|
utusan
JPJ keluar 61 notis kepada pemandu bas
JOHOR BAHRU 17 Dis. - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri telah mengeluarkan sebanyak 61 notis terhadap pemandu bas di bandar raya ini dalam satu operasi di Jalan Skudai baru-baru ini
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JPJ negeri, Abdullah Hashim berkata, notis itu dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan pemandu terlibat telah diberi tempoh 10 hari untuk menyelesaikannya.
"Jika dalam tempoh 10 hari itu pemilik bas terbabit gagal mematuhi notis yang dikeluarkan, contohnya jika tayar botak tetapi masih tidak menukarnya, kita akan kenakan saman.
"Kesalahan paling berat adalah bas beroperasi di luar kawasan iaitu 14 kes, cukai jalan tamat tempoh (2) dan tidak memiliki tanda tiga segi (2)," katanya pada Operasi Bas Henti-Henti, di sini semalam.
Menurutnya, antara kesalahan lain adalah mengeluarkan asap hitam, pintu kecemasan tidak berfungsi, cermin di bahagian penumpang retak, melanggar syarat permit dan memandu sambil menggunakan telefon bimbit.
Beliau berkata, operasi berkenaan melibatkan 15 anggota JPJ dan enam kakitangan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) negeri bermula pukul 3.30 petang dan berakhir dua jam kemudian.
Katanya, sebanyak 80 bas diperiksa dalam operasi yang diadakan ekoran banyak aduan diterima daripada pengguna mengenai perkhidmatan bas henti-henti yang kurang memuaskan. |
|
|
|
|
|
|
|
berita harian
TPM mahu jentera BN bekerja keras tingkat sokongan
2010/12/19
PAGOH: Timbalan Perdana Menteri mengarahkan supaya jentera Barisan Nasional (BN) bukan saja berusaha untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, malah berusaha lebih gigih bagi meningkatkan lagi jumlah sokongan rakyat.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, untuk memastikan kemenangan BN, jentera pilihan raya perlu mengambil langkah dan strategi yang lebih berkesan dengan menggerakkan usaha secara bersatu, selain tidak memandang ringan dalam menghadapi pilihan raya kecil itu.
“Walau apa pun, pilihan raya adalah pilihan raya dan pilihan raya kecil (DUN Tenang) tidak boleh kita pandang ringan atau mudah. Ini penting kerana kita bukan setakat mempertahankan kerusi itu, kalau boleh kita tingkatkan lagi jumlah sokongan.
“Ini bermakna kita perlu berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi dari segi sejarahnya dan sampai hari ini masih kerusi UMNO dan BN, (malah) dari segi rekod juga menunjukkan pencapaian dulu adalah memberangsangkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Gempur Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) 1Azam (Akhiri Zaman Kemiskinan) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Peringkat Daerah Muar 2010, di Dewan Kompleks Seri Pekembar, dekat sini, semalam.
Kerusi DUN Tenang kosong berikutan kematian Datuk Sulaiman Taha pada jam 1.10 pagi kelmarin selepas dirawat selama 24 hari di Hospital Ampang Puteri, Kuala Lumpur akibat jangkitan kuman dalam darah selain penyakit kencing manis yang dihidapinya.
DUN Tenang yang terletak di Parlimen Labis mempunyai seramai 14,511 pengundi berdasarkan perangkaan SPR 2008 dengan kira-kira 50 peratus pengundi adalah Melayu dan pada Pilihan Raya Umum 2008 lalu, Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 2,492 undi menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran.
Mengulas mengenai calon kerusi DUN Tenang, Muhyiddin berkata, sesiapa saja yang menjadi calon diumumkan apabila tiba masanya dengan mengambil kira cadangan UMNO Bahagian Labis dan Badan Perhubungan Umno Johor.
Dalam majlis yang sama, TPM juga meminta golongan miskin supaya tidak mengambil mudah segala bantuan dan sokongan yang disalurkan, sebaliknya mereka perlu berusaha keras bagi mengeluarkan diri mereka daripada senarai kumpulan penerima bantuan.
“Ada yang kata lebih baik berada dalam golongan miskin sepanjang masa kerana mendapat bantuan kerajaan. Jangan kita fikir kerajaan sediakan bantuan dan elok kita kekalkan, ini tanggapan tidak tepat,” katanya.
Sementara itu ketika mengulas mengenai kekecohan di Parlimen baru-baru ini, Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan pembangkang menimbulkan
kekecohan di Parlimen sebagai perkara yang memalukan dan menjadi detik hitam dalam sejarah Parlimen Malaysia. |
|
|
|
|
|
|
|
berita harian
Pentadbiran universiti perlu ambil tindakan
2010/12/19
MOHAMED Khaled memakaikan baju sekolah kepada Hazim Ahmad (dua dari kanan) pada Program Gerak Tumpu 2010 Zon Johor Jaya/Plentong, di Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU: Pihak pentadbiran universiti diminta menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi memastikan tiada pensyarah mereka yang menganuti fahaman Syiah sehingga mempengaruhi pelajar di institusi pengajian tinggi di negara ini.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, fahaman berkenaan bertentangan dengan ajaran berteraskan Sunnah Wal Jamaah mengikut mazhab Shafie sebagai ikutan umat Islam di negara ini.
“Setakat ini saya tidak tahu ada atau tidak, kerana itu saya minta pihak universiti siasat dan ambil tindakan,” katanya selepas merasmikan Program Gerak Tumpu 2010 Zon Johor Jaya/Plentong, di sini, semalam.
Khamis lalu, akhbar ini melaporkan mengenai serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap pengikut ajaran Hauzah Ar Ridha.
Kegiatan kumpulan itu terbongkar selepas JAIS menyerbu premis berkenaan, jam 10.50 malam Rabu lalu dan menahan 200 individu termasuk kakitangan awam, pensyarah dan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), remaja dan kanak-kanak selain seorang lelaki warga Iran yang memberi ceramah.
Mohamed Khaled berkata, pihaknya bimbang jika ada pensyarah di universiti terbabit sama dalam fahaman berkenaan kerana ia boleh mempengaruhi golongan pelajar.
