka bagi memastikan matlamat Yayasan Amir ini tercapai dalam usaha untuk melahirkan pelajar yang berpotensi dan sekali gus menjadi pemangkin negara," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Selain Johor, lima sekolah di Sarawak yang turut terpilih adalah Sekolah Menengah Sains Kuching, SK Kampung Empila, SK Combine, SK Tabuan dan SMK Bandar Kuching (2).
Sementara itu, Guru Besar SK Bandar Baru Uda (2), Fuziah Hassan melahirkan rasa terharu dan bangga dengan pemilihan sekolah tersebut yang disifatkan sebagai salah satu pencapaian peribadi sekolah berkenaan.
"Usaha Khazanah yang menyumbangkan 'kepakaran' idea dan kewangan menerusi yayasan ini sangat dipuji kerana dapat membantu meningkatkan mutu pendidikan negara," katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
Post Last Edit by selimutpurple at 11-12-2010 09:43
utusan
EDL atasi kesesakan bandar
Oleh ZULHISHAM ISAHAK
[email protected]
Kerja merobohkan rumah setinggan untuk projek Pembinaan Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Timur berjalan rancak di Kampung Belantik, Johor Bahru, baru-baru ini.
JOHOR BAHRU 10 Dis. - Pembinaan Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL) sepanjang 8.1 kilometer dengan kos hampir RM1 bilion bakal menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di bandar raya ini.
EDL yang mula dibina pada 2008 dan dijadualkan siap Februari 2012, direka bentuk bagi penyuraian dan kelancaran trafik dan dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan wilayah Iskandar Malaysia.
Ia bakal menghubungkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar di sini dengan Lebuh Raya Utara-Selatan di Persimpangan Bertingkat Pandan.
Laluan itu yang dibina oleh Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB) melalui anak syarikatnya, MRCB Lingkaran Selatan Sdn. Bhd. (MRCB Lingkaran Selatan) kini siap 60 peratus.
Bagaimanapun, projek yang melibatkan lima kawasan setinggan iaitu Kampung Desa Melayu, Kampung Desa Jaya, Kampung Desa Makmur, Kampung Tengah dan Kampung Belantik kini terbantut.
Daripada 424 keluarga setinggan di lima kampung tersebut, hanya 44 keluarga dari Kampung Desa Melayu dan Belantik enggan berpindah atas beberapa alasan.
Keadaan tersebut melambatkan projek berkenaan khususnya kerja merobohkan rumah di dua kampung itu yang dimulakan awal tahun ini.
Pengarah Projek MRCB, Shaharuddin Mohamed memberitahu, pihaknya kini terpaksa menanggung kos lebih tinggi disebabkan kelewatan tersebut.
Menurutnya, MRCB menyediakan pampasan selain penempatan baru iaitu di kawasan Kem Majidee, di sini dengan harga RM50,000 bagi setiap unit rumah berbanding RM80,000 harga pasaran.
Penempatan baru itu disediakan kerajaan negeri menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan dijadual siap dibina pada awal 2012.
Sementara menunggu rumah itu siap, rumah sementara disediakan di Taman Desa Mutiara, di sini dan kos perpindahan RM2,000 turut diberikan kepada setiap keluarga.
"Selain itu, kita juga memberi RM380 sebulan selama tiga tahun sehingga rumah yang disediakan siap dua tahun lagi.
"Kita juga menyediakan perkhidmatan bas sekolah secara percuma untuk menjaga kebajikan anak-anak mereka," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.
Shaharuddin berkata, projek tersebut penting untuk disiapkan mengikut jadual kerana ia bakal mengurangkan kesesakan, sekali gus memberi banyak manfaat kepada rakyat Johor.
Sehubungan itu, beliau meminta penduduk yang enggan berpindah supaya memberi kerjasama kerana EDL adalah projek Kerajaan Persekutuan.
Katanya, kesemua rumah yang terlibat tidak mempunyai geran dan status tanah tersebut adalah milik kerajaan dan penduduk patut bersyukur dengan tawaran yang diberikan itu.
Sementara itu, seorang penduduk Kampung Belantik, Musa Teh, 68, berkata, mereka bukan tidak mahu berpindah tetapi perlu menguruskan beberapa hal terlebih dahulu.
Bapa kepada tujuh anak itu memberitahu, mereka hanya menunggu pampasan pihak pemaju dan selepas itu akan berpindah.
"Walaupun sudah lebih 20 tahun tinggal di kampung ini, tetapi kami akur dengan arahan kerajaan supaya berpindah," katanya.
