Mangsa banjir Johor terus berkurangan kepada 2,298 orang
JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus berkurangan apabila seramai 2,298 mangsa masih ditempatkan di 35 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi, hari ini. Jumlah tersebut merupakan penurunan sebanyak 637 orang berbanding seramai 2,935 mangsa sehingga petang semalam. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, mangsa yang masih ditempatkan di kesemua PPS terbabit terdiri 660 keluarga. “Untuk pagi ini, Muar telah menjadi daerah paling terjejas dengan seramai 873 mangsa ditempatkan di 10 buah PPS yang dibuka, diikuti Segamat dengan 734 mangsa di 15 buah PPS. “Ini diikuti daerah Tangkak dengan seramai 610 mangsa di sembilan PPS serta Batu Pahat dengan seramai 81 mangsa di satu PPS yang dibuka,” katanya di sini hari ini. Sementara itu, Vidyananthan memberitahu, ramalan kaji cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan cuaca cerah di seluruh negeri sehingga tengah hari ini.
Bagaimanapun, Sungai Muar di Bukit Kepong masih mencatat paras bahaya, malah terdapat enam laluan yang masih terputus hubungan melibatkan empat daerah iaitu Muar, Segamat, Kluang dan Kota Tinggi. – UTUSAN
|