Sementara itu di PASIR PUTEH, Timbalannya, Datuk Shaifuddin Abdullah, berkata maklumat mengenai kes berkenaan sedang dikumpulkan dan ia akan diserahkan kepada Mohamed Khaled untuk tindakan lanjut.
“Kes seperti ini adalah terpencil, namun tindakan tegas akan tetap dikenakan kepada pelajar dan pensyarah yang terbabit. Kementerian tidak risau soal mazhab itu kerana jabatan agama serta ulama sudah tentu mampu menanganinya.
“Yang merisaukan ialah kegiatan itu mampu memberi kesan bukan saja kepada keselamatan IPT, malah pelajar serta pensyarah lain,” katanya pada Program Cakna Mahasiswa IPT Kelantan 2010, di Sekolah Kebangsaan (SK) Danan, |
|
|
|
|
|
|
|
berita harian
Dua ditahan kes bunuh Siti Mazni
2010/12/19
BATU PAHAT: Polis menahan dua remaja selepas disyaki terbabit dalam kes pembunuhan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di mana mayatnya ditemui kira-kira 100 meter dari rumahnya di sebuah kebun sawit di Parit Ju Darat, Tongkang Pechah di sini, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon, berkata suspek berusia 15 dan 16 tahun itu ditahan selepas salah seorang daripadanya membuat laporan berhubung kejadian itu mendakwa dia menyaksikan rakannya membunuh mangsa di kebun berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek terbabit dalam kes pembunuhan itu. Hasil soal siasat, mereka kemudiannya membawa polis ke satu lokasi di kebun sawit di mana mayat mangsa ditemui kira-kira jam 5 petang,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Adnan berkata, Siti Mazni Abdul Rahman, 14, dipercayai dibunuh di kebun sawit terbabit Rabu lalu berdasarkan laporan kehilangannya.
Difahamkan, mangsa ditikam menggunakan objek tajam kira-kira 100 meter dari rumahnya sebelum diheret ke dalam kebun terbabit.
"Mayat mangsa ditemui tersembunyi di bawah timbunan daun kelapa sawit dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat satu kesan tikaman pada badan mangsa. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Batu Pahat untuk dibedah siasat," katanya.
Katanya, kedua-dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Polis akan menjalankan siasatan lanjut termasuk menjalankan ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek. Dengan penangkapan dua suspek terbabit, polis percaya kes ini selesai," katanya.
Siti Mazni, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Putra dilaporkan hilang selepas berjumpa rakannya Rabu lalu.
Sementara itu, nenek mangsa, Mailiah Idris, berkata kehilangan Siti Mazni dimaklumkan bapa arwah, Abdul Rahman Hassan, 43, apabila beliau mencari anak sulung daripada empat beradik itu sehari selepas dilaporkan hilang.
"Saya ada di rumah ketika kejadian dan Siti Mazni memberitahu ingin keluar rumah untuk bertemu rakan di kawasan berhampiran pada kira-kira jam 5 petang.
"Selepas itu dia tidak pulang ke rumah dan saya menganggap dia terus membantu ibu bapanya berniaga roti canai di Tongkang Pechah.
"Bagaimanapun, apabila ibu bapanya pulang dan mencarinya, barulah kami sedar kehilangannya dan membuat |
|
|
|
|
|
|
|
berita harian
Mangsa 19 tikaman sedar
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
[email protected]
2010/12/19
NUR AIN memberi reaksi positif selepas sedar dari koma di HSI, semalam.
Buang sel kulit mati Isnin
JOHOR BAHRU: Nur Ain Ashikin Jemedi, 17, mangsa 19 tikaman dan disimbah asid akan menjalani rawatan membuang sel kulit mati Isnin ini selepas 70 peratus bahagian badan termasuk mukanya melecur teruk.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO Johor, Senator Datuk Sharifah Azizah Syed Zin, berkata keadaan mangsa semakin stabil dan masih perlu menerima rawatan susulan berikutan kecederaan teruk yang dialaminya.
“Nur Ain sudah sedar dari komanya dan boleh membuka matanya. Malah, ketika menegurnya, dia memberi maklum balas yang positif dan faham apa yang sedang berlaku ke atasnya.
“Ini satu perkembangan yang baik dan saya berharap dia akan cepat sembuh seperti sedia kala,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, semalam.
Katanya, Pergerakan Wanita UMNO negeri akan sedia membantu Nur Ain apabila sembuh kelak termasuk memberi bantuan kaunseling serta pertolongan lain yang sewajarnya bagi membantu mangsa meneruskan kehidupannya.
“Saya sedih perkara sebegini boleh berlaku. Saya dan ahli Wanita UMNO yang lain berdoa supaya Nur Ain cepat sembuh kerana usianya masih muda dan perjalanannya menuju alam dewasa juga masih jauh.
“Saya juga berharap keluarganya bersabar dalam menghadapi dugaan yang melanda dan sentiasa berdoa kepada Tuhan supaya dapat mengharunginya dengan mudah,” katanya.
Sharifah Azizah sebelum itu turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada keluarga mangsa bertujuan meringankan beban yang ditanggung mereka.
Akhbar semalam melaporkan Nur Ain yang mengandung enam bulan koma, manakala bayi dalam kandungannya meninggal dunia selepas ditikam bertubi-tubi serta disimbah cuka getah dalam kejadian di rumahnya di Kampung Sungai Redan, Ulu Tiram, dekat sini Khamis lalu.
Mangsa diserang seorang lelaki berusia 42 tahun dipercayai akibat menolak cinta lelaki terbabit. Suspek dikatakan mengenali mangsa sejak dia berusia 12 tahun lagi malah, suspek juga dipercayai adalah anak angkat kepada keluarga mangsa.
Mangsa dilaporkan parah selepas ditikam 19 kali kebanyakannya di bahagian perut selain melecur di muka, belakang |
|
|
|
|
|
|
|
metro
Keluarga senyap
JOHOR BAHRU: Keluarga remaja perempuan berusia 17 tahun masih membisu siapa bertanggungjawab terhadap kehamilan anaknya yang masih berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas ditikam 19 kali dan disimbah asid oleh seorang lelaki dikenali, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin berkata, hingga kini pihaknya juga masih tidak menerima sebarang maklumat mengenai pasangan mangsa terbabit.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya terdapat keperluan, ia menjadi tugas pihak hospital bagi menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Menurutnya, pihaknya juga tidak menerima sebarang maklumat mendakwa suspek berusia 44 tahun ditahan kelmarin mempunyai sebarang kaitan dengan kandungan enam bulan mangsa yang disahkan meninggal dunia selepas remaja perempuan itu dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.
