|
metro
Tragedi ke rumah kakak
MERSING: Kegembiraan Zainab Yaacob, 47, untuk bertemu kakaknya tidak kesampaian apabila maut selepas kereta Proton Wira dinaikinya dirempuh Toyota Camry yang hilang kawalan selepas terlanggar kerbau yang melintas jalan di Kilometer 8, Jalan Endau-Mersing di sini, malam kelmarin.
Lebih memilukan kemalangan pada jam 8.15 malam itu, berlaku hanya kira-kira 40 kilometer dari kediaman kakaknya di Taman Pantai. Kakaknya, Zaliha, 53, berkata, Zainab dalam perjalanan dari Kampung Teluk Pasu, Manir, Kuala Terengganu, Terengganu dan semua persediaan sudah dibuat menyambut adiknya itu.
“Kali terakhir kami bertemu pada Aidiladha lalu dan dia tidak menunjukkan perubahan sikap, malah gembira dan mengatakan akan datang ke sini untuk menziarah kami sekeluarga.
“Saya terkejut apabila dimaklumkan berkaitan kejadian tetapi reda dan menganggapnya sebagai ujian Tuhan,” katanya yang ditemui di Hospital Mersing.
Anak Zaliha, Muhammad Afizul, 19, yang memandu kereta Proton Wira berkenaan serta seorang anak saudaranya, Azzam Naim Farhan Aliah, 20, cedera parah di kepala serta muka dan kini dirawat di Hospital Mersing.
Zaliha berkata, Azzam yang menuntut di Insititut Latihan Perindustrian (ILP) Gong Badak, Kuala Trengganu pulang bercuti selepas tamat peperiksaan akhir.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintenden Mohd Nor Rasid berkata, pemandu Camry berusia 20 tahun itu hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.
“Jabatan Bomba dan Penyelamat dipanggil bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit yang mengambil masa kira-kira 15 minit,” katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
kosmo...
Pakar IT hina sultan ditahan
Oleh LUQMAN HAKIM AB. RAHIM
[email protected]
TIGA pegawai polis memeriksa barang-barang yang dirampas pada sidang akhbar
di Bukit Aman semalam.
KUALA LUMPUR – Selepas lima bulan pasukan khas polis memburu dalang yang mewujud dan mengendalikan akaun laman sosial Facebook dengan menyiarkan pelbagai komen menghina institusi diraja Johor, suspek yang licik itu akhirnya ditahan di Sentul di sini baru-baru ini.
Lelaki berusia 40 tahun itu dicekup di sebuah rumah sewa di Bandar Baru Sentul pada pagi 29 November lalu.
Suspek yang menggunakan alamat e-mel, [email protected] untuk akaun laman sosial itu telah memaparkan status dan komen-komen yang mempunyai unsur-unsur menghina institusi diraja Johor.
Turut dirampas dalam serbuan itu adalah lima telefon bimbit, gajet pembantu peribadi digital (PDA) pelbagai jenis, empat komputer riba dan perkakas komputer yang digunakan oleh suspek untuk menjalankan aktivitinya |
|
|
|
|
|
|
|
utusan
Judi komputer lumpuh
Oleh FARIK SALLEH
[email protected]
[img]Judi komputer lumpuh
Oleh FARIK SALLEH
[email protected]
Muhammad Shamsuddin dan anggotanya menunjukkan peralatan komputer digunakan untuk tujuan perjudian yang dirampas di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, baru-baru ini.
KOTA TINGGI 22 Dis. – Polis daerah ini harus diberi pujian kerana sentiasa peka dengan kegiatan tidak bermoral apabila berjaya melumpuhkan pusat judi berkomputer yang baru beroperasi kurang daripada seminggu.
Premis yang terletak di Taman Kota Jaya di sini diserbu sepasukan polis diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Asisten Supritendan Mohd. Hamizi Abdullah pukul 9 malam Jumaat lalu setelah membuat intipan di rumah kedai tersebut.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Muhammad Shamsuddin berkata, premis di aras bawah bangunan rumah kedai empat tingkat itu terletak berdekatan satu kawasan letak kenderaan.
