Perancis mengeluarkan waran tangkap terhadap adik perempuan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman kerana disyaki mengarahkan pengawal peribadinya memukul pekerja di pangsapuri puteri itu di Paris, kata sumber terdekat kepad AFP pada Khamis.
Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman (kanan)
Foto: The Straits Times
Memetik The Straits Times, waran tangkap berkenaan menamakan Puteri Hassa Binti Salman menggunakan ejaan bahasa Perancis sebagai Hussat ben Salmane, dikeluarkan akhir Disember lalu, kata sumber, mengesahkan laporan majalah Le Point.
Difahamkan, sebelum kejadian mangsa diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian di pangsapuri puteri terbabit di Avenue Foch, pada September 2016.
Ketika mengambil gambar di dalam sebuah bilik yang ditugaskan kepadanya, mangsa dituduh mengambil gambar puteri untuk dijual kepada pihak media.
Pekerja terbabit mendakwa puteri itu kemudian mengarahkan pengawal peribadinya untuk memukul mangsa. Dia ditumbuk di muka sementara tangannya diikat dan dipaksa mencium kaki puteri.
Dia hanya dibenarkan meninggalkan pangsapuri berkenaan beberapa jam kemudian tanpa peralatannya yang dikatakan telah 'dirampas' pengawal peribadi tarbabit.
Pengawal peribadi terbabit didakwa pada 1 Oktober 2016 atas tuduhan melakukan keganasan, mencuri dan membuat ugutan bunuh. - CARI |