"Mengenai soal sama ada suspek bertanggungjawab ke atas kehamilan mangsa, hanya dapat diketahui sekiranya ada ujian DNA dilakukan terhadap janin itu kerana hingga kini keluarga tidak memberi maklumat.
"Malah polis masih meneruskan siasatan berkaitan kematian kandungan mangsa itu," katanya yang enggan mengulas sama ada mangsa sudah berkahwin.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Harian Metro, semalam.
Semalam, Harian Metro melaporkan kisah malang seorang bakal ibu berusia 17 tahun yang hamil terpaksa bertarung dengan maut di ICU akibat ditikam 19 kali serta disimbah asid oleh seorang lelaki dikenali di rumahnya di Kampung Baru Sungai redan, Ulu Tiram, di sini, pagi kelmarin. |
|
|
|
|
|
|
|
metro
Padah bertengkar
Oleh AHMAD OTHMAN
[email protected]
KOTA TINGGI: Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Begitulah nasib empat pakar curi kereta yang diberkas polis akibat tindakan mereka bertengkar sesama sendiri berhubung urusan jual beli sebuah kereta jenis Perodua Myvi di Felda Lok Heng, di sini, awal pagi kelmarin.
Susulan penangkapan itu, polis berjaya menemui semula tiga lagi kereta termasuk Hyundai Sonata, Toyota Lexus dan Mercedes Benz yang dilaporkan hilang di sekitar Felda Lok Heng Barat, di sini, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin berkata, semua suspek berusia dalam lingkungan 20-an dan 40-an itu ditahan selepas berlaku pertengkaran antara mereka dalam kejadian jam 3 pagi.
“Sebuah unit peronda (MPV) diarahkan ke tempat kejadian selepas menerima laporan berhubung sekumpulan empat lelaki bertengkar di tepi jalan hingga menimbulkan gangguan penduduk di Felda Lok Heng.
“Polis kemudian menjalankan pemeriksaan terhadap kereta terbabit, bagaimanapun semakan terhadap cukai jalan dan nombor pendaftarannya mendapati kereta berkenaan dilaporkan hilang pada 15 November lalu di kawasan Kolej Komuniti Bandar Penawar, di sini,” katanya.
Shamsuddin berkata, polis terpaksa menahan keempat-empat lelaki terbabit dan hasil siasatan lanjut, seorang daripada empat suspek kemudiannya membawa polis ke sebuah lokasi di Felda Lok Heng Barat di mana tiga lagi kereta yang turut dilaporkan hilang berjaya ditemui.
“Pada mulanya, lelaki terbabit mengaku tiga kereta itu adalah miliknya namun kecekapan polis berjaya menghidu taktik lelaki terbabit apabila nombor pendaftaran kereta itu tidak sama dengan nombor casisnya.
“Semua suspek kini direman sehingga 20 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana memiliki kenderaan curi dan Seksyen 29 (1) Undang-Undang Kecil 1955 kerana gagal memberi keterangan mengenai barangan yang dimiliki,” katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
metro
Ambil tindakan segera
Oleh MARY VICTORIA DASS
[email protected]
JOHOR BAHRU: Semua pentadbiran universiti di negara ini diminta menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi memastikan tiada pensyarah yang menganuti fahaman Syiah hingga mempengaruhi kumpulan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, fahaman berkenaan adalah bertentangan dengan ajaran berteraskan Sunnah Wal Jamaah mengikut mazhab Shafie sebagai ikutan umat Islam di negara ini.
“Setakat ini saya tidak pasti sama ada perkara itu berlaku atau tidak kerana itu saya minta pihak universiti siasat dan ambil tindakan segera.
“Jenis tindakan yang diambil juga terpulang pada pentadbiran sesebuah universiti," katanya.
Mohamed Khaled berkata, kementerian juga bimbang jika ada pensyarah di universiti terbabit sama dalam fahaman berkenaan kerana ia boleh mempengaruhi golongan pelajar hingga menimbulkan masalah tidak diingini.
“Mana-nama universiti boleh mengadakan kerjasama dengan polis untuk mendapatkan maklumat atau menyalurkan maklumat jika ada antara pelajar dan pensyarah mereka terbabit dalam fahaman ini.
“Mereka (universiti) perlu mencari pendekatan terbaik dan memberi perhatian terhadap soal ini,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Gerak Tumpu 2010 Zon Johor Jaya/Plentong, di Jalan Anggerik, Taman Johor Jaya di sini, semalam.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan mengenai serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap kira-kira 128 individu dewasa pengikut ajaran sesat dikenali Hauzah Ar Ridha dipercayai ajaran Syiah yang mengamalkan penyelewengan termasuk memukul badan dengan rantai besi sehingga berdarah sebagai tanda menyucikan dosa di Taman Seri Gombak. |
|
|
|
|
|
|
|
khabar orang johor
Lawatan kerja selesai pelbagai masalah
Ditulis oleh Hamirul Hairi Mohd Noh
Isnin, 13 Disember 2010 17:30 | 33 hits
KULAIJAYA: Menteri Besar Johor, Dato Abdul Ghani Othman, berpuas hati dengan siri lawatan kerjanya ke kawasan-kawasan parlimen di seluruh Johor setakat ini kerana ia berjaya menyelesaikan pelbagai masalah termasuk sistem perparitan, sampah tidak diangkut dan penantian mendapatkan hak milik tanah yang berlarutan hingga bertahun-tahun.
Katanya, beliau akan sampai ke empat lagi kawasan parlimen yang belum dilawati, iaitu Pasir Gudang, Batu Pahat, Ledang dan Pagoh awal tahun hadapan.
“Selepas itu saya akan sekali lagi mengadakan lawatan ke seluruh kawasan parlimen di Negeri Johor untuk melihat semula perkembangan perkara-perkara yang dibangkitkan pada lawatan sebelum ini, selain menyelesaikan masalah-masalah baru di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerjanya ke kawasan parlimen Tenggara di sini, Sabtu lalu.
