Pakar Sejarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Nazarudin Zainun berkata, erti 'harfiah' merdeka ialah bebas yang bermaksud kebebasan adalah bebas daripada apa-apa belenggu. "Dari konteks bahasa pula, merdeka bermaksud berubah-ubah. Dulu, merdeka merujuk kepada merdekanya seorang hamba tetapi, sejak adanya penjajahan, erti kemerdekaan telah berkembang menjadi besar baik dari segi makna mahupun tindakan. “Namun, maksud merdekanya seorang hamba berbeza makna dengan merdekanya sesebuah negara. Bagi para pejuang, kemerdekaan itu tentu sekali mempunyai pengertian yang berbeza berbanding mereka yang sudah lahir dalam sebuah negara yang sedia merdeka,” katanya.
Tambahnya, pengertian kemerdekaan bagi generasi muda adalah untuk mengisi kemerdekaan dan pada masa sama memastikan kemerdekaan yang dikecapi terus kekal melindungi agama, bangsa dan negara dari segi mental serta fizikal. "Pemahaman kita mengenai kemerdekaan perlulah difahami dengan betul dan tepat barulah roh kemerdekaan itu boleh meresap dalam jiwa kita sehingga kita yakin dan percaya bahawa menjiwai erti kemerdekaan sebenar adalah sangat penting. “Generasi muda haruslah berusaha gigih dalam mempertahankan kemerdekaan negara kita dari terus dibelenggu fitnah serta hasutan daripada pelbagai sudut terutama sekali melalui media sosial. Jika dulu, untuk menakluki sesebuah negara itu, tentera asing perlu datang secara fizikal dalam mengawal pentadbiran negara kita tetapi kini, tidak lagi."
|