|
Volvo XC90 D5 idaman dari dulu
Oleh JOHARDY IBRAHIM
Tidak banyak perubahan dilakukan pada badan XC90 D5.
Bila dipertemukan sekali lagi dengan varian terbaru XC90 D5 iaitu berenjin diesel, idaman itu menjelma semula, membangkitkan nostalgia. Namun realiti hidup tetap di depan mata, belum masanya untuk memiliki XC90.
Ia berharga RM355,000 (atas jalan tanpa insurans) dan didatangkan dalam empat warna - Biru Nilam Hitam Metalik, Mutiara Tiram Kelabu, Perak Elektrik Metalik dan Biru Metalik Bayangan.
Apakah yang ada pada varian berenjin diesel ini? XC90 D5 dilengkapkan dengan enjin lima silinder. Ia dipasang melintang bagi mengekalkan konsep latihan kuasa moden Volvo. Ia direka untuk beroperasi secara lancar, dengan getaran rendah dan kuasa terjahan tinggi menjangkau julat putaran luas.
Enjinnya sangat kompak dan dipasang melintang, untuk keselamatan optimum pelanggaran dan ruang kabin yang maksimum.
XC90 D5 yang dipasang tempatan (CKD) merupakan enjin yang dicaj turbo dipasang melintang 2.4 liter 5 silinder sebaris mengeluarkan 185 kuasa kuda dan kuasa terjahan 400 Nm dengan transmisi Geartronic automatik 6-kelajuan.
Diesel turbo lima-silinder menyediakan pemanduan lancar dan berkuasa. Diesel moden dan responsif ini menonjolkan penapis partikel bebas-perkhidmatan, menjadikan ia enjin mematuhi alam sekitar.
Dan oleh kerana enjin ini berkapasiti 2.4 liter, cukai jalannya tidaklah sampai RM1,500 setahun. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan menggalakkan penggunaan diesel dengan menurunkan cukai jalan sebab semakin ramai orang awam membeli enjin diesel sekarang, dan tidak eksklusif kepada sektor komersial semata-mata.
Chasis dengan spring yang disangga pada bahagian hadapan dan gandar pelbagai rangkai di belakang, dibentuk untuk kestabilan, meyakinkan adab memandu dan berwaspada tentang tindak balas pemanduan.
Gandar pelbagai rangkai di belakang merupakan sistem penangguhan belakang bebas yang mempunyai ciri beberapa rangkai dan ia direka bentuk untuk menawarkan penyatuan yang baik bagi pergerakan roda yang terkawal dan keselesaan perjalanan yang tinggi.
Sesetengah daripada rangkai ini mempunyai tugas untuk menyediakan kesan pemanduan anti gelincir sehingga ke tahap tertentu. Jarak roda yang panjang dan laluan yang luas, beserta dengan badan tegar yang dikilas, menyumbang kepada cara pemanduan yang boleh dijangka, terkawal. Roda besar dengan profil tayar tinggi secara relatif dan dinding sisi tayar yang keras menyumbang selanjutnya kepada kestabilan.
XC90 mempunyai sistem Pemanduan Semua Roda yang dikawal dengan Kuasa Tarikan Serta-Merta, untuk pembahagian tarikan yang cepat dan efektif walaupun sedang bergerak di permukaan yang licin.
Sistem peningkatan-kestabilan DSTC (Kestabilan Dinamik dan Kawalan Tarikan) Volvo yang maju dipasang sebagai satu standard. DSTC disilangkan dan membantu menstabilkan kereta sekiranya ia merakam tanda-tanda untuk tergelincir.
XC90 sebenarnya SUV pertama di dunia yang tampil dengan tujuh tempat duduk. Lebih menarik, dengan penekanan sebagai sebuah kereta keluarga, jurutera Volvo bukan sahaja menitik beratkan aspek keselamatan tetapi juga kemudahan keluarga. Ini termasuk kerusi baris tengah yang boleh diubah menjadi kerusi kanak-kanak. |
|
|
|
|
|
|
| |
|