Maskom Popom, 50, berkata, mereka akan berpindah sebelum hujung bulan ini dan memahami hasrat kerajaan mengambil tanah di situ untuk pembinaan EDL.
"Kami tidak menolak pembangunan, cuma berikan sedikit masa. Saya bersetuju untuk berpindah dan menantikan cek pihak MRCB," katanya yang mempunyai enam anak.
Bagi Salimin Khisut, 78, projek tersebut harus diteruskan walaupun kebanyakan penduduk mendiami kampung itu lebih 30 tahun.
Dia yang bersetuju untuk berpindah tidak lama lagi memberitahu, hanya segelintir penduduk enggan berpindah manakala selebihnya bersetuju selepas diberikan penerangan.
Norizan Yuop, 46, pula berkata, kurang daripada 20 rumah di kampung tersebut yang dirobohkan untuk tujuan pembinaan EDL.
Bagaimanapun, katanya, kerja meroboh rumah mendapat tentangan dua atau tiga keluarga dan penerangan yang lebih terperinci mengenai manfaat projek itu perlu dilakukan.
"Kita tidak mahu ada yang salah faham dengan projek ini seolah-olah kerajaan merampas tanah dan hak penduduk," kata ibu kepada empat anak ini. |
|
|
|
|
|
|
|
'Kami selesa di rumah baru'
JOHOR BAHRU 10 Dis. - Lebih 300 keluarga dari lima kampung yang terlibat dengan projek Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL) bersyukur kerana diberi pampasan dan kebajikan mereka turut tidak diabaikan oleh pihak pemaju serta kerajaan negeri.
Mereka turut berterima kasih ditempatkan di rumah sementara di Taman Desa Mutiara yang selesa sebelum berpindah ke perumahan yang ditawarkan iaitu di perumahan baru di Kem Majidee, di sini.
Seorang penduduk, Kamariah Wahab, 48, dari Kampung Desa Melayu berkata, mereka sedar lambat-laun tetap berpindah dari kampung itu kerana kawasan itu merupakan penempatan setinggan.
"Suka atau tidak kita kena pindah, kita sedar tinggal di kawasan itu statusnya adalah menumpang," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Ibu kepada tiga anak itu memberitahu, keluarganya berpindah ke taman tersebut empat bulan lalu dan mula merasa serasi tinggal di situ.
Norazah Osman, 37, dari Kampung Desa Makmur berkata, mereka tidak dipaksa berpindah sebaliknya dengan rela hati berbuat demikian.
Menurutnya, rumah keluarga yang diduduki sejak 20 tahun tidak mempunyai geran dan begitu juga rumah penduduk lain.
"Perpindahan ini baik untuk masa depan kami," kata ibu kepada empat anak itu.
Bagi Hasanah Leman, 58, dari Kampung Belantik, mereka sekeluarga mula selesa tinggal di taman tersebut kerana jirannya dari kampung yang sama.
Dia dan suami serta lima anak yang menetap di kampung tersebut selama 35 tahun, pada mulanya agak keberatan untuk berpindah ke taman itu.
"Bagaimanapun, perasaan itu hilang setelah beberapa bulan tinggal di taman ini. Kami berpuas hati dengan pampasan yang diberi," katanya.
Salsiah Anis, 48, yang berpindah ke situ sejak tiga bulan lalu berpendapat, isu perpindahan itu tidak perlu dipertikaikan kerana status tanah kampung itu boleh dipersoalkan.
Dia berkata, tawaran yang diberikan pihak pemaju dan kerajaan negeri adalah yang terbaik dan adil serta merupakan situasi menang-menang. |
|
|
|
|
|
|
|
Johor negeri ke-4 wujudkan BLESS
Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD
[email protected]
abdul Ghani Othman diberi penerangan mengenai Sistem Sokongan Elektronik Perlesenan Perniagaan pada majlis pelancarannya di Pusat Konvensyen Danga Bay, Johor Bahru, kelmarin.
JOHOR BAHRU 10 Dis. - Johor muncul negeri keempat yang berjaya mewujudkan Sistem Sokongan Elektronik Pelesenan Perniagaan (BLESS).
Aplikasi sistem BLESS berperanan memudahkan pelabur dan peniaga menjalankan perniagaan di negeri ini.
Penubuhan BLESS yang dilaksanakan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri itu dilancarkan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, di sini semalam.
Abdul Ghani berkata, BLESS diyakini mampu meningkatkan jumlah pelaburan dan perniagaan di negeri ini.
