CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: blackpurple

Keratan Akhbar / Petikan Berita

[Copy link]
Post time 21-12-2010 12:40 PM | Show all posts
kosmo

Geng Kangkar Iblis tumpas

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
[email protected]


MOHD. MOKHTAR (kanan) menunjukkan motosikal yang dirampas daripada Geng Kangkar Iblis di Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Geng Kangkar Iblis yang dikenal pasti sebagai kumpulan jenayah yang gemar bertindak ganas terhadap mangsanya tumpas apabila 10 anggota kumpulan itu ditangkap pada Rabu lalu.

Suspek-suspek berusia antara 18 dan 27 tahun itu dikatakan sanggup mencederakan sesiapa sahaja termasuk membelasah mangsa hingga lembik semasa melakukan jenayah mencuri motosikal, samun dan ragut sekitar bandar raya ini sejak awal tahun lalu.

Difahamkan, kumpulan tersebut yang dipercayai terbabit dalam 46 kes jenayah digelar sedemikian kerana sering melakukan jenayah di sekitar Kangkar Tebrau di sini, selain mempunyai sikap tidak berperikemanusiaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, dua daripada suspek yang dipercayai dalang geng terbabit ditahan di sebuah rumah di Kampung Kangkar Tebrau di sini manakala bakinya ditahan di sekitar pusat bandar.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 21-12-2010 12:40 PM | Show all posts
berita harian

2 lagi direman kes bunuh Siti Mazni
Oleh Azida Shaharuddin
[email protected]
2010/12/21
Remaja lelaki bersama bapa tiri turut disiasat

JOHOR BAHRU: Polis menahan dua lagi suspek bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah kebun sawit di Parit Ju Darat, Tongkang Pechah dekat Batu Pahat, kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, remaja lelaki berusia 14 tahun ditahan pada jam 6.15 petang kelmarin di Kampung Parit Singgahan, Seri Medan manakala ayah tirinya, seorang buruh berusia 44 tahun ditahan kira-kira dua jam kemudian di Kampung Tongkang Pechah.
“Remaja dan bapa tirinya kini ditahan reman bermula hari ini (semalam) sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan kes terbabit.

“Sehingga hari ini (semalam) polis sudah menahan lima suspek berusia 14 hingga 44 tahun bagi membantu siasatan kes ini. Tiga daripada suspek remaja itu masih bersekolah manakala seorang lagi keciciran sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, di sini, semalam.

Jumaat lalu, mayat pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Putra, Tongkang Pechah Siti Mazni Abdul Rahman, 14 tahun, ditemui tersembunyi di bawah timbunan daun kelapa sawit pada kira-kira jam 5 petang dengan satu kesan tikaman di badan di sebuah kebun sawit di Parit Ju Darat, kira-kira 100 meter dari rumahnya di Tongkang Pechah, Batu Pahat.
Mangsa dipercayai mati dua hari sebelumnya akibat ditikam menggunakan pisau kira-kira 100 meter dari rumahnya sebelum diheret sejauh 50 meter ke dalam kebun dan disembunyikan di bawah timbunan daun kelapa sawit.

Siti Mazni dilaporkan hilang selepas berjumpa rakannya pada Rabu lalu apabila beliau tidak pulang ke rumah selepas memberitahu neneknya Mailiah Idris, 62, beliau keluar untuk berjumpa rakannya.

Dua remaja berusia 15 dan 16 tahun ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kes itu selepas seorang daripada suspek membuat laporan berhubung kejadian dengan mendakwa beliau menyaksikan rakannya membunuh  
mangsa di kebun itu.
Reply

Use magic Report

Post time 21-12-2010 12:41 PM | Show all posts
berita harian

Polis Johor selesai 46 kes samun, ragut


2010/12/21
JOHOR BAHRU: Polis negeri berjaya menyelesaikan 46 kes samun, ragut dan curi motosikal sekitar bandar raya ini sepanjang tahun ini selepas menahan 10 lelaki ahli Geng Kangkar pada Rabu minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, menahan dua lelaki dipercayai ahli kumpulan itu di Kangkar Tebrau, di sini pada kira-kira jam 12 tengah hari.
Katanya, hasil penahanan dua suspek, pihaknya menahan lapan lagi lelaki dipercayai ahli kumpulan sama di beberapa lokasi sekitar bandar raya secara berperingkat.
Katanya, pihaknya menemui dan merampas beberapa barangan dipercayai hasil jenayah serta digunakan melakukan jenayah termasuk sebatang besi berbentuk T, batang besi tajam (7), spanar (8) dan dua besi tajam berbentuk L.

“Sekumpulan 10 suspek berusia 18 hingga 27 tahun ini dikenali Geng Kangkar aktif melakukan jenayah samun, ragut  
dan curi motosikal sekitar bandar raya,” katanya.
Reply

Use magic Report

Post time 21-12-2010 12:43 PM | Show all posts
utusan

Pengemis semakin bertambah


duduk beramai-ramai... Sebahagian daripada pengemis meraih simpati orang ramai di Jalan Trus, Johor Bahru, semalam.



Saudara Pengarang,
SAYA ingin menyuarakan pandangan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di negeri ini mengenai masalah pengemis di sekitar bandar raya ini.

Mungkin jika dilihat perkara ini bukan satu masalah besar bagi sesetengah pihak, tetapi bagi saya ia merupakan isu yang amat menjelikkan dan memberi impak negatif kepada Malaysia secara amnya dan Johor khususnya.