“Ketika serbuan, terdapat lapan set komputer yang masih berfungsi dan lapan lelaki berusia 18 hingga 52 tahun berada dalam premis itu,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Bagaimanapun, kesemua lelaki tersebut dibebaskan setelah diambil keterangan masing-masing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini.
Muhammad berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 bagi setiap unit mesin judi atau penjara tidak melebihi lima tahun jika sabit kesalahan.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan judi atau aktiviti yang mencurigakan supaya memberi maklumat kepada pihak polis atau menghubungi IPD Kota Tinggi di talian 07-8837222.[/img]
Muhammad Shamsuddin dan anggotanya menunjukkan peralatan komputer digunakan untuk tujuan perjudian yang dirampas di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, baru-baru ini.
KOTA TINGGI 22 Dis. – Polis daerah ini harus diberi pujian kerana sentiasa peka dengan kegiatan tidak bermoral apabila berjaya melumpuhkan pusat judi berkomputer yang baru beroperasi kurang daripada seminggu.
Premis yang terletak di Taman Kota Jaya di sini diserbu sepasukan polis diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Asisten Supritendan Mohd. Hamizi Abdullah pukul 9 malam Jumaat lalu setelah membuat intipan di rumah kedai tersebut.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Muhammad Shamsuddin berkata, premis di aras bawah bangunan rumah kedai empat tingkat itu terletak berdekatan satu kawasan letak kenderaan.
“Ketika serbuan, terdapat lapan set komputer yang masih berfungsi dan lapan lelaki berusia 18 hingga 52 tahun berada dalam premis itu,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Bagaimanapun, kesemua lelaki tersebut dibebaskan setelah diambil keterangan masing-masing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini.
Muhammad berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 bagi setiap unit mesin judi atau penjara tidak melebihi lima tahun jika sabit kesalahan.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan judi atau aktiviti yang mencurigakan supaya memberi maklumat kepada pihak polis atau menghubungi IPD Kota Tinggi di talian 07-8837222. |
|
|
|
|
|
|
|
utusan
130 pelajar Orang Asli terima bantuan
NUSAJAYA 22 Dis. - Seramai 130 pelajar Orang Asli di Kampung Simpang Arang, Gelang Patah dekat sini menerima bantuan persekolahan sumbangan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).
Majlis penyampaian sumbangan 'Kembali ke Sekolah' kali keempat oleh PTP itu berlangsung di Dewan Serbaguna kampung berkenaan dan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Datuk Abdul Aziz Sapian.
Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Jabatan Hartanah dan Zon Bebas PTP, Md. Derick Basir berkata, sumbangan wang tunai, beg, pakaian dan peralatan sekolah itu merupakan salah satu tanggungjawab sosial pihaknya.
"Kita berharap dengan bantuan ini dapat meringankan beban perbelanjaan persekolahan yang ditanggung oleh ibu bapa Orang Asli di kampung ini.
"Bantuan itu juga diharap menjadi dorongan kepada para pelajar terbabit supaya terus berusaha gigih untuk berjaya dalam pelajaran masing-masing," katanya pada majlis itu hari ini.
Beliau berkata, selain bantuan persekolahan, pihaknya juga telah melaksanakan beberapa program yang membawa kepada penambahan ilmu bagi generasi muda di sekitar Gelang Patah seperti program motivasi bagi murid-murid yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Beliau berharap program tersebut memberi manfaat kepada pelajar terbabit kerana mereka merupakan pewaris kepimpinan negara pada masa depan.
Sementara itu, Abdul Aziz memuji langkah PTP menjalankan tanggungjawab sosialnya dan berharap lebih banyak agensi kerajaan dan swasta turut serta dalam program seumpama itu terutamanya bagi membantu golongan yang memerlukan.
Seorang penerima bantuan, Musa Mohd. Shah, 15, pelajar Sekolah Menengah Gelang Patah melahirkan perasaan gembira dengan bantuan persekolahan yang diterimanya.
"Dengan barangan persekolahan yang serba baru ini sedikit sebanyak dapat menaikkan semangat saya untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh," katanya.
