Edited by EJALTI at 10-9-2019 09:40 AM
Jabatan Penjara tutup mulut?
https://www.hmetro.com.my/utama/2019/09/495166/jabatan-penjara-tutup-mulut
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 2:51 PM
Siti Nor Hidayatidayu Razali
[email protected]
BANDUAN lelaki yang dikatakan menunggu hukuman gantung merakam video dengan mendakwa dirinya tidak bersalah dalam kes membunuh. FOTO Video Tular.
JABATAN Penjara enggan memberi sebarang kenyataan mengenai rakaman video tular sejak semalam memaparkan banduan mendakwa dirinya tidak bersalah sehingga terpaksa menjalani hukuman gantung.
Usaha Harian Metro untuk meminta kenyataan daripada Pengarah Penjara Kelantan, Timbalan Komisioner Penjara Hamzani Che Ibrahim tidak berhasil berhubung penularan rakaman video itu.
Sumber penjara Pengkalan Chepa memberitahu Harian Metro, mereka diarahkan oleh Ibu Pejabat Jabatan Penjara supaya tidak memberi sebarang kenyataan, termasuk daripada Pengarah Jabatan Penjara kerana perkara itu masih dalam siasatan.
Dalam rakaman berdurasi empat minit 24 saat itu, lelaki berusia 37 tahun terbabit memaklumkan dia dipenjara sejak berusia 19 tahun kerana membunuh, namun menafikan melakukan jenayah itu.
Banduan itu berkata, dia membuat rakaman video berkenaan kerana mahu rakyat Malaysia membantunya.
“Saya tunggu nak jalankan hukuman gantung. Sekarang empat orang (banduan), termasuk saya tunggu hukuman gantung yang tak tahu bila akan dijalankan.
“Sekarang saya dapat satu peluang ini sahaja (rakam video) kerana (apa yang) saya cakap sebelum ini tidak laku (diberi perhatian. “Masa kena tangkap umur 19 tahun, iaitu pada 2002 dan sekarang umur saya 37 tahun.
“Masa itu saya tidak tahu mana baik dan mana tidak baik, namun saya tidak bunuh. Masa kejadian memang saya ada (di lokasi),” katanya dalam rakaman itu.
Banduan itu juga ‘bersumpah’ dalam rakaman video itu menafikan terbabit dengan kes pembunuhan yang menyebabkan dia dijatuhi hukuman berat itu dan meminta kes itu ‘dirujuk’ semula.
“Sumpah demi Allah, saya dan tangan ini tak bunuh tetapi kena tanggung. Saya minta tolong rakyat Malaysia dan orang awam supaya ‘share’ (kongsikan) video ini.
“Saya harap mereka (pihak berkuasa) dapat ulang kaji (selidik semula) balik kes saya,” katanya.
Menurut banduan itu lagi, rakaman video yang dibuat pada 8.30 pagi, 2 September lalu itu adalah jalan terakhir buatnya.
“Saya minta tolong, minta ampun kerana kita (saya) pun ada perasaan. Manusia tidak lepas daripada buat kesilapan.
“Saya harap orang awam dan kerajaan tahu kes ini kerana saya tidak bersalah tetapi perlu jalani hukuman penjara,” katanya. |