"Dalam keadaan serba moden, peniaga kini tidak boleh bergantung pada kaedah manual. Dengan itu, kerajaan sediakan BLESS yang berfungsi sebagai pusat perkhidmatan setempat dalam talian.
"Objektif BLESS adalah mewujudkan tetingkap tunggal kepada agensi kerajaan bagi membolehkan pelabur atau peniaga mendapat maklumat tentang urusan pelesenan perniagaan di negeri ini khasnya dan negara amnya," katanya.
Justeru, beliau berharap golongan pelabur dan peniaga dapat memanfaatkan kemudahan itu sebaik mungkin untuk mengembangkan perniagaan masing-masing di negeri ini.
Menurutnya, kerajaan sentiasa membantu dan menyediakan peluang perniagaan untuk semua golongan bagi meningkatkan lagi ekonomi negeri dan negara. |
|
|
|
|
|
|
|
utusan
578 warga emas, Orang Asli dapat lesen
MERSING 10 Dis. - Seramai 578 warga emas dan masyarakat Orang Asli menerima lesen kelas B2 (motosikal) yang menyertai program pelesenan berkelompok anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri sempena Program Satu JPJ Satu Komuniti di Endau, dekat sini baru-baru ini.
Pengarah JPJ negeri, Rosli Ramli berkata, warga emas berumur 45 tahun ke atas dan masyarakat Orang Asli yang berumur melebihi 21 tahun layak menyertai program tersebut.
Beliau berkata, program itu merupakan salah satu usaha pihaknya memudahkan orang ramai khususnya warga emas untuk mendapatkan lesen memandu yang sah, di samping menyemai sikap mematuhi undang-undang jalan raya.
"Proses untuk dapatkan lesen memandu berkenaan adalah seperti biasa, bezanya kami sendiri turun padang menemui penduduk," katanya kepada Utusan Malaysia.
Program tiga hari itu dirasmikan Timbalan Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad.
Menurutnya, Endau merupakan destinasi ketiga selepas Gelang Patah dan Batu Pahat sebagai lokasi Program Satu JPJ, Satu Komuniti dan setakat ini lebih 2,000 orang telah menyertai program itu.
Sementara itu, Abdul Latiff berharap lebih banyak program seumpama itu dianjurkan bagi dekatkan dengan masyarakat.
"Dengan adanya program turun padang ini, rakyat boleh dekati kakitangan kerajaan untuk dapatkan maklumat dengan mudah," katanya.
Seorang penerima lesen, Rosiah Ismail, 48, berkata, dia membayar RM180 untuk dapatkan lesen dan tidak perlu ke bandar Mersing kerana JPJ turun padang menemui orang ramai.
"Saya gembira kerana kini mempunyai lesen menunggang motosikal yang sah dan ucapkan terima kasih kepada JPJ," katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
utusan
Pemuda sumbang kerusi roda kepada Arshad
Mesran Tukiman (kiri) menyampaikan sumbangan kerusi roda dan beg lampin pakai buang kepada Arshad Abdullah di Kampung Tuan Sheh, Tanjung Sedili, Kota Tinggi, baru-baru ini.
KOTA TINGGI 10 Dis. - Seorang bapa, Arshad Abdullah yang terlantar akibat kemalangan semasa pergi ke tempat kerja awal bulan lalu, tidak dapat menahan air mata apabila menerima kunjungan ahli Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Tinggi kelmarin.
Arshad, 46, yang patah tulang paha kaki kanan kini tidak mampu bergerak dan hanya mengharapkan bantuan isteri dan anak-anak menguruskan kehidupannya.
Sempena kunjungan itu, ketua pergerakan tersebut, Mesran Tukiman menyampaikan sebuah kerusi roda dan beberapa beg lampin pakai buang untuk kegunaan Arshad.
"Kita berharap kerusi roda ini akan memudahkan pergerakan Arshad supaya dia tidak lagi perlu diangkat atau dipimpin ahli keluarganya untuk bergerak," katanya semasa melawat keluarga mangsa di Kampung Tuan Sheh, dekat sini.
Beliau berkata, usaha Pemuda itu adalah selaras saranan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Dalam kejadian malang itu, Arshad yang menunggang motosikal menuju ke kebun kelapa sawitnya di kampung berkenaan dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda yang keluar dari simpang di kebun berkenaan dan mengakibatkan paha kanannya patah. Dia ucapkan terima kasih kepada Pemuda yang prihatin nasib yang menimpa keluarganya. |
|
|
|
|
|
|
|
JPN tambah kerusi untuk kemudahan orang ramai
JOHOR BAHRU 10 Dis. - Bagi memudah dan memberi keselesaan kepada orang ramai yang berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Johor di Wisma Persekutuan di sini, sejumlah kerusi tambahan akan disediakan di luar ruangan menunggu.
