|
INDUSTRI pembuatan peluru dalam kalangan pemain-pemain utama industri itu kini terus berkembang pesat dan dijalankan dengan teknik moden.
Di seluruh dunia, dianggarkan kira-kira 2 bilion peluru dihasilkan setahun melibatkan urus niaga sekitar AS$4 bilion (RM16 bilion).
Ini sudah tentu dapat menghasilkan pulangan lumayan kepada mana-mana negara atau syarikat yang berkecimpung secara serius bagi menghasilkan peluru.
Malaysia bagaimanapun masih lagi boleh dikategorikan sebagai negara pengguna dan bergantung dengan teknologi luar negara dalam industri tersebut.
Justeru, sebuah syarikat tempatan mengambil inisiatif untuk menghasilkan sendiri peluru di dalam negara.
Pengarah Polycase Asia Sdn. Bhd., Zaikry Sany Mohd. Isa berkata, dalam mencapai matlamat menghasilkan peluru sendiri, pihaknya telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat pengeluar peluru dari Amerika Syarikat, Polycase Ammunation pada tahun 2016.
“Melalui MoU ini, kami akan melakukan pemindahan teknologi dalam penghasilan peluru dari Amerika Syarikat ke negara ini seterusnya menghasilkan peluru kita sendiri.
“Kami tidak membayar yuran pemindahan teknologi atau royalti sebaliknya mengamalkan konsep perkongsian keuntungan,” katanya ketika ditemui kru Panorama baru-baru ini.
Zaikry Sany berkata, konsep ini lebih menguntungkan daripada bayaran royalti atau yuran pemindahan teknologi kerana kedua-dua pihak akan memperoleh situasi menang-menang.
“Selain berkongsi keuntungan yang mana Polycase Ammunation memperoleh 30 peratus daripada untung bersih, syarikat itu juga dapat pasaran baharu yang sukar ditembusi sebelum ini akibat kos pengangkutan yang tinggi.
“Kami pula dapat menghasilkan peluru dengan kos lebih rendah iaitu tidak sampai 50 peratus daripada kos sekarang. Dengan ini, kita dapat menjual peluru pada harga lebih murah berbanding sekarang,” katanya.
Jelasnya, buat masa kini, pihaknya merancang untuk menghasilkan peluru jenis 9 milimeter (mm), .40, .45 serta .380 yang diguna pada pistol serta 5.56mm yang diguna pada raifal.
Ujar Zaikry Sani lagi, pada masa kini terdapat sebuah syarikat tempatan lain yang telah mempunyai kilang menghasilkan peluru di dalam negara.
“Bagaimanapun kami berlainan daripada syarikat tersebut kerana bukan sahaja merancang menghasilkan peluru dengan memasangnya di dalam negara, malah komponen yang digunakan seperti anak peluru dan kelongsong juga akan dihasilkan sendiri dan bukannya diimport,” katanya.
Dalam mencari bahan mentah untuk menghasilkan komponen-komponen peluru, jelasnya, Polycase Asia telah menjalinkan kerjasama untuk membeli bahan utama untuk membuat peluru iaitu serbuk tembaga dan polimer daripada sebuah syarikat lain di Amerika Syarikat iaitu PolyOne Corporation.
“Menggunakan acuan khas serta Baby Plast Molding Machine bersama-sama konfigurasi mesin yang diperoleh daripada Polycase Ammunation, kami boleh menghasilkan anak peluru sendiri.
“Selepas itu, anak peluru ini dan kelongsong yang juga dihasilkan sendiri akan disatukan bersama-sama serbuk letupan, rim dan primer menjadi peluru lengkap menggunakan sebuah mesin lain,” katanya.
Tambahnya, dari segi pengeluaran, pihaknya boleh menghasilkan tujuh butir peluru dalam tempoh seminit dan kira-kira 20 juta peluru sebulan.
Katanya lagi, buat masa ini, pihaknya masih lagi mengimport peluru yang dijual, namun mereka merancang untuk menghasilkan sendiri peluru terbabit pada tahun ini.
“Kami pada masa kini bekerjasama dengan German-Malaysian Institute (GMI) di Bangi, Selangor untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kerana mereka mempunyai mesin serupa yang bakal kami gunakan.
“Namun, kami merancang untuk membeli mesin untuk menghasilkan anak peluru. Selain itu, dua lagi mesin akan dibeli bagi membuat kelongsong serta pemasangan peluru agar dapat menghasilkan peluru lengkap di kilang kami di Taman Teknologi Park, Bukit Jalil, Kuala Lumpur,” katanya.
Zaikry Sani berkata, peluru yang dihasilkan disasarkan untuk dijual kepada agensi keselamatan di negara ini seperti Maritim Malaysia (APMM), polis dan lain-lain.
“Selain itu, peluru yang kami hasilkan juga akan dijual di negara-negara Oceania seperti New Zealand dan Australia serta negara-negara di Asia Barat.
“Disebabkan kos pembuatan yang lebih murah, peluru ini tentunya dapat dijual lebih murah dan ia tentunya dapat menjimatkan peruntukan membeli peluru daripada agensi-agensi keselamatan di negara ini,” katanya.
Sementara itu, pakar persenjataan Polycase Asia, Jailani Saad berkata, antara kelebihan peluru yang dihasilkan syarikat itu adalah ia lebih ringan berbanding yang lain.
“Peluru yang kami hasilkan hanya seberat kira-kira 65 grain (4.21 gram) berbanding peluru biasa seberat 115 grain (7.45 gram). Ini menjadikan peluru ini lebih mudah dibawa oleh penggunanya.
“Kami juga menggunakan konsep peluru teknologi hijau yang mana ia tidak mempunyai plumbum berbahaya kepada alam sekitar dan manusia,” katanya.
Katanya, selain itu, syarikat itu juga boleh mencipta corak tersendiri pada anak peluru serta warna mengikut kemahuan pelanggan |
|