Lawatan kerja Tenggara adalah kawasan parlimen terakhir yang dilawati Abdul Ghani dalam siri lawatan kerjanya untuk tahun ini.
Siri lawatan kerja beliau ke seluruh kawasan parlimen di Johor bermula 11 Jun tahun lalu di kawasan parlimen Muar.
Ia diikuti lawatan ke kawasan parlimen Simpang Renggam pada bulan Julai sebelum terhenti seketika untuk beberapa bulan.
Siri lawatan itu kemudian disambung semula pada Januari tahun ini bermula di kawasan parlimen Tanjung Piai.
Ia seterusnya dilakukan di kawasan-kawasan parlimen lainnya sekurang-kurangnya sekali dalam setiap bulan. Setakat ini Abdul Ghani sudah melawat 22 kawasan parlimen di Johor.
Sepanjang tempoh itu, pelbagai isu dan masalah rakyat telah berjaya diselesaikan, antaranya kes permohonan hak milik tanah, pembinaan sekolah agama, rumah-rumah ibadat serta masalah sistem perparitan.
Selain itu, beberapa projek khas turut diumumkan di kawasan-kawasan parlimen terbabit, termasuk pembinaan kampus induk di kawasan parlimen Tenggara, pembinaan tembok hakisan pantai di kawasan parlimen Pontian dan pusat petempatan pekerja asing di kawasan parlimen Gelang Patah. |
|
|
|
|
|
|
|
khabar orang johor
Pengusaha IKS akan terus dibantu
Ditulis oleh Sofiayana Ellmy Sukor
Isnin, 13 Disember 2010 17:16 | 25 hits
Memperkasakan usahawan...Abdul Ghani menyampaikan sijil dan mesin kuih kapit kepada Habibah Daud pada Program Galakan Usahawan, Jabatan Pertanian, Tangkak
TANGKAK: Kerajaan Negeri akan terus meningkatkan usaha membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) memperbesarkan dan mengembangkan perniagaan mereka di pasaran luar negara melalui pelbagai program.
Menteri Besar Johor, Dato’ Abdul Ghani Othman, berkata antara usaha yang dilakukan adalah menyediakan peruntukan pembiayaan sebanyak RM2 juta di Agrobank.
Selain itu, katanya, Program Galakan Usahawan (PGU) yang diperkenalkan sejak 15 tahun lalu turut ditingkatkan fungsinya bagi membantu memasarkan produk-produk kampung sejajar dengan matlamat penubuhan program itu.
“Kini, produk-produk IKS sudah banyak dihasilkan sehingga mampu untuk menampung pasaran luar.
“Kerajaan akan terus mempertingkatkan usaha membantu usahawan IKS. Sehingga kini, lebih RM20 juta telah diperuntukkan bagi memperkasakan bidang ini,” katanya.
Abdul Ghani berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian sijil dan penyerahan peralatan Program Galakan Usahawan, Jabatan Pertanian Johor, di Dewan Jubli Intan di sini, baru-baru ini.
Beliau turut mengingatkan setiap usahawan IKS agar menggunakan amalan pengeluaran baik bagi memastikan produk yang dihasilakan berkualiti dan mampu bersaing di pasaran luar.
“Apabila penghasilan produk ini dibuat melalui prosedur yang ditetapkan, saya percaya ia mampu bersaing dengan produk-produk sedia ada di pasaran dan sekali gus mampu melangkaui sasaran pengeluaran yang ditetapkan,” katanya.
Dalam ucapannya, Abdul Ghani turut melahirkan keyakinannya terhadap PGU yang mampu melahirkan lebih ramai usahawan IKS yang berjaya dan berdaya maju.
“Berdasarkan rekod, sebanyak 700 pengusaha yang mengikuti program ini berjaya mengeluarkan produk bernilai lebih RM200 juta, sama ada untuk pasaran dalam atau luar negara,” katanya.
Menurutnya lagi, usaha itu akan terus dipergiatkan bagi menjayakan hasrat kerajaan menjadikan negara ini negara maju menjelang tahun 2020. |
|
|
|
|
|
|
|
khabar orang johor
KPYPJ akan ada kampus induk
Ditulis oleh Hamirul Hairi Mohd Noh
Isnin, 13 Disember 2010 17:10 | 30 hits
KULAIJAYA: Pelajar di kolej-kolej di bawah Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (KPYPJ) akan mengikuti suasana pembelajaran yang selesa apabila fasa pertama kampus induk institusi itu siap menjelang akhir 2012.
Menteri Besar Johor, Dato’ Abdul Ghani Othman, berkata kampus induk bernilai RM52.6 juta itu akan dibina di atas tapak seluas 12 hektar di kilometer 16 Jalan Kulai-Kota Tinggi.
Katanya, apabila fasa pertama siap kelak, kampus itu akan dapat menampung seramai kira-kira 2,500 pelajar.
“Secara keseluruhan kawasan yang dirizabkan untuk projek ini ialah 40 hektar. Jika siap sepenuhnya ia boleh menampung 5,000 pelajar, lengkap dengan pelbagai kemudahan untuk keselesaan pelajar,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pecah tanah pembinaan kampus berkenaan semasa lawatan kerjanya ke kawasan parlimen Tenggara di sini, Sabtu lalu.
Katanya, langkah itu diambil kerana Kerajaan Negeri berpendapat, sudah sampai masanya KPYPJ yang ditubuhkan 14 tahun lalu memiliki sebuah kampus induk sendiri.
“Saya yakin dengan adanya kampus induk ini, KPYPJ mampu menarik lebih ramai pelajar pada masa akan datang,” katanya.
Pada lawatan kerjanya itu, Abdul Ghani turut mengumumkan rancangan pembinaan sebuah taman tema di atas tapak tanah seluas kira-kira 404 hektar berhampiran kampus induk itu.
Katanya, sebuah syarikat antarabangsa sudah diberi hak eksklusif untuk menyediakan cadangan pembinaan taman tema itu.
“Kita memberi satu syarikat secara eksklusif di tapak seluas 500 ekar pertama dan 500 ekar tambahan dalam enam bulan terdekat ini untuk mereka mengemukakan cadangan pembangunan taman tema itu.