Pegawai Perhubungan Awam JPN, Jainisah Mohd. Noor berkata, kesesakan yang berlaku di kaunter JPN disebabkan jumlah permohonan untuk membuat MyKad meningkat ekoran cuti persekolahan.
Beliau berkata, kehadiran orang ramai berurusan dengan JPN menyebabkan ketidakselesaan timbul kepada segelintir pengguna.
"Bagaimanapun, pihak jabatan mengambil inisiatif dengan menyediakan kerusi tambahan di luar ruangan menunggu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab aduan yang dikemukakan oleh Bedah Sirap dalam ruangan Suara Rakyat Johor Selasa lalu mengenai kekurangan kerusi yang disediakan sehingga orang ramai terpaksa berdiri semasa berurusan dengan jabatan berkenaan.
Dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) itu, Bedah Sirap meminta jabatan berkenaan menambah bilangan kerusi sedia ada di situ untuk kemudahan orang ramai.
Jainisah berkata, JPN juga beroperasi pada Sabtu dan Ahad dari pukul 9 pagi hingga 2 petang bagi memberi pengguna yang tidak berkesempatan menyelesaikan urusan pada waktu kerja.
Katanya, langkah tersebut bagi memudahkan orang ramai berurusan untuk mengelakkan kesesakan di kaunter permohonan pada hari bekerja. |
|
|
|
|
|
|
|
utusan
Nigel juara Scrabble 2010
JOHOR BAHRU 10 Dis. - Nigel Richards, 41, dari New Zealand berjaya menundukkan sembilan bekas juara dunia apabila muncul juara Kejohanan Antara Juara-Juara Scrabble Johor Bahru 2010, di sini semalam.
Dia berjaya merangkul gelaran itu setelah hampir 10 hari menguji minda dalam kejohanan tersebut yang berlangsung di Hotel Zon Regency, di sini.
Tempat kedua menjadi milik David Boys dari Kanada yang juga bekas juara 1995, manakala tempat ketiga diraih Panupol Sujjayakorn dari Thailand yang juga bekas juara 2003.
Dengan kemenangan itu, Nigel membawa pulang hadiah wang RM31,000.
Hadiah kepada pemenang disampaikan Tunku Aminah Maimunah Sultan Ibrahim.
Kejohanan antarabangsa tersebut dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Danga Bay Sdn. Bhd.
Ia bermula 1 Disember lalu dengan penyertaan melibatkan seramai 200 pemain scrabble dari 30 negara dan melibatkan beberapa kategori sebelum layak ke pusingan akhir.
Nigel yang pernah menjadi juara pada 2007 ketika ditemui mengakui tidak menyangka mampu menewaskan semua bekas juara tersebut yang disifatkannya bukan calang-calang pemain.
Menurutnya, strategi yang digunakan untuk menang adalah dengan cara bijak menyusun ayat selain melakukan persiapan minda.
"Berfikir dengan tajam, kreatif, bijak dan berkemahiran dalam merancang strategi adalah kunci utama memenangi permainan yang begitu menguji minda ini," katanya.
Sementara itu, penganjur kejohanan tersebut, Michael Tang berkata, pihaknya akan menambah bilangan peserta pada tahun depan kerana penyertaan kali ini amat menggalakkan.
Katanya, kejohanan tersebut berpotensi tinggi untuk berkembang pada masa akan datang apatah lagi kerajaan negeri menyokong penuh usaha mempopularkan permainan itu.
"Kejohanan ini secara tidak langsung turut mempromosikan pelancongan di negara ini khasnya di Johor," katanya/
Beliau berkata, kejohanan itu turut mendapat sokongan Jabatan Pelancongan Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Causeway Event Sdn. Bhd. dan Hotel The Zon Regency. |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
metro online
Tiga peserta bolot hadiah
JOHOR BAHRU: Debaran peserta pertandingan fotografi sempena Sambutan 20 Tahun Harian Metro berakhir hari ini apabila tiga daripada 50 peserta akan diumumkan sebagai pemenang utama yang membawa pulang barangan berjenama Canon, termasuk pencetak gambar dan kamera digital pada petang ini.
Editor Foto Kumpulan News Straits Times Press (NSTP), Kamaruddin Ahmad berkata, pemenang utama pertandingan berkenaan dinilai mengikut kreativiti dan nilai gambar yang dirakamkan sepanjang pameran berkenaan selama dua minggu bermula 25 November lalu.
