|
|
http://www.bharian.com.my/node/215548
LIMA (Peru): Seorang wanita rakyat Malaysia yang sudah tujuh tahun terkandas di sini, merayu simpati mana-mana pihak membawanya pulang ke tanah air. Syzlin Hataman, 42, pernah meringkuk empat tahun dalam penjara atas kesalahan terbabit dalam sindiket keldai dadah antarabangsa. Selepas itu, dia mendapatkan perlindungan di sebuah gereja di sini, yang menjadi tempat tinggalnya. Dalam temu bual eksklusif bersama BH semalam, Syzlin yang tidak dapat menahan daripada menitiskan air mata, memohon jasa baik rakyat Malaysia untuk membantu bagi membolehkannya kembali ke tanah air. "Tidak kiralah individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau sesiapa saja, saya ingin pulang menemui keluarga yang lama terpisah tanpa khabar berita. "Saya pernah memohon bantuan Kedutaan Malaysia di sini tetapi pegawai kedutaan memaklumkan tidak membantu dalam urusan pembelian tiket penerbangan pulang ke Malaysia. "Mereka suruh keluarga atau sesiapa saja yang secara sukarela boleh tolong beli tiket penerbangan untuk pulang ke tanah air. "Tiket mahal, paling tidak pun dalam RM13,249 (AS$3,000). Keluarga tidak mampu nak beli kerana kami miskin, ayah sudah tiada, cuma ada emak dan adik saja di kampung," katanya di sini, semalam. Walaupun diberi tempat berlindung dan ada rakyat tempatan menghulurkan bantuan, kerinduan Syzlin terhadap tanah air tercinta sukar dikikis walaupun sudah lama tidak memijak bumi Malaysia. Menanggung pelbagai penyakit seperti lelah, kencing manis dan bengkak seluruh badan, anak jati Johor Bahru, Johor itu meminta jasa baik semua pihak mendoakan yang terbaik untuk dirinya. "Manusia bukan sempurna, saya akui saya tidak berfikir panjang. Saya minta kepada Allah jika satu hari nanti ada orang bantu, maka saya amat berbesar hati," katanya yang masih fasih berbahasa Melayu walaupun dicampur dengan bahasa Inggeris. Pernah bekerja sebagai guru Taska, wanita yang belum berkahwin itu ditahan di Peru pada Mei 2010 kerana membawa dadah seberat 3.83 kilogram dari Istanbul, Turki ke Lima. Syzlin dikenakan hukuman penjara empat tahun dan denda 5,000 soles (RM6,458.69) bagi kesalahan itu.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/215548 |
|