Bagi suri rumah, Kembang Jah, 30, sumbangan itu amat bermakna bagi masyarakat Orang Asli di kawasan tersebut yang rata-rata hanya bekerja sebagai nelayan untuk menyara kehidupan keluarga. |
|
|
|
|
|
|
|
utusan
Ahli Rakan Cop digesa aktif salur maklumat salah laku jenayah
JOHOR BAHRU 22 Dis. - Orang ramai yang mendaftar sebagai ahli Rakan Cop di negeri ini digesa supaya terus menjadi mata dan telinga polis dengan menyalurkan maklumat mengenai sebarang salah laku jenayah di kawasan masing-masing.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, penyaluran maklumat oleh orang awam khususnya ahli Rakan Cop amat penting bagi membantu polis memerangi kegiatan jenayah.
Beliau berkata, sehingga kini dianggarkan lebih 38,000 ahli Rakan Cop berdaftar di seluruh negeri ini.
"Kita tidak mahu mereka ini hanya menjadi ahli Rakan Cop atas kertas semata-mata tetapi diam sahaja selepas itu.
"Apa yang kita mahu ialah mereka aktif menjadi mata dan telinga kepada polis supaya usaha polis bersama-sama masyarakat memerangi jenayah berjaya," katanya selepas menghadiri Majlis Penghargaan Rakan Cop Polis Johor di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini semalam.
Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong dan Ketua Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Samah Mat.
Mohd. Mokhtar berkata, pihaknya akan melaksanakan lebih banyak program yang melibatkan ahli Rakan Cop dan masyarakat setempat pada masa akan datang.
Pada majlis tersebut, juara enam kali Mr. Universe, Sazali Abdul Samad yang berpangkat Sarjan Mejar turut dilantik sebagai Ikon Rakan Cop Polis Johor.
Mohd. Mokhtar berkata, pelantikan Sazali diharap menjadi pendorong kepada lebih ramai masyarakat untuk menyertai Rakan Cop di negeri ini.
Selain itu, seramai 14 orang awam turut diberi penghargaan dengan menerima plak dan sijil atas sumbangan mereka membantu polis termasuk menyalurkan maklumat mengenai kes jenayah. |
|
|
|
|
|
|
|
utusan
Keseronokan aktiviti memancing
Oleh FARIK SALLEH
[email protected]
Aktiviti memancing bukan sahaja menyeronokkan tetapi mampu memupuk semangat kekeluargaan.
KOTA TINGGI 22 Dis. - Aktiviti memancing telah mengalami revolusi apabila pelbagai pihak sering mengadakan pertandingan kerana ramai yang meminatinya.
Seperti penganjur lain, UMNO Bahagian Kota Tinggi tidak ketinggalan menganjurkan pertandingan memancing buat julung-julung kalinya dengan menawarkan hadiah wang tunai lumayan di Jeti Teluk Sengat, dekat sini baru-baru ini.
Penyelaras pertandingan, Mohd. Fauzan Sahri berkata, seramai 147 kaki pancing menyertai pertandingan berkenaan yang kebanyakannya adalah penduduk di sekitar daerah ini.
Namun, ada beberapa peserta terdiri daripada kaki pancing dari Pontian dan Masai, Johor Bahru turut mencuba nasib dalam pertandingan yang dirasmikan Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi, Tan Sri Syed Hamid Albar yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi.
Mohd. Fauzan berkata, pertandingan itu bertujuan mempromosi dan menggalakkan aktiviti riadah dan sukan di kampung tersebut selain memajukan industri ekopelancongan perikanan yang boleh menyumbang kepada peningkatan ekonomi setempat, sekali gus mengeratkan hubungan antara peserta dan kaki pancing.
Sementara itu, Syed Hamid berkata, pertandingan itu merupakan salah satu aktiviti dalam Program Juara Rakyat yang diperkenalkan kerajaan dan hobi itu mampu mengeratkan lagi semangat kerjasama dan menguji kesabaran seseorang.
"Aktiviti memancing bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga memupuk semangat kekeluargaan dengan menghimpunkan mereka dalam satu aktiviti riadah yang meriah dan menyeronokkan," katanya.