Beliau berkata, pihaknya yakin pengalaman menyertai pertandingan itu juga menjadi titik permulaan bagi segelintir peserta untuk membabitkan diri dalam bidang fotografi, sekali gus melahirkan ramai jurugambar amatur.
Menurutnya, semua peserta juga diminta hadir ke tapak pameran berkenaan di Danga City Mall, di sini, ketika pengumuman pemenang dilakukan kira-kira jam 5 petang.
“Selain tiga hadiah utama, seramai tujuh peserta bakal memenangi pelbagai hadiah menarik esok (hari ini).
“Kami berterima kasih kepada semua peserta dan diharapkan golongan yang masih ingin mengasah bakat fotografi akan menyertai pertandingan di Kluang Mall, bermula Selasa ini
Sementara itu, kemuncak pameran foto berkenaan juga menyaksikan jualan lebih 10 jenis cenderahati eksklusif Harian Metro, termasuk kemeja-t menarik, mug, botol air, pendrive dan pelapik tetikus yang boleh diperoleh pada harga serendah RM10 hingga RM25.
Malah ibu bapa yang mengunjungi pameran itu hari ini tidak harus melepaskan peluang bagi mendaftar anak mereka berusia 12 tahun ke bawah untuk menyertai pertandingan mewarna pada jam 10 pagi ini.
Kakitangan Harian Metro akan mengagihkan belon percuma sebagai memeriahkan lagi hari penutup Pameran Foto sempena Sambutan 20 Tahun Harian Metro di Johor Bahru sebelum beralih ke Kluang.
Pengunjung juga berpeluang memenangi hamper menarik dengan menyertai peraduan kuiz dan menjawab soalan mengenai liputan berita dan foto yang dipamerkan di tapak berkenaan.
Semalam, orang ramai termasuk pelajar berpusu-pusu berkunjung ke tapak pameran foto untuk melihat 30 panel memaparkan isu serta berita penting dan menarik sepanjang 20 tahun lalu.
Pameran Foto sempena Sambutan 20 Tahun Harian Metro turut mendapat kerjasama erat daripada Danga City Mall selaku tuan rumah, Hotel Puteri Pacific (Penginapan Rasmi), Canon Marketing (M) Sdn Bhd, Syarikat Nahar Power Sdn Bhd, Wold Event & Marketing Services, Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd dan IOI Mall Bandar Putra Kulaijaya
(14 Disember),” katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
kosmo
Sindiket judi RM96 juta tumpas
Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
[email protected]
MASZELY (kanan) memeriksa peralatan yang digunakan dalam kegiatan judi nombor ekor haram di Taman Sungai Emas, Kulaijaya kelmarin.
KULAIJAYA – Sebuah sindiket menyewa dua buah rumah di sini untuk dijadikan lokasi menguruskan kegiatan judi nombor ekor haram membabitkan ejen tempatan dan Singapura sejak setahun lalu.
Bagaimanapun kegiatan yang dikatakan melibatkan nilai perjudian RM96 juta setahun itu tumpas apabila diserbu polis petang kelmarin.
Dalam serbuan serentak pukul 6.45 petang di dua buah rumah sewa berasingan di Taman Sungai Emas dan Taman Inderapura di sini, enam pekerja berumur di antara 17 hingga 49 tahun termasuk empat wanita ditahan bagi membantu siasatan.
Ketua Operasi Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Supritendan Maszely Minhad berkata, pihaknya turut merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk kegiatan judi itu.
Antaranya 14 mesin faksimili, dua komputer riba, enam telefon bimbit, enam mesin pengimbas, kertas pertaruhan dan alat tulis.
“Dua rumah tersebut dijadikan pusat penjumlahan judi bagi pertaruhan loteri awam secara haram di Johor dan Singapura yang membabitkan wang pertaruhan bernilai RM8 juta sebulan.
“Kita difahamkan sindiket itu mampu menerima pertaruhan sehingga RM400,000 daripada setiap pelanggan tempatan dan S$60,000 dari Singapura,” katanya selepas serbuan itu di sini kelmarin. |
|
|
|
|
|
|
|
utusan
Wanita berjudi abaikan keluarga
Oleh AZIZI MAJID
[email protected]
JOHOR BAHRU 12 Dis. - Sikap gemar berjudi segelintir wanita di negara ini dikhuatiri boleh memecahbelahkan institusi kekeluargaan kerana golongan tersebut merupakan tunjang utama kepada sesebuah keluarga.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Johor, Dr. Robia Kosai berkata, wanita khususnya suri rumah yang gemar berjudi kebiasaannya akan mengabaikan tanggungjawab masing-masing.
