Pelakon veteran Zainal Ariffin Abd Hamid atau lebih dikenali sebagai Zaibo disahkan menghidap kanser esofagus (Esophageal Cancer).
Memetik Harian Metro, pelakon berusia 62 tahun itu dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB) sejak semalam bagi mendapatkan rawatan.
Kredit foto: Astro GEMPAK
"Sebelum ini saya hanya ada masalah darah tinggi dan kolesterol. Tak sangka tiba-tiba doktor mengesahkan saya kini menghidap kanser esofagus.
"Saya sebenarnya menetap di Batu Pahat, Johor. Kemasukan di HSB pun atas keputusan Hospital Batu Pahat yang merujuk kes penyakit saya ke sini.
"Terus terang saya sebenarnya terkejut dan enggan hebohkan kisah sakit ini kepada masyarakat. Itulah sebabnya saya lari daripada orang kerana tak nak ada komen-komen negatif yang dilemparkan terutama di laman sosial.
"Ia boleh membuatkan bukan saya sahaja tapi keluarga juga akan turut tertekan," katanya.
Pelakon yang dikenali menerusi siri sitkom Spanar Jaya itu turut berbesar hati sekiranya ada pihak berbaik hati memberi sumbangan untuk menanggung kos rawatannya.
"Sekiranya saya nak buat proses cepat, saya boleh ke pusat perubatan swasta iaitu Prince Court atau Subang Jaya Medical Centre (SJMC).
"Keputusan diperolehi memang cepat dan memudahkan rawatan dibuat tapi kos perlu dikeluarkan ialah RM4,000.
"Bersyukur sangat kalau ada yang dapat taja kos perubatan saya. Saya sangat-sangat menghargainya. Apatah lagi saya sendiri dah dua tahun tak berlakon dan tiada punca pendapatan lain," katanya.
Zaibo juga memohon sahabat, rakan artis dan semua peminat mendoakan segalanya dipermudahkan dan memperoleh kesihatan yang stabil. - CARI |