Juara, Mohd. Nasra Sharif, 23, dari Felda Air Tawar 1, yang mula 'berjinak-jinak' menyertai pertandingan memancing sejak tahun lalu tidak menyangka berjaya memenangi tempat pertama setelah berjaya menaikkan ikan pari seberat 1.07 kilogram.
"Saya sering menyertai pertandingan memancing terutamanya di sekitar kawasan Kota Tinggi dan langsung tidak menduga tangkapan pari berkenaan memberikan hasil lumayan sebagai juara," katanya yang membawa pulang wang tunai RM1,000, televisyen LCD 24 inci dan hamper.
Dia yang bekerja sebagai tukang cat bangunan menggunakan umpan udang kopek dan mengambil masa kurang lima minit untuk menundukkan ikan pari berkenaan.
Tempat kedua dimenangi Alias Othman, 51, dari Kampung Teluk Sengat selepas menaikkan ikan baji seberat 0.32 kilo, manakala Mohd. Haikal Abd. Aziz, 18, dari Air Baloi, Pontian di tempat ketiga dengan tangkapan ikan duri seberat 0.3 kilo.
Alias dan Mohd. Haikal masing-masing membawa pulang wang tunai RM500 dan RM200 bersama hadiah iringan.
Sementara itu, seorang peserta, Suip Suradi, 61, dari Felda Air Tawar 3, memberitahu, aktiviti memancing memang menjadi hobinya sejak kecil dan tidak melepaskan peluang menyertai pertandingan yang diadakan jika berkesempatan.
"Apa yang pasti saya gembira menyertai pertandingan yang dianjurkan ini kerana dapat beriadah bersama keluarga dan anak cucu," katanya yang ditemani isterinya, Jamilah Anang, 59.
Mohd. Faizal Zainol, 21, pula berharap supaya pertandingan seperti itu diteruskan pada masa akan datang kerana ia dapat mempromosi dan memperkenalkan kampung mereka kepada pengunjung luar.
Peserta muda, M. Rajavikna, 10, berkata, selain seronok memancing, dia juga dapat berkenalan dan beramah mesra dengan peserta lain. |
|
|
|
|
|
|
|
utusan
Kg. Parit Sapran menang Anugerah Desa Cemerlang
PONTIAN 22 Dis. - Kampung Parit Sapran, Kayu Ara Pasong, dekat sini muncul johan Anugerah Desa Cemerlang (ADC) baru-baru ini.
Dengan kemenangan itu, kampung berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, manakala tempat kedua dimenangi Kampung Parit Satu, Sanglang yang meraih RM10,000 dan Kampung Parit Patah, Mukim Pontian di tempat ketiga (RM5,000).
Sebanyak lapan buah kampung menyertai pertandingan anjuran Pejabat Ahli Parlimen Pontian dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).
Hadiah kepada pemenang disampaikan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hassan Malek di Kampung Parit Mastar, Benut di sini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kawasan 2 Mukim Api-Api, Shahron Taib, 63, berkata, kejayaan Kampung Parit Sapran itu merupakan kemenangan 2,485 penduduknya.
Dengan slogan 'podo guyup' dalam bahasa Jawa yang bermaksud sama-sama basah membawa pengertian saling bekerjasama dan bermuafakat dalam menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Katanya, daripada 2,485 penduduk, terdapat 217 penduduk kaum Cina yang tinggal di Pekan Kayu Ara Pasong dan enam India serta kaum lain yang menjadikan kawasan tersebut unik dengan pelbagai kaum.
"Kampung ini juga merupakan kampung Gerakan Daya Wawasan (GDW) dan ini memberikan kami sedikit kelebihan dengan pengalaman yang dilalui sebelum ini," katanya.
Shahron berkata, hadiah kemenangan itu akan digunakan bagi menjayakan pelbagai aktiviti termasuk meningkatkan lagi keindahan dan keceriaan kampung di samping kegiatan yang akan dirancang selepas ini.
Bagi Setiausaha JKKK, Mahadi Saban, 53, kegiatan utama Kampung Parit Sapran adalah industri kecil dan sederhana (IKS) seperti membuat kuih-muih, makanan tradisional, kraf tangan daripada rotan dan daun getah.
