PENDAHULUAN
Masyarakat Dayak di Sarawak telah secara tradisi mempunyai hak untuk menggunakan tanah dengan mengamalkan adat-resam mereka sejak dari turun-temurun lagi. Mengikut undang-undang Kanun Tanah Sarawak 1957, tanah adat Bumiputra ['native customary land' (NCL)] memang diakui. Walaupun undang-undang mengakui hak tanah adat Bumiputra masyarakat Dayak tetapi ada sesetengah pihak, contohnya, menteri-menteri, wakil-wakil rakyat (MP, ADUN), pegawai-pegawai kerajaan, syarikat-syarikat swasta, peguam-peguam dan juga ketua-ketua masyarakat Dayak sendiri tersalah tafsir definisi tanah adat Bumiputra. Konflik tafsiran definisi hak tanah adat Bumiputra ['native customary rights' (NCR)] ini timbul kerana tersalah intepretasi.
Pihak berkuasa terutamanya Kerajaan Negeri yang memerintah menyebabkan kekeliruan terjadi dikalangan rakyat. Kekeliruan ini timbul oleh kerana kurangnya pengetahuan dan pengertian tentang status, kewujudan, kesahihan dan keluasan kawasan sebenar yang patut dinyatakan sebagai tanah adat.
Selama ini rakyat telah dikelirukan dengan pelbagai propaganda, anggapan dan intepretasi yang bertujuan untuk menggugat status dan kesahihan tanah adat. Masyarakat Dayak serta suku kaum asli lain di Sarawak terkeliru dengan tafsiran yang salah oleh pihak berkepentingan diri yang menyatakan bahawa hak tanah adat hanya terdiri daripada tanah-tanah yang telah diusahakan sahaja.
Tujuan buku kecil ini adalah untuk memberi keterangan dan maklumat ringkas berkenaan dengan tanah adat seperti mana yang termaktub di bawah undang-undang dan peraturan-peraturan di Sarawak, dengan harapan agar rakyat mengetahui dan memahami kewujudan tanah adat serta hak-hak mereka ke atas tanah, hutan dan sumber-sumber yang terdapat di dalam kawasan kampung atau rumah panjang mereka. BRIMAS Miri, Sarawak November 1999
BAHAGIAN I
APAKAH TANAH ADAT BUMIPUTRA ?
Mengikut adat-resam masyarakat Dayak, setiap ahli di dalam sesebuah komuniti mempunyai hak untuk menggunakan semua tanah ‘temuda’, hutan sekeliling dan saliran air di kawasan mereka. Adat mengenai tanah ini telah menjamin hak seseorang individu atau ahli keluarga sesebuah komuniti untuk menggunakan tanah dan hasil-hasil yang diperolehi dari hutan. Pada masa yang sama membuka kawasan tanah yang baru di dalam sempadan atau 'pemakai menoa' mereka.
Di bawah Seksyen 2 (a) Kanun Tanah Sarawak, tanah adat Bumiputra (NCL) didefinisikan sebagai “tanah di mana hak adat Bumiputra (NCR) telah didapati secara komunal ataupun selainnya mengikut undang-undang sebelum 1hb Januari 1958 dan masih lagi sah diperlakukan”. Oleh kerana masyarakat Dayak telah menetap di tanah mereka sejak beberapa generasi maka hak mereka telah diakui oleh undang-undang.
Tanah hak adat masyarakat Dayak merangkumi:
v tanah ‘temuda’ terdiri daripada tanah yang telah ditanam dengan tanaman dan juga tanah yang dahulunya ditanam tetapi telah ditinggalkan mengikut kitaran penanaman berpindah untuk tujuan penyuburan tanah dan pemuliharaan hutan; dan v tanah ‘pemakai menoa’[1] di sekeliling ‘temuda’ iaitu kawasan hutan dara di mana hasil-hasil hutan dikumpul oleh komuniti secara keseluruhan, dan di mana komuniti berkenaan bergantung kepadanya untuk kehidupan harian mereka seperti memburu, memperolehi bahan-bahan binaan, ubat-ubatan dan sebagainya
Kedua-dua klasifikasi tanah adat ini membentuk ‘Menoa’[2] yang mempunyai tanda-tanda sempadan dengan komuniti-komuniti lain. Sesebuah komuniti bergantung kepada kawasan ‘Menoa’ mereka untuk kehidupan mereka seharian. Maka tanah, hutan dan sumberdaya yang terdapat dalam kawasan Menoa adalah milik komuniti tersebut.
Selepas 1hb Januari 1958, di bawah Seksyen 5 (2) Kanun Tanah Sarawak, hak adat kepadatanah boleh dibuat dan diperolehi dengan menggunakan cara-cara berikut:
a) penebangan hutan dara dan menduduki tanah yang telah dibuka; b) menanam pokok-pokok buah di tanah tersebut; c) menduduki atau bercucuk tanam di tanah tersebut; d) penggunaan tanah untuk perkuburan atau tempat pemujaan; e) menggunakan apa-apa jenis tanah untuk mendapatkan hak; atau f) (sudah dimansuhkan pada tahun 2000)
Undang-undang tanah Sarawak memang mengakui hak tanah adat Bumiputra ke atas tanah dan wilayah yang diduduki oleh masyarakat Dayak. Akan tetapi pelbagai usaha dibuat untuk menggugat kesahihan hak tanah adat seperti Kerajaan Negeri sering melanggar undang-undang ini dengan mengeluarkan konsesi-konsesi, lesen-lesen pembalakan dan geran-geran tanah untuk perladangan komersial.
Dari zaman pemerintahan koloni sehingga terbentuknya Persekutuan Malaysia, sistem pemegangan tanah di Sarawak telah mengalami perubahan yang banyak. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini berbagai pindaan telah dibuat di dalam Kanun Tanah Sarawak yang menjejas hak dan status tanah.
Kerajaan Negeri Sarawak juga telah mengubal beberapa siri undang-undang, pindaan dan peraturan berkaitan dengan tanah dan hutan. Ini secara sistematik dan beperingkat-peringkat telah menjejaskan hak tanah adat, sumber-sumber asli dan hutan masyarakat Dayak.
B
|