Saya melihat bilangan peminta sedekah semakin ramai di kawasan bandar raya ini terutamanya pada waktu hujung minggu dan ia menimbulkan rasa kurang selesa orang awam yang ingin menghabiskan masa hujung minggu di kawasan bandar raya ini kerana sering diganggu.

Selain itu, para pengemis ini dilihat secara terang-terangan duduk beramai-ramai di kawasan Jalan Trus untuk meraih simpati orang ramai.

Yang merimaskan, bilangan mereka bukannya sedikit, malah kadangkala hampir mencecah 10 orang dalam satu masa. Mereka ini dilihat seolah-olah tidak takut terhadap tindakan pihak berkuasa.

Perkara seperti ini tidak boleh dipandang remeh kerana Johor merupakan salah sebuah negeri yang sering menerima kunjungan pelancong termasuk dari negara jiran, Singapura.

Jika masalah ini tidak dikawal, ia dikhuatiri akan memberi impak negatif terhadap pihak berkuasa yang diberikan kuasa untuk memantau perkara ini.

Adakah pihak berwajib hanya memandang sebelah mata terhadap isu ini? Saya sarankan pihak berkenaan segera mengambil tindakan untuk mengatasinya.

PENASIHAT TIGA PULUH PERSEN

Johor Bahru
Reply

Use magic Report

Post time 21-12-2010 12:43 PM | Show all posts
utusan


Prasarana menyedihkan, bangunkan Pengerang

Saudara Pengarang,
PEKAN Pengerang merupakan sebuah pekan kecil yang terletak di selatan Johor, lebih kurang 40 kilometer dari Kota Tinggi.

Di sini terdapat pejabat pos, balai polis, pusat kesihatan, sekolah menengah, sekolah kebangsaan dan sekolah agama. Tidak jauh dari situ terdapat sebuah kampus Tentera Laut Diraja Malaysia.

Bagaimanapun, di sini operasi pejabat tanah diadakan pada hari-hari tertentu sahaja. Dahulu Pengerang mempunyai sebuah pejabat tanah namun ia dipindahkan ke Bandar Penawar.

Perpindahan itu ternyata menyukarkan penduduk sekitar terutamanya di daerah-daerah kecil untuk membayar cukai tanah dan urusan lain dengan pihak berkenaan.

Selain beberapa buah kampung tradisional di pesisiran pantai dari Punggai ke Tanjung Pengelih, kawasan Pengerang kini meliputi gugusan Felda termasuk Bandar Penawar hingga Felda Air Tawar 5.

Penduduk Pengerang kini boleh berbangga kerana telah menjadi sebuah kawasan Parlimen.

Semoga masalah yang dihadapi terutamanya di sekitar daerah kecil Pengerang dapat diambil tindakan yang sewajarnya daripada wakil rakyatnya.

Apa yang menjadi rasa tidak puas hati penduduknya kini adalah pekan Pengerang dan prasarananya amat menyedihkan.

Ia ibarat hidup segan mati tak mahu. Ia lebih teruk daripada pekan koboi. Bangunannya buruk dan usang. Premis perniagaan pula hanya tiga atau empat buah yang beroperasi. Barang-barang jualan pula amat berkurangan, tidak seperti dahulu yang suasana pekannya agak hidup dan rancak.

Kami penduduk Pengerang bangga kerana wakil rakyat sudi turun padang pada suatu ketika dahulu bagi meninjau keadaan ladang terbakar di Kampung Lepau dan melihat sendiri taburan sisa minyak hitam di Pantai Kampung Sungai Kapal sehingga ke Pantai Sungai Rengit.

Sebelum Bandar Penawar dibangunkan, Pengerang lebih dikenali ramai dan merupakan pusat pentadbiran bagi daerah berkenaan. Pengerang telah lama terkenal, tetapi malangnya kini Pengerang seperti daerah kecil yang terpinggir.

Selain itu, kubu-kubu tentera British yang terdapat di Bukit Tanjung Pengelih itu jika diselenggara dengan baik boleh menjadi salah satu tarikan pelancongan di negeri ini. Ia akan menambah variasi produk pelancongan negeri.

Kami juga berharap agar daerah kecil Pengerang diwujudkan perindustrian kecil untuk memberi peluang kepada penduduk kampung mencari rezeki yang selama ini sebahagiannya mengamalkan kehidupan tradisional.

Oleh yang demikian, besar harapan kami agar wakil rakyat dan kerajaan dapat merealisasikan projek-projek di Pengerang supaya ia bukan sahaja terkenal di Johor tetapi seluruh negara

Sekian, terima kasih.

ANAK JATI PENGERANG
Reply

Use magic Report

Post time 21-12-2010 12:43 PM | Show all posts
utusan

Tempat OKU 'dicilok' orang normal

Saudara Pengarang,
SAYA gemar menghabiskan masa hujung minggu bersiar-siar di kompleks beli-belah kerana ia sesuatu yang menyeronokkan tambahan pada waktu jualan murah.

Dalam keseronokan itu, timbul rasa kurang senang di dalam hati ini apabila terlihat individu yang mempunyai mentaliti kelas ketiga sewenang-wenangnya menggunakan tempat letak kereta yang dikhaskan untuk orang kurang upaya (OKU) meskipun mereka insan normal.

