Sumber; Harian Metro Online
RapMila kini tauke restoran
Oleh Norhayati Nordin
Selepas syarikat pengurusan majlis miliknya, Luvmila Corporation Sdn Bhd semakin kukuh, penyanyi genit popular Norsyarmilla Jirin atau Mila kini mengembangkan empayar perniagaan pada bidang makanan pula.
Sejak tiga tahun lalu, Mila sudah mengusahakan restoran Embun Urai yang beroperasi di Tasik Prima Puchong.
Bekas juara Akademi Fantasi 5 itu berkata, dulu dia hanya bertindak sebagai salah seorang rakan kongsi, namun sejak awal tahun lalu dia berjaya membeli keseluruhan saham restoran berkenaan dan kini adalah pemilik mutlak restoran itu yang diuruskan bapanya, Jirin Burhan, 51.
“Beroperasi di kawasan perniagaan yang strategik, sebenarnya saya adalah pelanggan setia restoran itu. Namun, disebabkan masalah kewangan dihadapi, ia mendorong pemilik asal menjualnya.
MILA kini bergelar usahawan wanita yang berjaya.
“Antara menu istimewa restoran ini ialah tomyam dan makanan laut yang cukup enak. Ditambah lagi, harga yang ditetapkan juga amat berpatutan,” katanya. Menurut penyanyi yang baru muncul dengan single duet, Cinta Kasih bersama Nubhan ini lagi, walaupun kini dia sibuk dengan perniagaan diusahakan, tetapi bidang nyanyian masih tidak dilupakan.
“Setakat ini, pembahagian masa saya di antara urusan perniagaan dan nyanyian dapat diuruskan dengan baik. Apatah lagi, bapa membantu menguruskan operasi restoran,” katanya.
Mila berkata, dia mengambil keputusan menceburi bidang perniagaan sebagai jaminan masa depan. Dia tidak akan selamanya bergantung pada nyanyian dan perniagaan adalah persediaan yang sepatutnya dilakukan.
“Selain itu, saya juga memang minat berniaga. Justeru, apabila sudah ada peluang takkan perlu dibiarkan saja. Sebagai anak sulung dalam keluarga, inilah kerja keras perlu saya buat,” katanya.
Berusia 26 tahun, Mila yang juga ‘bersih’ daripada sebarang gosip negatif berkata, dia bersyukur kerana mampu menjaga imej dirinya sebaik mungkin demi kelangsungan karier seni diceburinya sejak tujuh tahun lalu.
Katanya, sebagai artis yang sering mendapat undangan persembahan korporat, imej bersih penting untuk memudahkan kerjasama pada masa akan datang. Ini kerana, ujarnya ada syarikat korporat yang sangat sensitif.
Menyentuh pula mengenai kehidupan berumah tangga, Mila berkata, sebagai seorang wanita normal, dia sememangnya memiliki hasrat untuk menjalani hidup berkeluarga.
“Buat masa ini, jodoh mungkin belum berpihak lagi kepada saya. Apatah lagi, sekarang ini pun saya sangat sibuk menguruskan perniagaan dan karier nyanyian.
“Malah, jika tiada aral dan mengikut perancangan dibuat, saya dijangka merakamkan dua single baru yang dihasilkan dua komposer berbeza tidak lama lagi,” katanya.
Enggan mengulas lanjut mengenai lagu dihasilkan itu, Mila berkata, dia akan muncul dengan filem Kami Histeria terbitan RedFilems yang diarahkan Shamyl Othman.
Menerusi filem yang mengetengahkan kisah ‘band’ remaja itu, Mila yang melakonkan watak Ain menonjolkan bakat sebagai pemain keyboard. Turut menerajui filem itu ialah Nur Fazura, Diana Danielle, Sarah Ali, Nad Zainal dan Umi Omar.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/16
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Milakinitaukerestoran/Article/index_html
Last edited by taurus-71 on 16-8-2013 03:39 PM
|