“Taman tema ini dijangka sejajar dengan suasana kehijauan dan persekitaran yang ada di kawasan ini, bukan seperti Disneyland,” katanya.
Selain itu, Abdul Ghani turut mecadangkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membina jambatan kedua merentasi Sungai Johor di Kota Tinggi.
“Kita sudah melebarkan jalan Johor Bahru-Kota Tinggi daripada dua kepada empat lorong, dan saya lihat ada keperluan untuk membina sebuah jambatan kedua.
“Saya minta pihak JKR buat satu cadangan bagi dipertimbangkan oleh Kerajaan Persekutuan. Jika tidak dalam Rancangan Malaysia ke-10, dalam RMK-11,” katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
khabar orang johor
Ekspo produk halal tarik 100 ribu pengunjung
Ditulis oleh Aivizanoorwani Shah Shahroni
Isnin, 13 Disember 2010 16:00 | 61 hits
Pengasas Saujana Herba Enterprise, Norimah Nordin, bersama produk tungku garam herba yang mendapat label halal daripada Jabatan Agama Johor.
JOHOR BAHRU: Ekspo dan Pameran Produk Halal sempena sambutan Maal Hijrah yang diadakan di ruang legar Plaza Angsana selama tiga hari mulai jumaat lalu, berjaya menarik seramai kira-kira 100,000 pengunjung.
Antara aktiviti menarik sepanjang ekspo berkenaan berlangsung ialah penganjuran Forum ‘Halal Pilihan Saya’, pertandingan memasak, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan persembahan nasyid daripada kumpulan Hijjaz, Amar dan As-Saufie.
Ekspo berkenaan disertai 40 pengusaha produk halal dari seluruh negara, meliputi produk makanan, kesihatan dan kecantikan.
Kebanyakan peserta ekspo mengakui bahawa status halal amat penting bagi mempromosikan barangan mereka kerana kini golongan bukan Islam turut mencari produk halal untuk kegunaan harian.
Eksekutif pemasaran Wan Malinja Food Industries Sdn Bhd, Ayman Asthar Mohd Rani, berkata golongan bukan Islam kini sudah mempunyai kesedaran berkaitan status halal sesuatu produk.
“Kesedaran ini diperoleh daripada maklumat mengenai produk halal yang dijamin kebersihannya ketika proses penyediaan, sekali gus akan memastikan produk makanan itu selamat untuk dimakan atau digunakan,” katanya.
Pengurus operasi Hawaii Bakery & Food Industries (M) Sdn Bhd, Derek Cheah turut menitikberatkan status halal produk roti dan kek keluaran syarikatnya supaya pasarannya dapat menembusi peringkat global.
Pengasas Saujana Herba Enterprise, Norimah Nordin, berkata produk yang mempunyai status halal lebih menyakinkan pembeli berbanding produk yang tiada status halal kerana pengguna sekarang sudah bijak memilih dan mengambil berat tentang kandungan produk yang mereka beli.
“Ekspo dan pameran produk seperti yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Johor ini amat baik kerana secara tidak langsung ia memberi ruang kepada pengusaha untuk mempromosikan produk halal manakala pengguna juga berpeluang mendapatkan maklumat dan mengenali produk halal di pasaran,” katanya.
Ekspo berkenaan adalah inisiatif Kerajaan Negeri bertujuan meningkatkan tahap kesedaran pengguna mengenai kewujudan produk-produk halal di pasaran. |
|
|
|
|
|
|
|
khabar orang johor..
Suara Johor akhirnya bersahut
Ditulis oleh Mohd Sa'odi Mat Atar
Sabtu, 11 Disember 2010 00:25 | 39 hits
SUARA Umno Johor bergema semula, malah semakin segar, apabila gesaannya supaya intisari Perlembagaan Persekutuan dipertahankan, bersahut dalam Perhimpunan Agung Umno ke-61 di Kuala Lumpur pada 21 hingga 23 Oktober lalu.
Kalau empat tahun lalu, Umno Johor dilihat bersendirian apabila bertegas dengan tema ‘Tegakkan Perlembagaan’ dalam konvensyennya pada 2006, kali ini, presiden Umno sendiri mempertegaskannya di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu.
Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam ucapan dasarnya pada perhimpunan itu mengingatkan bahawa tiang-tiang seri kemelayuan telah terpateri kemas dalam Perlembagaan dan tidak boleh diubah sesuka hati.
Secara kebetulan, dua minggu sebelum perhimpunan agung itu, satu seminar khas mengenai Perlembagaan Persekutuan anjuran kerajaan Johor, berlangsung di Johor Bahru, yang sedikit sebanyak menyelami perjuangan Umno Johor agar semua pihak memahami dan menghayati semangat Perlembagaan.
Perjuangan itu bagaikan mendapat suntikan nafas baru apabila perdana menteri sendiri mempertegaskan bahawa perkara yang termaktub untuk orang Melayu dan Bumiputera tidak boleh digugat, selain Perlembagaan itu sendiri amat adil dengan melindungi kepentingan kaum-kaum lain.
Sesungguhnya peringatan presiden Umno itu bertepatan sekali masanya kerana menjelang hujung tahun ini, genaplah 500 tahun bermulanya sejarah duka orang Melayu, iaitu sejak jatuhnya Melaka ke tangan Portugis. Sejak itulah kehidupan orang Melayu, terutamanya dari segi ekonomi, sukar untuk pulih sehingga ke hari ini.
Apabila Bristish datang ke Semenanjung Tanah Melayu, mereka memesongkan kuasa raja Melayu untuk melemahkan bangsa Melayu melalui proses politik, ekonomi, pendidikan dan petempatan.
Kuasa pembesar Melayu digantikan dengan pegawai British, dan anak Melayu diberi pendidikan mula-mula sekadar Darjah 3, kemudian hingga Darjah 6. Kalau nak pergi jauh lagi, kena ke sekolah aliran Inggeris, itu pun beberapa kerat sahaja dapat peluang sedemikian.
Kawasan ladang dibuka tanpa penyertaan Melayu, sementara sumber bumi Melayu dieksploitasi. Semua keuntungannya tidak sedikitpun digunakan untuk membangunkan kampung-kampung Melayu, sebaliknya dibangunkan bandar-bandar yang didiami oleh orang lain.