Apabila keadaan ini terjadi, ia akan menimbulkan kesukaran terutamanya kepada OKU yang datang ke lokasi berkenaan untuk membeli-belah atau menghabiskan masa hujung minggu mereka kerana tempat yang dikhaskan telah 'dicilok' oleh golongan yang tidak berakal serta mementingkan diri sendiri.

Saya sendiri tidak pasti apakah nasib golongan berkenaan apabila kemudahan yang disediakan untuk mereka dirampas individu seperti ini.

Tempat letak kereta untuk OKU yang disediakan di kawasan tumpuan orang ramai seperti pusat beli-belah tidak banyak dan apabila disalahgunakan, mereka yang memerlukan kemudahan itu akan mendapat masalah.

Saya amat berharap supaya kemudahan untuk OKU ini dipantau secara berterusan bagi mengelakkan ia disalahgunakan oleh mereka yang hanya mementingkan diri tanpa menghiraukan kesannya kepada orang lain.

Jika boleh kenakan denda kepada golongan yang tidak bertimbang rasa ini.

Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang membangun tetapi apa gunanya jika pemikiran masyarakat masih sama seperti hidup pada zaman batu.

Harap golongan yang sering 'merampas' kemudahan OKU ini sedar kesilapan yang mereka lakukan.

BANTU OKU

Johor Bahru
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 21-12-2010 12:44 PM | Show all posts
utusan

Patuhi amaran penyelamat pantai

MERSING 20 Dis.- Orang ramai yang ingin berkelah di Pantai Air Papan di sini dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh petugas pantai bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk ekoran musim tengkujuh yang sedang melanda ketika ini.

Ketua Penyelamat Pantai Pejabat Pertahanan Awam Mersing, Nornizam Sidek, 32, berkata, pengunjung perlu akur pada amaran bendera merah yang dipacakkan di kawasan pantai.

"Jika ada bendera merah di pesisiran pantai bererti tanda amaran atau larangan keras kepada orang ramai supaya jangan mandi di laut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Apa yang dikesalinya adalah sikap segelintir pengunjung yang masih berdegil dan ada antara mereka yang berani bermain dan mandi di laut walaupun amaran telah diberikan.

Pengunjung tidak boleh ingkar jika terdapat beberapa anggota penyelamat pantai yang terpaksa berkeras menahan sesiapa yang berani melakukan sebarang aktiviti di laut seperti mandi atau berenang kerana ini adalah tugas mereka menjaga keselamatan orang awam.

"Semalam sahaja terdapat lima pengunjung yang berdegil dan ditegur secara baik tetapi selepas itu mereka cuba mandi semula ke laut. Saya terpaksa bertegas dengan menasihati mereka supaya jangan berbuat demikian," katanya.

Seorang anggota penyelamat pantai, Khairul Anuar Khamis, 30, memberitahu, pada masa ini keadaan laut tidak selamat untuk melakukan aktiviti seperti berenang dan mandi.

"Paras ombak setinggi 1.5 meter hingga dua meter adalah amat berbahaya, manakala paras air yang paling selamat ialah pada 0.5 meter," katanya.

Bagi petugas penyelamat wanita, Norhakilah Mat Jan, 21, ibu bapa harus memastikan anak-anak mereka sentiasa berada di bawah jagaan semasa berada di kawasan pantai.

"Sikap degil dan terlepas pandang terhadap anak masing-masing hanya akan mengundang kesedihan jika sesuatu yang buruk berlaku kepada mereka," katanya.
Reply

Use magic Report

Post time 21-12-2010 12:44 PM | Show all posts
utusan

Kelunakan suara jadi aset Haffni

Nur Haffni Salleh bercita-cita mewakili negara ke pertandingan tilawah antarabangsa.



JOHOR BAHRU 20 Dis. - Orangnya kecil molek tetapi dia mampu membuat orang ramai memberi perhatian kepadanya hanya menerusi lantunan vokal.

Bukan dendangan lagu yang membuatkan Nur Haffni Salleh, 27, berjaya membuat orang ramai terpukau mendengar suaranya tetapi menerusi bacaan al-Quran.

Sebagai jurulatih taranum dan berzanji di Unit Kesenian Islam, Bahagian Pengembangan Seni Budaya, Yayasan Warisan Johor (YWJ), sudah pasti Nur Haffni mempunyai kepakaran tersebut.

Dia yang dipanggil ustazah Haffni, bukan baru dalam bidang tersebut kerana sejak berusia lapan tahun, dia sering menyertai pertandingan tilawah al-Quran hingga kini.

Nur Haffni bertekad untuk tidak akan berhenti menyertai pertandingan tilawah al-Quran selagi tidak berpeluang mewakili negara ke peringkat antarabangsa.

"Insya-Allah, kebanyakan pertandingan yang saya sertai membuahkan hasil. Saya akan terus menyertainya selagi tidak terpilih untuk mewakili negara ke pertandingan tilawah antarabangsa," katanya semasa ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurutnya, pertandingan tilawah al-Quran tidak seperti pertandingan nyanyian atau lakonan yang sering berganti peserta setiap tahun.

Katanya, boleh dikatakan wajah yang sama akan menyertai pertandingan tilawah sehingga masing-masing mencapai sasaran untuk kepuasan peribadi.

Nur Haffni berkata, sewaktu di sekolah rendah, dia menyertai pertandingan tilawah kerana ingin mendapat hadiah yang dijanjikan oleh ayahnya, bagaimanapun niat itu berubah sedikit demi sedikit mengikut peningkatan usia.

