|
Edited by achik2009 at 22-2-2015 03:41 PM
‘Pengalaman ajar saya lebih tabah’
Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
[email protected]
Nampak comel dan lembut, namun hakikatnya Nora seorang yang cekal dan tabah menghadapi cabaran hidup.
|
Nora Danish, aktres yang menjadi titik tumpuan setiap mata ini sedang mendepani duniawi. Dia sudah lebih 10 tahun berdampingan dengan bidang lakonan.
Bakat lakonannya juga dipuji dari mulut ke mulut. Tidak hanya pujian, kisah peribadinya turut diselak dan dijadikan serangan buat golongan yang membencinya.
Isi cerita peribadi berkisar tentang hubungannya bersama Nedim Nazri yang menjadi persoalan ramai, bila lagi mahu ke jenjang pelamin. Nora juga dicemburui seorang artis wanita apabila berlakon mesra di samping suaminya, sehingga membuatkan aktres berusia 33 tahun ini mengambil pendekatan mengehadkan babak bersentuhan dalam filem-filemnya.
Tidak cukup dengan itu, kemesraan bersama anaknya, Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram, 6, dan bekas mertuanya juga pernah disalah erti sesetengah pihak.
Terbaharu, tersebar satu video yang mengeksploitasi wajah aktres filem Gudang Kubur ini, dipercayai didalangi kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Anak Muda Malaysia.
Menerusi video berdurasi kira-kira seminit itu, kelihatan empat lelaki berbaju hitam dengan menutup muka mengancam untuk menyerang mahkamah pada 18 Februari lalu pada pukul 11.30 malam.
Mereka memberitahu akan membakar mercun sebagai bantahan terhadap sistem keadilan negara sambil memegang potret Nora.
Ramai yang menilai kontroversi terbaharu Nora itu berada di puncak tertinggi perjalanan karier seninya.
Ambil tindakan
Biarpun aktres yang lahir pada bulan Mac ini sering ‘ditembak’ kontroversi bertubi-tubi, namun Nora bukanlah wanita comel dan lembut yang difikirkan sesetengah pihak. Dia ibu tunggal yang cekal dan tabah mengharungi semua dugaan tersebut.
“Pengalaman banyak mengajar dan menjadikan saya lebih tabah. Segalanya (kontroversi) kita tukarkan kepada positif. Jangan terlalu memikirkannya. Segala yang terjadi pasti ada hikmah. Itu yang selalu saya terapkan dalam diri.
“Bagi saya, ini merupakan asam garam dan lumrah kehidupan seorang yang bergelar anak seni. Tiada yang boleh disimpan, malah semuanya untuk tontonan umum. Kita milik rakyat? Juga boleh dikatakan sebegitu.
“Gambar, video semuanya boleh didapati di mana-mana media sosial dan blogs. Jadi jangan takut dilambung ombak atau hendak bermain api. Jika keterlaluan, kita ambil tindakan yang sewajarnya,” ujar Nora penuh semangat.
Ekoran penyalahgunaan gambarnya yang dipercayai didalangi kumpulan Anak Muda Malaysia itu, Nora pada petang Isnin lalu telah membuat dua laporan polis.
Dua laporan berasingan itu dibuat di Balai Polis Taman Dagang, Ampang dan Balai Polis Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Faktor sering dihambat kontroversi seiring dengan gelaran artis wanita paling popular yang disandangnya, membuatkan Nora acap kali dijadikan cerita di akhbar dan blog.
Hakikatnya, dia juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Harapannya, agar cerita-cerita tidak elok tentang dirinya berlalu dibawa angin.
“Jika benda yang baik dilaporkan, apa salahnya tetapi jika cerita mengenai kontroversi yang menjatuhkan, saya cuba elakkan. Bagaimanapun, sebagai artis, kami hanya manusia biasa. Kami (artis) juga ada melakukan kesilapan dan menginsafi perbuatan tersebut.