"Perkara seperti ini (berjudi) tidak seharusnya terjadi di kalangan wanita. Ia merupakan penyakit yang berbahaya pada masa sekarang.
"Mereka ini sanggup berjudi waktu pagi dan malam baru balik sehingga kebajikan anak-anak turut terabai," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kitar Semula anjuran Mutiara Johor Corporation di Bandar Dato' Onn, di sini hari ini.
Turut hadir Presiden dan Ketua Eksekutif Mutiara Johor Corporation, Kamaruzzaman Kassim dan Pengerusi Mutiara Johor Corporation, Noor Laila Yahaya.
Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan anggaran seramai 3,000 orang mengunjungi Singapura untuk berjudi di kasino setiap hari dengan nilai perbelanjaan minimum RM2,400 seorang iaitu bersamaan RM7 juta sehari atau RM200 juta sebulan.
Daripada jumlah tersebut, 40 peratus atau 1,200 rakyat Malaysia yang aktif berjudi di kasino negara jiran ialah golongan wanita termasuk suri rumah berusia 40 tahun ke atas.
Menurut Robia, pihaknya memandang serius perkara tersebut kerana tidak mahu wanita yang ketagih berjudi meminjam wang daripada ceti haram atau ah long sekiranya tidak mempunyai wang untuk berjudi.
"Tiada cara untuk menangani masalah ini. Untuk membuang tabiat berjudi ia harus ada kekuatan dari diri sendiri," katanya.
Sementara itu, mengulas tentang karnival kitar semula tersebut, pihaknya menyambut baik langkah yang diambil oleh pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha untuk memelihara dan memulihara alam sekitar.
Katanya, usaha untuk mengitar semula seharusnya bermula dari rumah dimana para suri rumah boleh memainkan peranan masing-masing termasuk mendidik anak-anak untuk mengitar semula barangan terpakai yang masih boleh digunakan. |
|
|
|
|
|
|
|
utusan
Guna kuasa beli produk halal - MB
ZAINAL Abidin Osman (dua dari kanan) memberikan sijil halal kepada Al-Mushahharah Suleiman Karaz Cafe (kiri) di Plaza Angsana, Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU 12 Dis. - Orang ramai di negeri ini digesa menggunakan kuasa masing-masing sebagai pengguna sebaik mungkin dengan membeli produk halal bagi menjana pertumbuhan ekonomi yang sihat dan berkat.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, ini kerana produk halal merupakan satu keperluan di peringkat global kerana ia diyakini bersih dan selamat.
"Kini sudah sampai masanya bagi semua pihak terutamanya para usahawan merebut peluang mendapatkan sijil halal daripada pihak berkuasa.
"Ini kerana halal sudah menjadi keperluan sejagat. Dengan ada sijil halal yang diiktiraf, ia boleh melonjakkan peluang pasaran ke peringkat global yang secara langsung meningkatkan perolehan mereka," katanya pada Majlis Penutupan Ekspo dan Pameran Produk Halal sempena sambutan Maal Hijrah di Plaza Angsana, di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman.
Sebanyak 40 pengusaha produk halal menyertai ekspo yang berlangsung selama tiga hari mulai Jumaat lalu.
Pada majlis itu, para pengusaha yang mengambil bahagian turut menerima sijil halal masing-masing.
Abdul Ghani berkata, Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) turut merancang pelbagai program bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai aspek halal dan membantu pihak industri memasarkan produk mereka.
"Antara inisiatif kerajaan termasuklah penganjuran ekspo dan pameran produk halal yang bermatlamat meningkatkan tahap kesedaran pengguna tentang kewujudan produk-produk halal di pasaran," katanya.
Abdul Ghani berkata, bagi menjaga kepentingan hak pengguna, kerajaan turut menguatkuasakan Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Makanan) 1975 iaitu semua makanan halal hendaklah ditandakan sebagai halal. |
|
|
|
|
|
|
|
utusan
Angan-angan kosong PKR
BATU PAHAT 12 Dis. – Hasrat Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menawan Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti hanya satu angan-angan kosong.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, hasrat tidak akan menjadi kenyataan berikutan ia telah kehilangan kepercayaan kebanyakan ahli parti tersebut.
Menurut beliau, sokongan ahli terhadap parti itu juga terbukti semakin merosot apabila peratusan keluar mengundi adalah rendah ketika parti tersebut mengadakan mesyuarat cabang di seluruh negara.