"Saya tidak pernah pun belajar membaca al-Quran secara khusus semasa di sekolah rendah, melainkan belajar di sekolah agama sahaja. Selebihnya, saya mendapat tunjuk ajar daripada ayah dan ibu," katanya.

Kini, Haffni yang pernah menjadi juara beberapa kali pertandingan peringkat negeri dan kebangsaan menggunakan kelebihannya itu untuk dikongsi bersama orang lain.

Sebagai tenaga pengajar, setiap Ahad, Nur Haffni akan mengajar kira-kira 25 murid berzanji, berzikir, tajwid dan qasidah secara percuma di YWJ.

"Program ini secara percuma terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat. Ia setiap Ahad, pukul 8.30 pagi. Orang ramai hanya perlu mendaftar dengan YWJ," katanya.

Menurutnya, peserta yang mengikuti kelasnya perlu pandai mengaji dan selebihnya dia akan mengajar mereka teknik membaca dengan lenggok tertentu.

Ketika ini, anak sulung daripada tiga beradik itu sedang menjalani rakaman menghasilkan album berzanji untuk dikongsi dengan orang ramai.

Album terbitan YWJ itu menampilkan bacaan muratan dan persembahan taranum oleh Nur Haffni dengan pelbagai gaya.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 21-12-2010 12:45 PM | Show all posts
9 usahawan terima bantuan PGU

Oleh FARIK SALLEH
[email protected]


KOTA TINGGI 20 Dis. - Seramai sembilan usahawan menerima bantuan peralatan bernilai RM105,244 menerusi Program Galakan Usahawan (PGU) yang diperkenalkan kerajaan negeri bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja, di sini, baru-baru ini.

Pegawai Pejabat Pertanian Daerah Kota Tinggi (PPDKT), Junaidye Along berkata, peruntukan yang disampaikan dalam bentuk peralatan, penyelenggaraan infrastruktur, bangsal dan pembersihan kawasan itu diberikan bagi menggalakkan usahawan berkenaan meningkatkan kuantiti dan hasil produk masing-masing.

"Semoga sumbangan yang diberikan ini diharap dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dalam menghasilkan pengeluaran dan penghasilan produk.

"Malah, kita akan terus berusaha membantu pengusaha supaya mereka yang berkecimpung dalam bidang ini terus berdaya saing menguasai pasaran," katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Bantuan Peralatan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Balai Raya Kampung Baru Sungai Telor di sini.

Majlis itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja, Datuk Dr. Adham Baba.

Turut hadir Pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Daerah Kota Tinggi, Abd. Ghani Hasnan; Pengurus Agrobank cawangan Kota Tinggi, Rosdi Jaafar dan Ketua Kampung Sungai Telor, Abd. Ramli Abd. Rahman.

Seorang penerima, Halini Suradi, 42, bersyukur dan berterima kasih kepada PPDKT kerana banyak membantunya mendapatkan sumbangan peralatan berkenaan.

Dia yang mengusahakan kuih-muih sejuk beku seperti karipap, donat, pau, getok ubi dan kasturi sejak tiga tahun lalu memberitahu, dia membuat permohonan mendapatkan bantuan itu untuk meningkatkan keluaran produknya bagi menampung permintaan pelanggan yang semakin meningkat.
Reply

Use magic Report

Post time 21-12-2010 12:45 PM | Show all posts
utusan
PPPNJ-UMNO Pengerang anjur program komuniti

KOTA TINGGI 20 Dis. - Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Johor (PPPNJ) bekerjasama dengan Pejabat Parlimen dan UMNO Bahagian Pengerang menganjurkan program komuniti di Kampung Pasir Gogok dan Kampung Pungai, dekat sini, baru-baru ini.

UMNO Bahagian Pengerang disertai Ketuanya, Datuk Seri Azalina Othman Said, manakala Warga PPPNJ diketuai Pengarahnya, Nor Rizan Mohd. Thani.

Pada program selama dua hari itu, pelbagai aktiviti diadakan termasuk kunjungan mesra, gotong-royong dan sukan rakyat bersama penduduk setempat.

Nor Rizan berkata, program itu digunakan sebaik mungkin untuk mendapatkan maklumat mengenai keluarga miskin dan miskin tegar sekali gus memastikan jentera penyelarasan pelaksanaan pembasmian kemiskinan di semua peringkat berjalan lancar.

"Antara fungsi PPPNJ adalah menyelaras peruntukan khas Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, menteri, senator dan Ahli Parlimen," katanya pada majlis perasmian program itu di Balai Raya Kampung Pasir Gogok, di sini.

Menurutnya, program itu akan dilaksanakan secara berterusan di setiap kawasan Parlimen di negeri ini untuk membantu rakyat.

Sementara itu, Azalina yang merasmikan majlis tersebut turut menyampaikan bantuan dua buah kerusi roda kepada Abdul Mutalib Bidin, 76, dan Awang Husin, 70, yang menghidap penyakit angin ahmar dan uzur.

Beliau memuji program tersebut kerana ia mampu membantu keluarga dan golongan miskin dan miskin tegar untuk mendapatkan bantuan.
Reply

Use magic Report

Post time 21-12-2010 12:45 PM | Show all posts
utusan


Kerani rugi RM8,000 ditipu sindiket gores dan menang

JOHOR BAHRU 20 Dis. - Dengan hanya bermodalkan kad pengenalan dan pujuk rayu yang memukau, seorang kerani wanita kerugian RM8,000 akibat terpedaya dengan helah sindiket gores dan menang.