Penduduk juga melibatkan diri dalam penternakan kambing dan lembu serta mengusahakan inap desa bagi pengunjung dan pelancong yang ingin menikmati suasana kampung tradisional.
"Kami bercadang menubuhkan koperasi desa bagi menjalankan pelbagai aktiviti ekonomi yang dapat memberikan manfaat untuk jangka masa panjang," ujarnya |
|
|
|
|
|
|
|
utusan
57 pekerja MPBP ikuti kursus keselamatan di tempat kerja
MERSING 22 Dis. - Seramai 57 kakitangan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) mengikuti Kursus Kecemerlangan, Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja selama tiga hari di Hotel Seri Malaysia di sini kelmarin.
Pembantu Tadbirnya, Noraini Baharon, 37, berkata, kursus itu bertujuan memberi pendedahan kepada warga kerja mengenai aspek keselamatan dan kesihatan serta menerapkan kecemerlangan dalam melaksanakan tugas harian yang dipertanggungjawabkan.
"Ia juga bagi mengenali punca kemalangan serta penyakit di tempat kerja dan kesannya," katanya sambil memberitahu bahawa peserta turut diberi kefahaman mengenai akta-akta yang diguna pakai, perancangan strategik MPBP dan tatatertib sebagai penjawat awam.
Seorang peserta, Jamat Jalil, 53, berkata, kursus itu juga untuk memantapkan keupayaan dan kapasiti organisasi bagi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan.
"Selain itu, ia juga memperkasakan tadbir urus organisasi dan pembudayaan nilai-nilai murni ke arah kecemerlangan organisasi," katanya.
Pembantu Am, Hairulanuar Bahar, 33, mengakui kursus itu dapat meningkatkan kualiti hidup bagi kemajuan dan kesejahteraan komuniti setempat.
"Saya berharap selepas mengikuti kursus ini, setiap peserta dapat mempraktikkan ilmu yang diperoleh di tempat kerja untuk meningkatkan lagi tahap kecekapan masing-masing dan sentiasa peka dengan aspek keselamatan dan kesihatan," katanya.
Bagi Norazam Salim, 41, sebagai pemandu, dia akan lebih bersemangat dan berhati-hati dalam menjalankan tugas hariannya selepas ini.
"Banyak yang telah saya pelajari dan semoga tugas sebagai pemandu akan menjadi lebih sempurna dan selamat dengan adanya ilmu ini," katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
berita harian
Haram pakai baju samai Santa Claus
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
2010/12/24
JOHOR BAHRU: Mufti Johor, Datuk Tahrir Shamsuddin menasihatkan umat Islam supaya tidak memakai pakaian atau perhiasan yang menyamai 'Santa Claus' kerana ia bercanggah dengan seruan Nabi Muhammad.
Katanya, kebanyakan umat Islam di negara ini tidak sedar dan kurang pengetahuan mengenai ilmu agama hingga menyebabkan mereka turut serta meraikan perayaan Krismas yang disambut penganut Kristian.
Setiap kali menjelang 25 Disember, ada antara orang Islam memakai pakaian itu. Bagi saya, hukumnya haram kerana ia boleh mempengaruhi dan memesongkan akidah seseorang Islam itu.
Baru-baru ini, saya ada menerima aduan daripada orang ramai yang prihatin mengenai perkara ini malah ada yang meluahkan perasaan sedih kerana ada segelintir masyarakat Islam sanggup berpakaian seperti Santa Claus, " katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.
Tahrir berkata, ada sesetengah masyarakat Islam yang bekerja di pusat beli - belah terpaksa memakai pakaian atau perhiasan berkenaan atas kehendak tugas.