“Kami tahu ramai yang menjadikan kami sebagai idola dan mengharapkan hanya yang terbaik. Oleh kerana itu, bukan senang untuk menjadi anak seni. Mental dan fizikal harus kuat. Tidak mudah mengalah atau berputus asa. Cuba dan terus mencuba,” luahnya yang meletakkan kecintaannya terhadap bidang lakonan.
Terbaik untuk Rayqal
Disoal apakah tindakannya berdepan dengan sesetengah golongan yang cepat melabel dan menjatuhkan hukum kepada golongan artis, Nora mengakui dia akan menjauhkan diri daripada golongan tersebut.
“Ini golongan yang akan dijauhi dan menyekat mereka daripada terus akses ke laman Instagram saya. Golongan ini hanya bersikap negatif dan ingin melihat kejatuhan orang lain daripada melihat kebaikan serta kejayaan individu tersebut.
“Siapakah kita untuk menghukum orang lain. Tiada manusia yang sempurna. Sedarlah. Boleh menasihati tetapi ada hadnya. Jangan sampai mengaibkan,” luahnya lagi.
Nora juga sedar, sebagai seorang ibu kepada anak yang sudah berusia enam tahun, dia juga tidak mahu kontroversi-kontroversi buruk turut memberi kesan kepada anak kesayangannya itu.
Pintanya, agar Rayqal dapat menjalani hidup yang terbaik.
“Saya tidak nafikan kontroversi yang menimpa akan memberi kesan buruk kepada dia (Rayqal). Disebabkan itu, saya sering berdoa hanya mahukan yang terbaik untuk dia,” katanya.
Terbaharu, lakonannya menerusi filem Gudang Kubur dipuji ramai. Wataknya sebagai Zarra, isteri kepada Anwar (lakonan Faizal Hussein) dikatakan tidak melebih-lebih.
Bersyukur akan hal itu, namun Nora mengakui dia selalu memikirkan bagaimana untuk melakukan yang terbaik untuk wataknya.
“Terima kasih atas pujian tersebut. Saya rasa amat rendah diri dan bersyukur. Sejujurnya, dari segi lakonan masih banyak lagi yang perlu saya perkemaskan. Untuk filem ini (Gudang Kubur), masa yang diberi untuk saya menghayati watak agak singkat. Jadi, saya kena bijak berfikir dan menggunakan ruang yang ada untuk menjadi lebih kreatif tanpa mengharapkan 100 peratus daripada pengarah,” katanya.
Kahwin
Nora begitu bersemangat tatkala bercerita tentang momen yang ditempa ketika berlakon dalam Gudang Kubur.
Bergandingan buat pertama kali di samping aktor hebat, Faizal juga sememangnya impian pelakon itu sejak dahulu lagi.
Biar ada beberapa cabaran terpaksa ditempuh sepanjang penggambaran di gudang tersebut, namun selebihnya Nora mengakui seronok berlakon dalam filem terbitan Mangkin Prestij Sdn. Bhd. itu.
“Saya sangat teruja berlakon dalam filem ini kerana jalan ceritanya yang menarik dan digandingkan dengan pelakon-pelakon hebat. Kami menjalani penggambaran di sebuah kilang kayu yang masih beroperasi. Memang diuji dengan sedikit cabaran seperti habuk kayu yang berterbangan sehingga menyukarkan untuk bernafas tetapi selebihnya kami seronok.
“Berlakon di samping Faizal, saya memang mengimpikan berlakon di sampingnya. Walaupun kami berlakon dalam sebuah filem bergenre seram, namun saya menggunakan peluang yang ada untuk menimba ilmu,” ujarnya mengenai filem seram arahan Eyra Rahman yang sudah menjengah pawagam 12 Februari lalu.
Sengaja menebaknya dengan soalan di luar kotak, siapakah Nora pada lima tahun akan datang,
Optimis terhadap masa depannya, Nora mengakui, kemungkinan ketika itu dia sudah berkahwin, menambah anak dan lebih molek merangkul anugerah serta menjadi ahli perniagaan berjaya.
Credits: kosmo.com.my
|
|