Kejadian itu berlaku petang Sabtu lalu ketika mangsa, Taw Ie Wen, 29, berseorangan di kompleks beli-belah City Square di sini.

Dia yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Singapura didatangi seorang lelaki dan menyuruhnya membuka sekeping kertas cabutan bertuah biarpun pada awalnya dia menolak permintaan itu.

"Namun, lelaki itu cuba meyakinkan saya dengan menunjukkan kad pengenalan dan memberitahu bahawa syarikatnya kini menjalankan promosi di beberapa buah pusat beli-belah yang lain. Akhirnya saya termakan dengan kata-katanya dan terus ke pejabatnya di Taman Molek bagi mengambil hadiah," katanya.

Ibu kepada dua anak itu juga mengeluarkan wang tunai RM8,000 menggunakan dua kad kreditnya.

Setibanya di pejabat tersebut, dia diberitahu berjaya memenangi sebuah tilam jed, satu set teater rumah, sebuah periuk dan sebuah ketuhar gelombang mikro.

"Wang RM8,000 itu untuk membayar kos kerajaan dan kos iklan. Kabur mata melihat hadiah yang dimenangi, saya terus bayar wang.

"Malangnya, setiba di rumah, saya dapati barangan tersebut tidak berjenama dan nilainya tidak setimpal dengan wang yang saya bayar.

"Buntu dengan situasi berkenaan, saya menghubungi nombor yang tertera di katalog tilam jed tersebut namun ia tiada dalam perkhidmatan," katanya kepada pemberita di Kelab Akhbar Cina sambil ditemani Ketua Pemuda MCA Johor Bahru, Kua Song Tuck yang juga Ketua Biro Pengaduan Awam MCA di sini, hari ini.

Ie Wen berkata, dia kemudian menghubungi seorang rakannya dan menceritakan kejadian tersebut dan amat terkejut apabila dimaklumkan bahawa dia telah ditipu oleh sindiket gores dan menang tersebut.

Tanpa melengahkan masa, dia terus membuat laporan di Balai Polis Johor Jaya.

Lebih malang, akibat kejadian tersebut, Ie Wen kini terpaksa menanggung beban hutang kad kreditnya yang digunakannya.

Sementara itu, Song Tuck memberitahu, pada minggu lalu sahaja pihaknya menerima lapan aduan berkenaan sindiket tersebut yang menjadikan pusat beli-belah sebagai lokasi mencari mangsa.

"Saya berharap orang ramai tidak mudah terpedaya dengan sindiket tersebut dan pihak yang berwajib diharap menjalankan pemantauan secara berkala bagi mengurangkan risiko berlakunya kejadian tersebut," katanya.
Reply

Use magic Report

Post time 22-12-2010 11:49 AM | Show all posts
metro

Pelajar kejururawatan ‘ghaib’ ikut teman lelaki

      

BATU PAHAT: Seorang pelajar kejururawatan di sebuah kolej di Kuala Lumpur tidak pulang ke asrama kolejnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, selepas keluar makan makan bersama teman lelakinya, awal bulan ini.

Ibunya, Rosidah Abdullah, 46, berkata, berdasarkan maklumat rakan serumah, anaknya Rozalia Fatin Ainie Razali, 18, keluar bersama Faizal dengan menunggang motosikal pada 6 Disember lalu.


“Bagaimanapun, Fatin tidak kembali dan tiga hari kemudian, rakannya menghubungi kami.


“Kami terkejut kerana rakannya mengatakan Fatin tidak hadir kuliah,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Parit Bengkok, di sini, semalam.


Menurut Rosidah, suaminya, Razali Ahmad, 52, yang bergegas ke Kuala Lumpur, menghubungi penjaga asrama dikenali sebagai Suraya, tetapi wanita terbabit gagal memberikan kerjasama kerana menguruskan orang tuanya di hospital.


“Suraya memaklumkan suami boleh mendapatkan maklumat melalui penjaga pos asrama, tetapi dia juga tidak perasan kerana ramai penghuni keluar dan masuk.



“Bagaimanapun, keesokan harinya, iaitu pada 11 Disember, Fatin menghubungi kami melalui SMS menyatakan dia menghadiri kuliah dan akan menghubungi mereka malam itu,” katanya.


Bagaimanapun, Fatin gagal menghubungi keluarganya seperti dijanjikan dan laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, kelmarin.


Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Fatin diminta menghubungi talian 016-7450173, 017- 7149384 atau balai polis berhampiran.
Reply

Use magic Report

Post time 22-12-2010 11:50 AM | Show all posts
metro

Petugas Plus jumpa mayat pemandu

      

KULAIJAYA: Rondaan rutin petugas Lebuh raya Utara Selatan (Plus) di Kilometer 43 menghala utara di sini, kelmarin membawa penemuan mayat lelaki dipercayai tercampak keluar dari kereta dipandunya yang terbabit kemalangan.

Petugas Plus mengesyaki berlaku perkara buruk apabila terlihat kereta Proton Wira remuk manakala pelbagai barangan berselerak di bawah bukit di tepi lebuh raya berkenaan.


Mereka kemudiannya turun untuk meninjau sebelum menemui mayat seorang lelaki tidak jauh dari Proton Wira berkenaan.


Ketika mengesahkan kejadian, pemangku Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Deputi Superintendan Kamil Sukarmi berkata kejadian berlaku jam 3 pagi dan mayat mangsa ditemui kira-kira tiga jam kemudian.