“Ini membuktikan bahawa PKR adalah parti yang merosot sokongannya. Dengan masalah yang dihadapi oleh beberapa cabang di Johor yang tidak boleh bermesyuarat, maka bagaimana dia nak menawan negeri Johor ini.
“Saya yakin mereka tidak akan berjaya dan itu hanyalah gimik, apatah lagi bila parti dia dilanda 3F sekarang ini iaitu family (keluarga), fraud (penipuan) dan forgery (pemalsuan).
“Bahkan bekas calon timbalan presidennya, Mustafa Kamil Ayub mendesak supaya segera selesaikan kes 220 aduan mengenai pemilihan PKR baru-baru ini, yang dia kata banyak penipuan,” katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Batu Pahat.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Peruntukan Projek-projek Kecil Pertanian Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Batu Pahat di Senggarang, di sini hari ini.
Mohd. Puad berkata, Barisan Nasional (BN) Johor juga telah membuat pelbagai persiapan rapi bagi menghadapi pilihan raya termasuk menyediakan latihan kepada ahli, menggerakkan makmal pilihan raya dan bertindak lebih agresif dalam meningkatkan pengambilan ahli.
Sementara itu, Mohd. Puad berkata, Sekolah Menengah Sains Batu Pahat yang diserahkan pembinaannya kepada kontraktor penyelamat, dijangka akan mula beroperasi pada Mei, tahun depan.
“Sebenarnya kita boleh buat pengambilan pelajar lebih awal, mungkin kita tempatkan mereka di sekolah-sekolah perdana lain di Batu Pahat dan bila siap sepenuhnya, baru pindah ke sekolah baru.
“Saya harap sekurang-kurangnya bulan lima kita sudah boleh menyerahkan bangunan itu kepada kementerian,” katanya.
Beliau berkata, langkah menempatkan sementara pelajar di sekolah lain sebelum berpindah ke sekolah baru telah dilaksanakan di Sekolah Menengah Sains Rembau dan akan dilakukan di Sekolah Menengah Sains Terengganu |
|
|
|
|
|
|
|
metro
Lebih 2,000 kunjungi kemuncak Pameran Foto
JOHOR BAHRU: Semalam adalah kemuncak Pameran Foto sempena Sambutan 20 Tahun Harian Metro di Danga City Mall di sini, dan ia menyaksikan lebih 2,000 pengunjung berpusu-pusu mengunjungi tapak pameran bagi menyertai pelbagai aktiviti menarik diadakan buat kali terakhir.
Penolong Pengurus Pusat Sumber Maklumat New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Ramlan Ramli, berkata kemesraan dan sokongan daripada pengunjung di sekitar bandar raya itu memeriahkan lagi suasana pameran yang diadakan buat julung kalinya itu.
“Selain tertarik dengan 30 panel yang memaparkan berita menarik pernah tersiar di Harian Metro, pengunjung juga tidak melepaskan peluang bagi mendapatkan pelbagai cenderahati yang ditawarkan untuk dibawa pulang pada saat akhir.
“Ia termasuk baju-T, mug serta jualan eksklusif sampul surat dan cetakan pertama selepas merdeka akhbar mingguan milik New Straits Times (NST), The Sunday Times,” katanya.
Menurut Ramli, lebih menarik, ada pengunjung menyatakan hasrat menjayakan pameran foto yang akan berpindah ke Kluang Mall mulai esok hingga 28 Disember.
“Selama dua minggu bermula 25 November hingga hari ini (semalam), lebih 5,000 pengunjung termasuk pelancong asing tidak melepaskan peluang melawat tapak pameran selain menjayakan pelbagai aktiviti.
“Ada yang mahu mendapatkan maklumat di panel dipamerkan, manakala sebahagian lagi mengisi masa dengan menyertai kuiz, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak dan pertandingan fotografi.
“Kami berterima kasih kepada semua pengunjung, selain penaja tapak pameran, Danga City Mall. Kami berharap penduduk di sekitar Johor Bahru tidak melepaskan peluang menjayakan pameran di Kluang,’ katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
Johor: 'Sarang penagih'
[email protected]
2010/12/13
ABU Bakar menunjukkan rumah usang yang dipercayai menjadi sarang penagih dadah di Jalan Md Said Kampung Sri Lalang, Mersing.
