Warga emas maut selepas dipercayai ditikam anak kandungnya di leher dalam kejadian di Kampung Paya Luboh, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa yang juga pesara guru ditemui di dalam bilik tidur kediamannya dalam keadaan berlumuran darah.
Mangsa yang baharu kematian suami kira-kira sebulan lalu disahkan maut dilokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian leher.
 Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa yang juga pesara guru ditemui di dalam bilik tidur kediamannya dalam keadaan berlumuran darah. - Foto Astro AWANI
Saksi yang juga jiran berdekatan, Jamaliah Md Jamil,35, berkata, ketika kejadian dia sedang berada di kedai runcitnya yang terletak kira-kira 10 meter dari lokasi kejadian
“Tiba-tiba sahaja saya terdengar bunyi suara adik perempuan suspek ini menjerit meminta tolong sebelum saya bergegas ke rumahnya dan nampak dia sedang berlari dalam keadaan panik dan maklumkan ibunya ditikam.
“Saya kemudian minta bantuan jiran lain dan juga sesiapa sahaja yang lalu untuk panjat pagar rumah mangsa ini, lalu mereka terus menahan suspek dan difahamkan suspek pun hanya mendiamkan diri dan tidak lari.
“Apabila dapat kunci rumah, saya terus bergegas masuk ke dalam rumah dan nampak mangsa terbaring di dalam bilik tidur rumah dalam keadaan berlumuran darah,”katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Selasa.
Ujar Jamaliah, meskipun mengetahui sejarah suspek berusia 40-an yang juga penganggur itu, dia mengakui terkejut dengan kejadian berkenaan memandangkan lelaki berkenaan tidak pernah menunjukkan tanda-tanda bersikap berang.
“Memang tahu dia penagih tetapi tidak pernah nampak dia mengamuk ke apa sebab dia memang baik, ramah juga dengan jiran-jiran dan orang sekeliling memang kenal dia.
“Suspek ni anak sulung dan memang tinggal berdua sahaja dengan ibunya (mangsa) tetapi adik beradik yang lain selalu juga datang, dan bapanya juga baru sahaja meninggal lebih kurang sebulan lepas,”katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan kejadian, namun enggan mengulas lanjut memandangkan siasatan masih dijalankan.
Sumber: AWANI |