“Mangsa dikenali sebagai Wong Soon Faat, 48, kereta dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bawah bukit.


“Ketika itu, mangsa memandu seorang diri dan pemeriksaan mendapati dia maut akibat terhantuk pada objek keras sejurus tercampak keluar,” katanya, semalam.



Menurut Kamil, identiti mangsa pula diperoleh hasil semakan nombor pendaftaran Wira itu, keluarga Wong kemudiannya dimaklumkan berkaitan kejadian.
Reply

Use magic Report

Post time 22-12-2010 11:50 AM | Show all posts
metro

Belum terlambat rakam potret muka depan

      

KLUANG: Pengunjung Pameran Foto sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Harian Metro di Kluang Mall, di sini, yang terlepas peluang mengabadikan potret berlatarbelakangkan muka depan akhbar Harian Metro, masih berpeluang berbuat demikian, pada Sabtu dan Ahad ini.

Selain itu, pengunjung ke pameran diadakan di aras 2 kompleks beli-belah berkenaan juga masih boleh mendapatkan cenderahati Harian Metro.


Editor Foto Harian Metro merangkap Pengurus Tapak Pameran, Tun Izhar Tun Ishak berkata, pengunjung yang terlepas peluang merakam potret mereka atau membeli cenderahati eksklusif The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) pada Sabtu dan Ahad lalu, masih berpeluang mendapatkannya.


“Setakat Ahad lalu, lebih 200 individu serta pasangan sudah merakam potret mereka berlatarbelakangkan muka depan Harian Metro.


“Saya yakin, masih ramai pengunjung berminat merakam potret masing-masing di muka depan Harian Metro, justeru, saya harap mereka datang beramai-ramai pada Sabtu dan Ahad ini,” katanya.


Selain itu, Tun Izhar berkata, bayaran RM5 bagi setiap potret dirakam berpatutan dan sukar dilakukan di tempat lain kecuali pada pameran berkenaan.



Menurut beliau, selain itu, penganjur turut menyediakan beberapa acara lain seperti Pertandingan Fotografi yang menarik minat pelbagai lapisan masyarakat.


“Selain pertandingan mewarna, penganjur turut memberi peluang kepada pengunjung memenangi hadiah hebat melalui pertandingan itu,” katanya.
Reply

Use magic Report

Post time 22-12-2010 11:51 AM | Show all posts
metro

Bersesak di rumah hantu

      

KULAIJAYA: Sekumpulan 24 pelajar sebuah pusat kemahiran mendakwa bukan setakat terpaksa bersesak tinggal di rumah terbiar di Indahpura di sini, malah tidak menerima elaun RM350 sebulan seperti dijanjikan sejak beberapa bulan lalu.

Pusat kemahiran itu terletak di Muar manakala penuntut berkenaan kini menjalani latihan amali di beberapa syarikat swasta di daerah ini.


Seorang pelajar, Rizal Mohdin, 18, berkata kumpulan penuntut berkenaan dari Muar serta Melaka dan terpaksa bersesak di rumah dua tingkat itu.


“Lebih mengecewakan, setiap penuntut dikehendaki menghabiskan kursus 10 bulan iaitu lima bulan bagi tahap satu dan selebihnya untuk tahap dua tetapi sudah hampir sembilan bulan kami masih kekal di tahap satu.


“Sebelum memasuki pusat latihan itu, setiap penuntut tahap satu akan menerima elaun RM350 sebulan tetapi kami tidak menerima wang berkenaan sejak berbulan lalu, pihak pengurusan kolej terbabit kemudian memberikan kami RM50 selepas kami berkeras mahukan wang pendahuluan,” katanya, semalam.


Seorang lagi pelajar, Mohd Azizi Samsudin,18, berkata penginapan yang dijanjikan pihak pengurusan juga tidak seperti yang digembar-gemburkan.



“Kami terkejut apabila mendapati kediaman itu lebih teruk daripada rumah hantu kerana selain dipenuhi semak, ia juga kotor.


“Kami terpaksa mengemasnya malah melakukan penyambungan haram bagi mendapatkan bekalan air untuk kegunaan beberapa hari memandangkan meter air tidak disediakan,” katanya.


Mohd Yatim, 18, berkata langkah keselamatan juga tidak dititikberatkan pihak pengurusan kerana pada hari kedua menginap, rumah dipecah masuk mengakibatkan penuntut kehilangan beberapa barangan berharga.


“Kejadian berlaku pada waktu siang ketika kami keluar untuk menjalani latihan amali di Senai. Kami harap pihak pengurusan memandang serius perkara ini kerana mungkin berlaku perkara buruk lain jika langkah keselamatan lebih baik gagal dilaksanakan,” katanya.
Reply

Use magic Report

Post time 22-12-2010 11:59 AM | Show all posts
utusan

Jangan amal rasuah untuk kaya

Oleh HANIZA HASSAN
[email protected]


JOHOR BAHRU 21 Dis. - Semua pihak dinasihatkan tidak mengambil jalan pintas dengan mengamalkan rasuah untuk mengecapi kekayaan dalam masa yang singkat.

Sebaliknya, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, Simi Abduo Ghani berkata, kekayaan dan kesenangan boleh dikecapi hasil usaha gigih serta doa kepada Allah.

"Bersyukurlah dengan apa yang kita nikmati kini. Tidak salah mencari kesenangan tetapi biarlah ia mengikut landasan yang betul dan cara yang halal.