Bandar-bandar kolonial itu menjadi kediaman British dan orang asing yang dibawa masuk ke kawasan-kawasan lombong. Ia dihubungkan dengan kemudahan jalan raya dan kereta api yang canggih ketika itu, tetapi tidakpun melalui perkampungan Melayu.
Ini cerita sedih orang Melayu, tetapi kisah benar pecah amanah British yang mungkir janji kepada raja-raja Melayu yang kononnya mahu melindungi penduduk asal bumi Melayu. Mereka datang kononnya dengan hasrat mahu menaungi, tapi akhirnya menjajah tanah Melayu.
Akibatnya, orang asing membangun dalam program pemodenan bandar-bandar kolonial tapi orang Melayu terpinggir di luar bandar dan terus mundur dalam semua bidang.
Sebab itu muncul semangat kebangsaan Melayu sebelum dan selepas Perang Dunia Kedua. Orang Melayu memperjuangkan hak untuk memerintah sendiri tanpa melupakan kehadiran orang lain di negara ini.
Orang Melayu mengiktiraf kewujudan mereka dengan mengintegrasikannya ke dalam masyarakat untuk turut sama menjadi warganegara melalui undang-undang kerakyatan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Perlembagaan itu digubal oleh suruhanjaya bebas terdiri daripada pakar-pakar perundangan dan perlembagaan antarabangsa dalam Komanwel. Bayangkan, orang Melayu mengizinkan orang asing yang tidak ada kena mengena dengan bangsa Melayu menggubal undang-undang tubuh negaranya sendiri. Inilah keikhlasan bangsa Melayu.
Melayu selama-lamanya adil, amat inklusif dan amat plural. Lama sebelum orang lain bercakap mengenai pluralisme atau kemajmukan, bangsa Melayu telah mengamalkan prinsip ini sejak zaman kerajaan Melaka dengan membenarkan kewujudan masyarakat Baba dan Ceti. Mereka semua terangkum dalam wadah kerajaan Melayu, berkongsi kuasa dengan pembesar-pembesar Melayu sebagai syahbandar, kapitan dan sebagainya.
Selama lebih lima dekad, sejak kemerdekaan tanah Melayu dan Malaysia, Umno dengan sedar dan sengaja membawa bersama kaum-kaum lain berkongsi kuasa sebagai memenuhi prinsip keadilan yang berlandaskan falsafah politik bangsa Melayu dan agama Islam.
Kalau mahu tahu prinsip politik Melayu, bacalah karya agung Melayu bertajuk Tajus Salatin, Bustanus Salatin dan Sulalatus Salatin. Firman Allah dalam surah al-Maidah, ayat 8, pula memerintahkan manusia menjadi saksi yang adil kepada diri sendiri, ibu bapa, masyarakat dan kaum tanpa mengira status; kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.
Tentunya apabila kita bersikap adil kepada orang lain, kita mengharapkan timbal balas yang setimpal, sekurangnya-kurangnya sejajar dengan pembelaan yang termaktub dalam Perlembagaan.
Ingatlah bahawa kewarganegaraan itu membawa bersama-samanya tanggungjawab dan obligasi untuk menjunjung, menghormati dan mempertahankan undang-undang Perlembagaan dan segala fasal-fasal kandungannya, kerana Perlembagaan itulah yang menjadikan kita warga dan rakyat Malaysia. |
|
|
|
|
|
|
|
khabar orang johor
Kamaruzzaman Ketua Eksekutif Jcorp baru
Ditulis oleh Aivizanoorwani Shah Shahroni
Jumaat, 10 Disember 2010 16:07 | 48 hits
Presiden dan ketua eksekutif Jcorp yang baru, Kamaruzzaman Abu Kassim.
JOHOR BAHRU: Kamaruzzaman Abu Kassim secara rasmi dilantik sebagai presiden dan ketua eksekutif Johor Corporation (Jcorp) yang baru selepas memangku jawatan itu selama empat bulan.
Pelantikan beliau untuk kedua-dua jawatan itu berkuatkuasa 1 Disember lalu.
Pengerusi Jcorp yang juga Menteri Besar Johor, Dato’ Abdul Ghani Othman, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah Jcorp semalam selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni almarhum Sultan Iskandar.
“Ketua eksekutif Jcorp yang baru ialah Kamaruzzaman Abu Kassim. Perkara berkenaan diputuskan dalam mesyuarat lembaga dengan perkenan Tuanku,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sistem Sokongan Elektronik Pelesenan Perniagaan (BLESS) di Pusat Konvensyen Danga Bay.
Sebelum memangku jawatan itu, Kamaruzzaman, 46, adalah Naib Presiden Kanan Kewangan dan Khidmat Korporat Jcorp. Beliau telah berkhidmat dengan Jcorp sejak 1992.
Beliau juga adalah Ahli Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi Johor Corporation (TERAJU) dengan memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Induk Kewangan.
Di bawah pengurusan beliau, Jcorp berjaya mendapat pengiktirafan anugerah tertinggi empat bintang dalam pengurusan kewangan Indeks Akauntibiliti oleh Jabatan Audit Negara selama tiga tahun berturut-turut.
Kamaruzzaman berkelulusan Bachelor of Commerce (major perakaunan) University Wollongong, New South Wales, Australia. Beliau memulakan kerjayanya di Cooper & Lybrand, Johor Bahru, selaku juruaudit kanan.
Pada Ogos 2006, beliau dilantik Ketua Pegawai Operasi/Ketua Pegawai Kewangan Jcorp dan pada Januari 2009, dilantik Naib Presiden Kanan, Khidmat Korporat dan Kewangan Jcorp.
Kamaruzzaman juga adalah Ahli Lembaga Pengarah Kulim (Malaysia) Berhad, Pengerusi Damansara Assets Sdn Bhd, Ahli Lembaga Pengarah Damansara Reit Managers Sdn Bhd dan Ahli Lembaga Pengarah Tanjung Langsat Port Sdn Bhd.