Pihak atasan organisasi berkenaan seharusnya sedar dan sedia maklum mengenai sensitiviti masyarakat Islam. Mereka sebenarnya boleh mengarahkan pekerja lain dan sebagai contoh pekerja yang beragama Kristian untuk memakai pakaian terbabit, " katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
metro
Perbualan terakhir dengan suami
MERSING: “Abang berhenti makan di Endau, mungkin lambat balik kerana perjalanan masih jauh,” itu kata-kata terakhir pemandu treler, Saliman Sakip, 52, kepada isterinya, Laila Abd Kadir, 42, sejam sebelum dia maut dalam kemalangan di Jambatan Sungai Triang Besar, Kilometer 13, Endau, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, Saliman memandu lori membawa muatan besi dari Kuantan, Pahang untuk dihantar ke Batu Pahat sebelum terbabas dan merempuh penghadang jambatan.
Menurut Laila, dia tidak menyangka panggilan telefon itu perbualan terakhir dengan suami.
“Setiap kali berhenti rehat, suami menghubungi dan memaklumkan lokasi berkenaan. Saya tidak sangka kata-kata lambat balik itu petanda dia pergi selamanya.
“Saya reda dengan kejadian dan membesarkan lima anak berusia setahun hingga 20 tahun bersungguh-sungguh hingga berjaya dalam hidup seperti apa yang sering dimahukannya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Mersing, semalam.
Menurut Laila yang tinggal di Taman Berjaya, Yong Peng, dia dimaklumkan kemalangan itu pada jam 6 pagi semalam oleh polis trafik sebelum bergegas ke hospital bersama adik serta adik ipar.
Adik Laila, Zabedah, 33, berkata, seminggu sebelum kejadian, sikap Saliman berubah daripada seorang periang kepada pendiam.
“Perubahan itu ketara kerana abang yang gemar bergurau berubah sikap menjadi pendiam serta tidak banyak bercakap,” katanya.
“Kali terakhir berpisah, kami bersalaman tetapi abang tidak mahu bertentang mata dengan saya sebaliknya memalingkan wajahnya ke tempat lain. Dia tidak pernah berkelakuan seperti itu,” katanya.
Menurut Zabedah, dia rapat dengan abang iparnya itu dan arwah tidak pernah bersikap buruk malah menghormati semua orang walaupun mereka lebih muda daripadanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid, ketika dihubungi berkata, siasatan mendapati, sebaik tiba di lokasi kejadian, treler dipandu mangsa terbabas lalu merempuh penghadang jambatan menyebabkannya tersangkut di atas jambatan.
“Mangsa yang memandu seorang diri tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya.
Katanya, kren digunakan bagi menaikkan kenderaan terbabit yang mengambil masa hampir empat jam. |
|
|
|
|
|
|
|
metro
Dugaan si kembar
JOHOR BAHRU: “Walaupun terpaksa berjauhan dengan adik yang terpaksa mengambil ujian Penilaian Menengah Rendah (PMR) di hospital akibat disyaki menghidap denggi, kami berdua tetap saling berhubung dan memberi semangat,” kata seorang daripada kembar seiras yang meraih keputusan cemerlang 9A.
Ameera Budiono, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail menyifatkan kejayaannya anugerah tidak ternilai apatah lagi kenangan manis itu turut dikongsi bersama adik kembarnya Athirah yang turut meraih 9A.
“Dugaan berjauhan ketika menduduki PMR kenangan amat pahit buat kami berdua sedangkan sebelum ini semua perkara dilakukan bersama apatah lagi terpaksa berpisah ketika dia sakit,” katanya.
Sementara itu, Athirah berkata, dia bersyukur meskipun berdepan kepayahan ketika menduduki peperiksaan dalam keadaan tidak selesa, dia dapat menempuhnya dengan baik.
“Pada awalnya saya hampir berputus asa serta amat tertekan. “Bagaimanapun, saya semakin bersemangat apabila kakak dan keluarga sering memberi galakan.
“Kejayaan ini memang tidak dijangkakan dan ia berkat usaha kedua-dua orang tua saya yang tidak jemu mendoakan kami,” katanya.
Pasangan kembar yang berhasrat menjadi pensyarah itu berkata, sama seperti pelajar lain, selain menumpukan sepenuh perhatian dalam kelas dan menelaah pelajaran, mereka juga tidak mengabaikan solat serta sering berbincang dengan rakan.