"Jangan kita pendekkan fikiran dengan mencari alternatif yang negatif sehingga terjebak dalam kancah rasuah. Hamba rasuah ialah orang yang tamak," katanya di hadapan 1,000 ketua jabatan dan kakitangan awam sempena Program Kolokium Pengukuhan Integriti Perkhidmatan Awam Johor, di sini semalam.

Program yang berkonsepkan seminar dan dialog itu dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Latiff Yusof.

Ia terbahagi kepada dua sesi iaitu pembentangan kertas kerja dan dialog meja bulat bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap tanggungjawab ketua jabatan dan kakitangan kerajaan bagi memerangi rasuah dalam kalangan penjawat awam.

Simi berkata, integriti yang bermaksud keutuhan peribadi yang tinggi perlu diterapkan di dalam kehidupan dan tugasan harian kerana ia akan mencerminkan keperibadian dan kecemerlangan sesebuah organisasi.

Beliau berkata, dengan adanya sikap integriti, ia akan merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan penduduk yang menolak rasuah dan menjadikan negara ini sifar rasuah.

"Perubahan demi perubahan perlu dilakukan daripada semasa ke semasa dan ia perlu bermula dalam diri sendiri. Ini adalah sifat yang sangat diperlukan dalam diri setiap insan," katanya.

Sementara itu, Abdul Latiff berkata, sikap integriti perlu disulami dengan nilai-nilai murni seperti jujur, ikhlas, sabar dan bertanggungjawab bagi kecemerlangan diri dan jabatan.

"Aspek integriti sangat relevan dalam transformasi Malaysia untuk menjadi negara maju. Malah ia boleh mewujudkan persekitaran kondusif untuk budaya kerja yang selesa," katanya.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 22-12-2010 12:00 PM | Show all posts
utusan...

Treler 'tersangkut' di Jambatan Sungai Tembioh
ORANG ramai melihat keadaan treler yang terperlus rodanya di lantai jambatan kayu Sungai Tembioh, Kota Tinggi.



KOTA TINGGI 21 Dis.



- Jambatan kayu yang uzur merentangi Sungai Tembioh di sini hampir runtuh apabila sebuah treler yang membawa muatan berat 'tersangkut' semasa melaluinya semalam.

Semasa kejadian, treler tersebut membawa batang cerucuk konkrit dan akibatnya, roda kenderaan itu 'terperosok' di lantai jambatan yang reput.

Ini menyebabkan treler tersebut menghalang kenderaan lain daripada melaluinya.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati struktur tiang kayu jambatan selebar empat meter itu telah uzur dan reput serta berisiko jika kenderaan berat melaluinya.

Kampung Tembioh yang terletak di pinggir bandar ini mempunyai 300 penduduk dan jambatan berkenaan merupakan satu-satunya laluan penghubung bagi penduduk untuk keluar masuk.

Menurut penduduk, jambatan kayu itu pada asalnya dibina oleh pengusaha sebuah kilang papan yang beroperasi di kampung berkenaan pada tahun 1960-an, namun kilang itu telah berpindah ke Jalan Mawai di sini sejak dua tahun lalu.

Pemandu treler, Shahrin Abdul Rahman, 48, memberitahu, dia diminta untuk menghantar cerucuk konkrit berkenaan untuk memudahkan kerja menanam cerucuk tapak jambatan baru di situ.

"Ketika memandu atas jambatan itu, treler itu menyenget ke kiri, saya turun untuk menyiasat dan mendapati kesemua 12 batang cerucuk itu telah terjatuh ke Sungai Tembioh yang menghubungi Sungai Johor di sini sebaik roda kiri treler itu termasuk ke lantai kayu jambatan," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Asiah Md. Ariff yang meninjau keadaan jambatan itu bersama ahli Majlis Daerah Kota Tinggi berkata, jambatan itu akan digantikan dengan sebuah jambatan konkrit selebar 11.9 meter yang dibina dengan kos RM1.7 juta Oktober lalu dan jangka siap Mei tahun depan.

Asiah berkata, sebelum ini terdapat satu papan tanda pemberitahuan kenderaan yang melebihi lima tan tidak dibenarkan melalui jambatan itu.

"Usaha mengalihkan treler itu dan kerja membaiki lantai jambatan sedang dijalankan bagi membolehkan penduduk meneruskan urusan harian mereka," katanya.
Reply

Use magic Report

Post time 22-12-2010 12:00 PM | Show all posts
utusan


Kesukaan anak tunggal kini jadi punca rezeki Lenny

JOHOR BAHRU 21 Dis. - Bermula dengan minat dan hobi, kini kerja sambilan itu memberi hasil lumayan kepada Azliani Abd. Aziz, 31, apabila ice blended ciptaannya berjaya menembusi pasaran komersial.

Menurut Azliani atau mesra dengan panggilan Lenny, semuanya bermula apabila anak tunggalnya yang kini berusia lapan tahun gemar minuman berkenaan.

Dia gemar memasak kemudian sering mencuba membuat ice blended sebagai minuman untuk anak kesayangan kerana sedar minuman itu agak mahal untuk dibeli selalu.

"Saya ini jenis suka mencuba terutamanya apabila makan sesuatu makanan baru. Macam itu jugalah dengan ice blended, selepas rasa, saya cuba buat ikut resipi sendiri dan suruh anak serta ibu mencuba.