Terdahulu, Kerajaan Negeri mengumumkan Kamaruzzaman sebagai pemangku selepas bekas presiden dan ketua eksekutif Kumpulan Jcorp, Tan Sri Muhammad Ali Hashim, meletak jawatan berkuatkuasa 24 jam walaupun tempoh tamat perkhidmatan beliau berakhir Disember ini. |
|
|
|
|
|
|
|
khabar orang johor
BLESS Kurangkan Karenah Birokrasi
Ditulis oleh Aivizanoorwani Shah Shahroni
Jumaat, 10 Disember 2010 15:58 | 60 hits
Pusat sehenti...Ketua pasukan BLESS, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (dua dari kanan), Zainiyah Mohd Zaki, menunjukkan kepada Abdul Ghani cara penggunaan sistem BLESS.
JOHOR BAHRU: Peniaga dan pelabur yang ingin membuat permohonan lesen, permit dan kelulusan berkaitan perniagaan di negeri ini tidak perlu lagi berhadapan dengan karenah birokrasi apabila Sistem Sokongan Elektronik Pelesenan Perniagaan (BLESS) diperkenalkan baru-baru ini.
Menteri Besar Johor, Dato’ Abdul Ghani Othman, berkata melalui sistem itu mereka boleh mengemukakan permohonan, mengesan status, serta mendapatkan keputusan secara atas talian (online).
“Johor adalah negeri kelima yang menggunakan sistem ini selepas Lembah Klang, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang.
“BLESS diharap dapat bertindak sebagai single window (satu saluran) bagi melancarkan urusan dengan agensi kerajaan.
“Antara Januari hingga Ogos tahun ini, Johor telah menerima 120 projek sektor perkilangan melibatkan jumlah cadangan pelaburan modal sebanyak RM2.98 billion,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sistem Sokongan Elektronik Perlesenan Perniagaan (BLESS) di Pusat Konvensyen Danga Bay.
Jelasnya, Johor merupakan negeri kedua tertinggi menerima pelaburan di sektor itu selepas Selangor.
“Sebagai pusat sehenti, peniaga dan pelabur juga berpeluang untuk mendapatkan maklumat komprehensif mengenai urusan pelesenan perniagaan di negara ini, sekali gus memudahkan mereka berurusan dengan agensi kerajaan,” katanya.
Abdul Ghani menyarankan supaya agensi-agensi dalam sektor awam berupaya menjadi fasilitator yang strategik dan dinamik.
Katanya, Ia bertujuan melahirkan persekitaran pelaburan dan perniagaan yang kondusif, sekali gus melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara ke peringkat lebih tinggi. |
|
|
|
|
|
|
|
utusan
'Tolong bersihkan longkang kampung kami'
JOHARI Mat Rani menunjukkan longkang yang dipenuhi semak samun di Kampung Mawai baru, Kota Tinggi, di sini.
KOTA TINGGI 18 Dis. - Penduduk Kampung Mawai Baru di sini kecewa dengan sikap pihak berkenaan yang didakwa tidak menyelenggara sistem perparitan dengan baik sejak sekian lama.
Menurut seorang ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Johari Mat Rani, 70, masalah itu telah dimaklumkan kepada pihak yang berkenaan, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil untuk mengatasinya.
"Setakat ini, tiada tindakan dibuat walaupun beberapa kali kami ajukan masalah ini kepada pemimpin masyarakat di sini.
"Sudahlah kewujudan longkang tidak kelihatan akibat dipenuhi semak-samun dan pasir, pokok besar pula dibiarkan tumbuh dalam longkang tersebut," katanya sambil meminta pihak berwajib turun padang meninjau keadaan tersebut.
Rakannya, Mohd. Shah Abu Jamal, 53, pula berkata, kawasan perparitan itu perlu dibersihkan untuk mengelakkan kejadian banjir kilat melanda kawasan berkenaan.
Menurutnya, sistem perparitan di jalan utama sepanjang dua kilometer itu perlu dibersihkan segera supaya air tidak bertakung dan melimpah ke jalan raya.
"Longkang yang semak itu juga boleh menjadi tempat pembiakan binatang berbisa dan nyamuk," katanya.
Seorang lagi penduduk, Subinah Sukiman, 64, turut berharap pihak berkuasa melakukan sesuatu demi memastikan tidak ada perkara buruk berlaku di kawasan berkenaan.
Dia bimbang, keadaan air yang bertakung akan menyebabkan kawasan itu menjadi pembiakan nyamuk aedes dan meningkatkan jumlah kes demam denggi di kampung berkenaan.
"Apabila hujan, air dari longkang itu juga mula mengeluarkan bau busuk," katanya |
|
|
|
|
|
|
|
MAINJ sasar pungutan zakat RM120 juta
JOHOR BAHRU 18 Dis. - Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) menyasarkan dapat mengutip sebanyak RM120 juta zakat pada tahun depan.
Setiausaha MAINJ, Mohd. Nasir Salam yakin, sasaran itu mampu dicapai kerana jumlah kutipan zakat negeri sentiasa bertambah saban tahun termasuk tahun ini yang meningkat 10 peratus.
"Contohnya, dari Januari hingga November tahun ini sahaja kita sudah berjaya mendapat RM115 juta. Daripada jumlah itu, RM11.2 juta adalah bayaran zakat melalui potongan gaji.
"Hasil zakat tahun ini, MAINJ mengagihkan RM96.9 juta dan golongan fisabilillah adalah penerima paling ramai sebanyak RM43 juta, miskin (RM21.6 juta), fakir (RM10.5 juta), amil (RM12.6 juta) dan mualaf (RM6.6. juta)," katanya berucap pada Program Zakat Mensejahterakan Ummah di Dewan Gimnasium, Hospital Permai, di sini semalam.
Turut hadir Timbalan Pengarah Hospital Permai, Dr. Jamaludin Ahmad dan Timbalan Pengarah Perubatan Psikitarinya, Dr. Badi'ah Yahya.
Pada majlis tersebut, Thareima Zainuddin Yaakob iaitu pesakit hospital berkenaan, menyerahkan zakat sebanyak RM8,000 kepada MAINJ sebagai bayaran zakat pendapatannya.
Zainuddin yang telah mendiami hospital itu sejak 12 tahun lalu merupakan bekas guru agama dan mempunyai tiga anak.
Pada majlis itu, MAINJ turut mengumumkan tiga orang fakir miskin iaitu Mat Zain Zakaria, 57, Hussein Ali, 63, dan Wan Muji Wan Ismail, 49, akan menerima zakat antara RM250 hingga RM300 sebulan.