SMK Sultan Ismail antara penerima anugerah Sekolah Cemerlang bagi kategori Sekolah Kawalan di Johor. |
|
|
|
|
|
|
|
utusan
Hasrat Hairul ke IKM terbantut
Oleh Zulhisham Isahak
[email protected]
AZMI Othman menunjukkan surat tawaran kemasukan IKM yang diterima anaknya, Hairul Anaz di rumahnya di Taman Cendana, Pasir Gudang, Johor, semalam.
JOHOR BAHRU 23 Dis. - Hasrat seorang remaja dari Taman Cendana, Pasir Gudang dekat sini untuk mengikuti latihan kemahiran mungkin hanya tinggal harapan akibat kemiskinan keluarga.
Tidak sampai tiga minggu lagi Hairul Anaz Azmi, 18, terpaksa mendapatkan wang kira-kira RM1,000 bagi membolehkannya mendaftar ke Institut Kemahiran Mara (IKM) di Kuala Lumpur.
Remaja itu yang menaruh harapan tinggi untuk mengikuti Sijil Kejuruteraan Mekanikal Pembuatan di institut itu memberitahu, bapanya tidak mampu menyediakan wang tersebut kerana tidak bekerja tambahan pula keluarganya miskin.
"Sepatutnya saya mendaftarkan diri pada 2 Januari ini tetapi minta ditangguhkan sehingga 10 Januari kerana tidak mampu membayar yuran pendaftaran masuk ke IKM tersebut.
"Kami tidak ada wang untuk membayarnya, tambahan pula saya hanya bekerja di sebuah kedai dengan gaji yang kecil," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Walaupun cita-citanya untuk menjadi anggota polis atau chef, tetapi apabila mendapat tawaran itu dia tidak berfikir panjang untuk menerimanya kerana yakin IKM mampu mengubah nasib keluarganya.
Lebih menyedihkan apabila bapanya, Azmi Othman, 57, dan ibunya, Sabiah Yatim, 50, yang uzur tidak mampu bekerja dan hanya tinggal di rumah.
Azmi berkata, dia masih menanggung Hairul dan seorang lagi anaknya yang masih bersekolah rendah dengan wang bantuan sebanyak RM400 sebulan daripada Baitulmal.
"Kehidupan kami amat susah. Kami hanya makan nasi berlauk telur dan ikan masin setiap hari.
"Saya juga tidak mampu membayar sewa rumah Projek Perumahan Rakyat yang kami diduduki ini lebih sembilan bulan," katanya yang menghidap asma, darah tinggi dan sakit kepala.
Bagi yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Hairul yang bernombor 101218347034 atau menghubunginya di talian 017-7781658 atau Azmi di 017-7318553. |
|
|
|
|
|
|
|
utusan
Pelajar dapat semua A meningkat
JOHOR BAHRU 23 Dis. - Seramai 3,575 atau 6.73 peratus pelajar di negeri ini berjaya memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010 yang diumumkan hari ini.
Jumlah tersebut meningkat sebanyak 0.61 peratus berbanding 6.12 peratus tahun lalu atau 3,308 calon yang mendapat keputusan cemerlang.
Pengarah Pelajaran negeri, Markom Giran berkata, pencapaian calon PMR tahun ini adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya.
"Ini berdasarkan kepada ukuran yang dibuat mengikut pencapaian keseluruhan berdasarkan Gred Purata Negeri (GPN) iaitu 2.74 berbanding 2.78 tahun lalu," katanya pada sidang akhbar mengumumkan keputusan PMR 2010 di Dewan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), di sini, hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 15 sekolah mencapai 100 peratus calon lulus berbanding 16 buah sekolah tahun lalu.
Antara sekolah yang berjaya mencapai keputusan lulus 100 peratus adalah Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru; Sekolah Menengah Sains (SMS) Johor, Kluang; SMS Kota Tinggi, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail dan Sekolah Seni di Johor Bahru. |
|
|
|
|
|
|
|
utusan
Pelajar rabun cemerlang
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]
Ting Kai Li mendapat keputusan 8A dalam PMR yang diumumkan di Dewan Perbadanan Produktiviti Malaysia, Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU 23 Dis. – Rabun teruk sejak dilahirkan bukan halangan untuk Ting Kai Li, 15, memperoleh 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010 yang diumumkan hari ini.