"Perniagaan ini kemudian menjadi pilihan kerana saya lihat tidak ramai peniaga menjualnya, melainkan kedai minuman rangkaian besar yang menghasilkannya," katanya kepada Utusan Malaysia semasa menyertai Pameran Coklat Malaysia ke-3 di Danga City Mall, baru-baru ini.

Katanya, dia mula menjual ice blended ciptaannya sejak Jun lalu di Pasar Tani Wanita (PTW) di tapak Pasar Tani Mega Datin Halimah, Larkin dengan modal RM5,000.

Produk kegemaran ramai ciptaan Lenny itu dilabelkan di bawah jenama L.A Ice yang disasarkan kepada pelanggan berusia 12 hingga 40 tahun.

"Siapa saja boleh minum ice blended ini kerana ia bercita rasa tradisional dengan diberi nilai tambah serta dicampur sayur-sayuran dan buah-buahan.

"Antara ice blended jenama L.A Ice adalah collagen coklat smarties, tango mango, ice blended bubble' dan java chips..

''Dari semasa ke semasa saya akan cuba perbaiki resipi dan menambah yang baru," katanya ibu tunggal ini.

Dia yang mempunyai ijazah sarjana muda Sains Marin daripada sebuah universiti tempatan itu berhasrat meluaskan lagi perniagaannya ke seluruh negara dan sebagai langkah awal, dia sering mengikuti pameran yang dianjurkan oleh pelbagai pihak.

Menurutnya, pada waktu terdekat dia merancang membuka kedai di A-Mart Kempas dan sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat dalam perniagaan berkenaan.

Sementara itu, dua rakan baik, Zanida Ariffin, 40, dan Noridah Mohd. Dom, 37, yang turut menyertai pameran tersebut mempromosi produk coklat buatan tangan keluaran NZ Star Anise yang dihasilkan sejak dua tahun lalu.

"Semuanya bermula apabila kami sukar untuk mendapat bekalan coklat untuk dijadikan hamper. Dari situlah, saya mula belajar buat coklat dan mengikuti kursus di Lembaga Koko Malaysia.

"Hingga sekarang kami masih lagi mendapat bimbingan daripada Lembaga Koko Malaysia dan dari semasa ke semasa kami akan tampilkan paten baru mengikut permintaan semasa," katanya.
Reply

Use magic Report

Post time 22-12-2010 12:01 PM | Show all posts
utusan

Kobera anjur kursus buat makanan, baja

MERSING 21 Dis. - Koperasi Bela Rakyat Kawasan Endau Berhad (Kobera) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menganjurkan kursus Aplikasi Teknologi Bersama Komuniti di Kampung Semanyir, Endau, dekat sini kelmarin.

Perunding Might Meteor Advanced Manufacturing Sdn. Bhd., agensi di bawah MOSTI, Adnan Mohd. Yaacob berkata, kursus tersebut bertujuan memperkenalkan aplikasi bioteknologi untuk menghasilkan makanan ternakan dengan menggunakan sumber sedia ada.

Ia termasuklah batang jagung, jerami padi, najis haiwan dan sebagainya di kawasan masing-masing bagi mengurangkan kos pembelian makanan dan meningkatkan produktiviti.

"Penternak dan petani didedahkan dengan kemahiran membuat baja organik serta latihan amali dan demonstrasi cara-cara menghasilkan makanan haiwan tersebut selain mendengar ceramah," katanya sambil memberitahu seramai 54 orang menyertai kursus dua hari itu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Datuk Zainal Abidin yang merasmikan kursus tersebut berkata, program itu memberi banyak manfaat kepada petani yang selama ini bergantung kepada baja kimia dan makanan haiwan dalam pasaran yang semakin meningkat harganya.

Beliau berkata, dengan adanya teknologi dan kepakaran tersebut, para petani dan penternak dapat mengurangkan kos kerana bahan buangan itu dapat digunakan semula menjadi sumber makanan dan baja.
Reply

Use magic Report

Post time 22-12-2010 12:02 PM | Show all posts
utusan

50 penuntut melawat kanak-kanak istimewa


PENUNTUT Institut Hospitaliti Yayasan Pelajaran Johor gembira diberi peluang mengadakan lawatan ke Sekolah Kanak-Kanak Istimewa di Johor Bahru, baru-baru ini.



JOHOR BAHRU 21 Dis. - Seramai 50 penuntut Institut Hospitaliti Yayasan Pelajaran Johor (IHYPJ) mengadakan lawatan ke Sekolah Kanak-Kanak Istimewa di Jalan Gertak Merah, di sini, baru-baru ini.

Pengarah IHYPJ, Mohd. Asmadi Alias berkata, lawatan tersebut bertujuan mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara penuntut dengan pelajar sekolah berkenaan.

"Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang lawatan tersebut, antaranya gotong-royong membersihkan kawasan sekitar sekolah, mencantikkan lanskap dan membersihkan kolam renang.

"Kita berharap aktiviti seumpama ini dapat memberi pendedahan kepada penuntut untuk menabur bakti kepada golongan yang kurang berkemampuan," katanya di sini, hari ini.

Mohd. Asmadi berkata, pihaknya turut berbesar hati dan mengucapkan terima kasih apabila pengetua sekolah berkenaan, Md. Salleh Hassan yang sudi menerima lawatan itu.

Katanya, selain memberi fokus kepada akademik, warga IHYPJ juga amat prihatin untuk bersama-sama berbakti kepada masyarakat setempat khususnya golongan yang memerlukan.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-12-2024 05:30 AM GMT+8 , Processed in 0.210283 second(s), 27 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list