Penduduk terancam 'mat gian' selalu datang ke rumah usang
MERSING: Lebih 10 keluarga di Jalan Md Said, Kampung Sri Lalang di sini mendakwa hidup dalam keresahan berikutan sebuah rumah usang yang tidak berpenghuni kini menjadi sarang sekumpulan remaja untuk melakukan perbuatan tidak bermoral dengan melepaskan 'gian' dengan menagih dadah setiap malam. Mereka juga mendakwa ketenteraman mereka terganggu dan keselamatan diri terancam, manakala harta benda mereka sering menjadi sasaran curi 'mat gian' yang berkunjung ke rumah usang berkenaan sejak dua tahun lalu. Tinjauan Edisi Johor ke kawasan berkenaan mendapati kebanyakan penduduk meminta pihak berkuasa termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berkenaan untuk membantu mengatasi masalah itu.
Mereka mendakwa masalah itu sudah dimaklumkan secara lisan kepada Pengerusi JKKK berkenaan tetapi tiada usaha diambil pihak terbabit untuk mengatasi masalah itu termasuk membersihkan kawasan berkenaan.
Beberapa penduduk mendakwa jika masalah itu tidak diatasi segera, ia bukan saja menimbulkan masalah kepada penduduk di sekitar tetapi juga boleh menjejaskan nama baik kampung berkenaan.
Seorang penduduk, Abu Bakar Abdullah, 58, berkata penduduk di kawasan itu dalam keadaan kebimbangan setiap malam dengan kehadiran 'mat gian' di rumah kosong yang tidak lagi penghuni sejak pemiliknya meninggal dunia lebih 10 tahun lalu.
Beliau berkata, dia sendiri sudah memaklumkan masalah itu kepada pihak JKKK.
“Selain masalah itu, kawasan rumah berkenaan juga dipercayai menjadi tempat pembiakan haiwan berbisa termasuk ular, kala jengking dan babi hutan disebabkan kawasan rumah berkenaan dipenuhi belukar," katanya.
Seorang warga emas, Hindon Ismail, 98, berkata beliau kini bimbang seorang diri di rumahnya berikutan kediamannya terletak bersebelahan dengan rumah usang berkenaan.
Beliau berkata, setiap malam ada saja penghuni yang tidak diundang berkunjung ke rumah berkenaan menyebabkan dia bimbang keselamatan diri dan harta bendanya sehingga terpaksa meninggalkan rumah dan menetap bersama anak-anaknya yang lain.
“Sebelum masalah itu berlarutan, pihak berkuasa perlulah membanteras perbuatan tidak bermoral di kalangan remaja yang sering berkunjung ke situ dipercayai untuk menagih dadah pada setiap malam.
"Jika masalah ini dapat diatasi, saya pasti ia akan mengembalikan keselesaan kepada penduduk dan penghuni di kawasan ini yang selama ini terpaksa hidup dalam keresahan dan kebimbangan setiap menjelang malam," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak termasuk JKKK dan pihak berkuasa sama-sama membanteras perbuatan tidak bermoral itu dengan segera kerana ia boleh menjejaskan keharmonian dan keselamatan penduduk. |
|
|
|
|
|
|
|
sinar harian
Mayat bayi dalam beg plastik
KOTA TINGGI – Seorang kaki pancing terkejut apabila menjumpai sebuah beg plastik sampah yang mengandungi mayat seorang bayi lelaki terdampar ketika sedang menurunkan botnya di tebing Sungai Johor berhampiran Taman Kemang, di sini semalam.
Lim Kim Chee, 58, pada mulanya tidak menghiraukan beg plastik itu kerana terdapat banyak beg plastik sampah serupa di kawasan itu.
Namun, dia cuba mengambilnya apabila beg plastik mengandungi mayat bayi itu terseret di bawah tayar hadapan keretanya.
”Sebaik membuka pintu kereta, saya terkejut melihat sepasang kaki kecil terkeluar dari bungkusan beg plastik dan sehelai tuala berwarna biru muda membalut mayat bayi itu.
”Saya kemudian beranikan diri buka bungkusan itu dan alangkah terkejut apabila nampak ada mayat seorang bayi lelaki berkulit cerah yang masih elok dan bertali pusat di dalamnya,” katanya.
Kim Chee kemudian segera menghubungi pihak polis untuk melaporkan penemuan itu dan mayat bayi malang itu seterusnya di bawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin mengesahkan penemuan mayat bayi lelaki itu.
”Kita masih menyiasat sama ada bayi yang ditemui di tebing Sungai Johor itu mungkin �baru dibuang memandangkan keadaannya yang masih elok,” katanya.
Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi di talian 07-8831222 bagi membantu siasatan.
Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|