Mohd. Nasir berkata, RM2.5 juta diagihkan kepada golongan gharim iaitu mereka yang berhutang dan ditetapkan oleh syarak, manakala RM128,000 untuk ibnu sabil iaitu mereka yang terputus belanja dalam perjalanan.
Beliau berkata, tahun lalu MAINJ berjaya memungut zakat sebanyak RM109 juta daripada 64,102 pembayar zakat.
Daripada jumlah itu, pembayaran melalui potongan gaji adalah paling tinggi menyumbang iaitu RM22 juta dengan seramai 26,271 pembayar zakat.
Sementara itu, Hussein bersyukur dengan bantuan itu dan menyifatkannya sebagai satu rahmat sempena tahun baru Hijrah 1432 yang disambut baru-baru ini.
Warga emas itu yang tinggal di Taman Universiti, Skudai bersama isteri dan menanggung enam cucunya berkata, bantuan itu sedikit sebanyak dapat meringankan bebannya.
"Saya hanya bekerja sebagai pemandu teksi dengan pendapatan antara RM600 hingga RM800 sebulan untuk menampung enam cucu yang masih bersekolah," katanya.
Mat Zain yang menghidap penyakit jantung berkata, bantuan itu amat diperlukan kerana dia tidak bekerja dan hanya mengharapkan gaji isterinya yang bekerja sebagai tukang cuci dengan pendapatan RM450 sebulan. |
|
|
|
|
|
|
|
metro
Guna 4 jenis senjata
BATU PAHAT: Polis percaya empat jenis senjata digunakan dalam pembunuhan kejam Siti Mazni Abdul Rahman, 14, di kebun kelapa sawit di Kampung Parit Ju Darat, Tongkang Pechah di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, ia membabitkan parang, pisau lipat, buku lima serta guni.
“Ia digunakan untuk menutup muka, memukul, menikam serta mengelar mangsa sebelum diseret sejauh 50 meter ke dalam kebun itu.
“Semua senjata terbabit ditemui pada seorang daripada tiga suspek yang ditahan Jumaat lalu,” katanya ketika melawat rumah keluarga mangsa di Kampung Parit Ju Darat, semalam.
Mayat Siti Mazni ditemui dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah, manakala mayatnya ditutup menggunakan pelepah kelapa sawit di kebun tidak jauh dari kediamannya.
Menurut Mohd Mokhtar, selain senjata, telefon bimbit mangsa turut ditemui di kediaman seorang suspek.
Semua barangan terbabit dirampas dan dihantar ke jabatan kimia untuk ujian bagi menentukan sama ada ia digunakan dalam pembunuhan atau sebaliknya.
“Hasil siasatan, kami menahan dua remaja berusia 14 dan 16 tahun di sekitar Tongkang Pechah, tengah hari Jumaat lalu.
“Ia membawa kepada penahanan seorang lagi suspek berusia 16 tahun di kawasan berkenaan pada malam hari yang sama,” katanya.
Berikutan tangkapan dan siasatan susulan, polis membuat dua lagi tangkapan iaitu seorang remaja berusia 14 tahun pada jam 6.15 petang kelmarin, di Sri Medan dan bapa tirinya yang berusia 44 tahun di sekitar Tongkang Pechah, kira-kira pada jam 8.40 malam hari yang sama. “Siasatan mendapati, seorang daripada tiga remaja yang ditahan Jumaat lalu mempunyai rekod salah guna dadah.
“Lelaki berusia 44 tahun itu positif dadah dan mereka ditahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan saya mahu kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa raya selewat-lewatnya Khamis ini,” katanya.
Selain itu, seorang suspek turut dibawa ke lokasi pembunuhan bagi membantu siasatan pada kira-kira jam 4.30 petang semalam.
Dalam lawatan setengah jam itu, Mohd Mokhtar menerangkan perkembangan siasatan kepada keluarga mangsa, selain mengunjungi lokasi pembunuhan.
Mohd Mokhtar meminta orang ramai menghentikan sebarang spekulasi dan membiarkan polis menjalankan siasatan.
“Kami percaya lima suspek itu memainkan peranan tersendiri dan berusaha bersungguh-sungguh memastikan semua individu terbabit dihadapkan ke mahkamah.
“Berikutan itu, saya nasihatkan kepada sesiapa mempunyai kaitan dengan kes ini supaya tampil dan menyerah diri serta memberi keterangan sebelum mereka ditahan,” katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
metro
Ain buang kulit mati
JOHOR BAHRU: Selepas lima hari dirawat, Nur Ain Ashikin Jemedi, 17, mangsa serangan ganas anak angkat keluarganya, menjalani pembedahan membuang kulit mati akibat disimbah asid di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, semalam.
Kakak mangsa, Suraidah Jemedi, 27, berkata, Ain menjalani pembedahan itu pada jam 11 pagi dan prosedur berkenaan tamat tiga jam kemudian.
“Mengikut perancangan awal, doktor membuang kulit mati dan menampal kulit gantian diambil dari belakang badannya.
“Bagaimanapun, keadaan Ain masih kritikal menyebabkan doktor membuang kulit mati saja dan terpaksa menunggu tarikh lain sebelum melakukan proses menampal kulit gantian di bahagian terjejas,” katanya ketika ditemui di HSI di sini, semalam. |
|
|
|
|
|
|
|
kosmo
Tiga senjata bunuh pelajar ditemui
BATU PAHAT - Siasatan polis mendapati tiga jenis senjata digunakan dalam pembunuhan seorang pelajar perempuan yang mayatnya ditemui di ladang kelapa sawit, di Parit Ju Darat, Tongkang Pechah, di sini, Jumaat lepas.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata senjata berkenaan merupakan sebilah parang, sebilah pisau lipat dan satu buku lima serta dua guni dipercayai digunakan suspek bagi melakukan jenayah tersebut.
"Kesemua barangan itu ditemui dalam serbuan polis terhadap salah seorang daripada tiga suspek yang ditahan Jumaat lepas.
"Polis turut menemui telefon bimbit milik mangsa di dalam rumah salah seorang suspek berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga pelajar perempuan berkenaan di Kampung Parit Ju Darat, di sini semalam. |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|