Sumber; Harian metro online
Kaya bukan ukuran
Oleh Norhadiani Baharom
Pada usia 26 tahun, molek benar kata orang tua-tua jika si gadis sudah berumah tangga. Setuju dengan pendapat itu namun bagi penyanyi genit, Mila Jirin, dia belum bersedia jauh sekali punya perancangan ke arah itu. [size=0.9em]Malah, juara musim ke-5 Akademi Fantasia (AF) ini atau nama sebenarnya, Norsyarmilla Jirin menetapkan empat tahun lagi untuk berkahwin.
“Berkawan itu saya tidak nafikan. Ada dua, tiga orang yang sedang saya kenal tetapi kena pilih mana yang paling sesuai. Maklumlah jadi orang perempuan kenalah memilih.
“Bukanlah mencari yang kaya raya, tetapi cukuplah dengan memiliki ketokohan sebagai suami yang bertanggungjawab. Mungkin di usia sekarang saya masih belum menemui calon kerana tanggungjawab saya sebagai anak sulung sendiri sudah cukup besar.
Mila Jirin
“Dua orang adik saya masih belajar. Seorang sedang melanjutkan pengajian dalam peringkat ijazah di salah sebuah universiti dan seorang lagi bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini,” katanya kepada RAP baru-baru ini.
Mila berkata, ada yang bertanya apa masalahnya untuk berkahwin jika adik-adik masih belajar? Namun, dia sebenarnya mahu pastikan dua adiknya itu terutamanya Nurrafifah, 20, tamat pengajian dulu.
“Saya tanggung segala kos kerana dulu saya mahu menyambung pengajian ke universiti tetapi tak berpeluang. Jadi apabila adik saya menerima tawaran menyambung pengajian, sayalah orang yang paling gembira.
“Jika saya berkahwin mungkin saya tidak dapat membantunya. Jadi sebagai kakak saya membuat pengorbanan sementara waktu ini demi merealisasikan cita-cita adik saya dalam masa yang sama kejayaannya nanti menebus impian saya yang tidak tercapai ,” katanya.
Ditemui di Astaka Morocco, Taman Botani, Putrajaya sempena Majlis Pelancaran Karnival Wow Putrajaya, baru-baru ini, Mila rupa-rupanya beralih bidang sebagai tauke ‘funfair’ atau lebih tepat, tauke ‘karnival’.
Pasti ramai yang kurang faham dengan gelaran yang diberikan. Sebenarnya pembabitan syarikat Mila iaitu Luvmila Corporation Sdn Bhd sudah masuk tahun kedua mengendalikan Karnival Wow! Putrajaya.
“Tahun pertama saya terbabit dalam karnival ini ialah pada 2009. Saya hadir bagi memenuhi jemputan sebagai artis undangan. Sejak itu, saya berhubungan baik dengan penganjur hinggalah tahun lalu mereka memberi kepercayaan kepada saya untuk menguruskan acara ini.
“Kebetulan saya memang minat memperluaskan pengetahuan dalam bidang perniagaan yang memfokuskan acara pengurusan acara dan pentas. Justeru, tahun lalu saya memberanikan diri untuk menggalas tanggungjawab sebagai penganjur bersama dengan pihak Perbadanan Putrajaya,” katanya.
Karnival Wow! Putrajaya di Laman 1Malaysia, Presint 2, Putrajaya yang bermula esok hingga Ahad ini akan dimeriahkan dengan persembahan artis terkenal antaranya Datuk M Nasir, Ella, Azlan & Typewriter, Hazama, Stacy, Najwa Latif, Aizat Amdan, Mas Idayu, Reshmonu dan dua penghibur veteran, Datuk M Daud Kilau dan Datuk Jeffry Din.
“Jika tahun lalu karnival ini mendapat perhatian 150,000 pengunjung, tahun ini seiring pengisian yang lebih ‘wow’, kami berharap ia mampu mencecah 200,000 penonton,” katanya.
Kecewa dengan album
Berbicara mengenai perkembangan kerjaya muziknya, Mila meluahkan rasa terkilan dan kecewa apabila album kedua, Persis Mutiara yang dipasarkan tahun lalu tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan.
“Album kedua itu tidak mendapat sambutan yang baik, malah lagu-lagunya juga tidak diputarkan stesen radio tempatan. Saya sebenarnya sudah pun mempersiapkan diri menghadapi situasi seperti ini memandangkan industri muzik sekarang agak lemah. Penjualan album tidak memberangsangkan kerana ketika ini muncul banyak medium alternatif yang membolehkan peminat memuat turun lagu secara percuma.
“Dari pengalaman lepas, saya ba-nyak belajar supaya jangan terburu-buru dan untuk album ketiga ini saya menggunakan strategi di mana mengenengahkan satu demi satu single sebelum dimuatkan dalam album,” katanya.
Mila berkata, setakat ini satu single berjudul Cinta Kasih duetnye bersama Nubhan turut digunakan sebagai lagu tema drama bersiri, Cinta Qaseh yang hangat bersiaran di Slot Lestary, TV3.
“Insya-Allah untuk album ketiga ini saya menyahut cabaran untuk menghasilkan lagu sendiri memandang ‘trend’ sebegini lebih diterima. Mungkin jika seseorang penyanyi menghasilkan lagu sendiri, karya-nya lebih telus kerana ia datang dari hati. Tengoklah nanti, jika hasilnya baik, tahun ini lagu itu akan dimuatkan ke dalam album nanti,” kata-nya.
Dalam perkembangan lain, Mila akan muncul menerusi filem ‘Kami Histeria’ yang akan ditayangkan tidak lama lagi. Turut menerajui filem ini bersama Mila adalah Diana Danielle, Sarah Ali, Nad Zainal, Umi Omar dan pelakon berpengalaman Nur Fazura.
Filem genre komedi seram itu diterbitkan RedFilems dan diarahkan Shamyl Othman.
“Filem ini mengisahkan kumpulan muzik perempuan dan saya memegang watak sebagai Ain. Watak Ain memerlukan saya menjadi seorang yang banyak cakap yang menjeng-kelkan orang, tetapi persepsi penonton akan berubah terhadapnya apabila menonton keseluruhan cerita nanti,” kata Mila.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27
http://www.hmetro.com.my/myMetro ... /Article/index_html
Last edited by taurus-71 on 27-2-2013 02:01 PM
|