Pelajar Sekolah Menengah Perempuan Temenggong Ibrahim, Batu Pahat itu mendapat A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Sejarah, Geografi, Kemahiran Hidup, Matematik dan Sains.
Kai Li berkata, sejak memasuki sekolah menengah, dia berazam memperoleh keputusan terbaik bagi membuktikan kemampuannya bersaing dengan pelajar lain.
Menurutnya, selain memberi tumpuan semasa di dalam kelas, jadual ulang kaji juga memainkan peranan penting dalam memastikan setiap pelajaran dapat difahami sepenuhnya.
“Setiap hari saya akan mengulang kaji berdasarkan jadual yang dibuat mengikut kepentingan subjek yang dipelajari dan mata pelajaran kegemaran saya adalah Bahasa Inggeris.
“Saya gembira dengan pencapaian ini dan tidak pernah menyangka mendapat keputusan cemerlang ini. Ini semua hasil usaha gigih ibu bapa dan guru yang banyak memberi dorongan kepada saya,” katanya semasa ditemui di Dewan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di sini.
Kai Li yang menghadapi masalah rabun serius merupakan salah seorang penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Kategori Pelajar Pendidikan Khas (Bermasalah Penglihatan).
Anugerah tersebut disampaikan oleh Pengarah Pelajaran negeri, Markom Giran. Turut hadir ibu bapa Kai Li, Kelk Bong Chee dan Ting Chong Chai.
Seorang lagi pelajar cemerlang, Farah Raihanah Atan, 15, gembira diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Kategori Pelajar Pendidikan Khas (Bermasalah Fizikal) 2010 dengan memperoleh keputusan 4A, 3B dan 1D.
Farah Raihanah yang menghidap autisme sejak dilahirkan berkata, selain fokus semasa belajar di dalam kelas, dia menghabiskan sekurang-kurangnya 30 minit di perpustakaan setiap hari bagi memahami sepenuhnya apa yang dipelajari di dalam kelas pada hari itu.
Dia yang bercita-cita menjadi seorang penulis novel berkata, mata pelajaran kegemarannya adalah Sejarah dan Bahasa Inggeris.
“Setiap hari saya berada 30 minit hingga sejam setengah di perpustakaan untuk mengulang kaji pelajaran dan di rumah juga mempunyai jadual ulang kaji sendiri.
“Apabila ada masa lapang di rumah, saya gemar membaca novel berunsurkan sejarah,” katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
utusan
Gadis mangsa tikam, simbah asid berisiko buta
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
[email protected]
2010/12/25
NUR AIN ASHIKIN yang cedera parah akibat disimbah cuka getah masih dirawat di Hospital Sultan Ismail.
Penglihatan Nur Ain Ashikin terganggu akibat selaput terbentuk
JOHOR BAHRU: Mangsa tikaman 19 kali dan simbahan asid, Nur Ain Ashikin Jemedi, 17, mungkin hilang penglihatan berikutan kecederaan parah pada bahagian matanya.
Kakak mangsa, Suraidah Jemedi, 27, berkata dia dan keluarga dimaklumkan oleh doktor mengenai perkara itu, baru-baru ini selepas mata adiknya turut terkena simbahan cuka getah dalam kejadian malang di rumah keluarga mangsa di Kampung Sungai Redan, Ulu Tiram, dekat sini pada 16 Disember lalu.
“Apabila kami bertanyakan Nur Ain sama ada dia boleh melihat atau tidak, dia hanya menggelengkan kepala. Lebih merisaukan ialah doktor yang merawatnya turut memaklumkan perkara sama, tetapi masih terlalu awal untuk membuat sebarang rumusan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Katanya, dia dan keluarga tetap berharap Nur Ain dapat melihat semula dan keyakinan itu bertambah apabila doktor memberitahu keadaan penglihatan adiknya yang terganggu sekarang mungkin disebabkan lapisan selaput terbentuk pada matanya.
“Kami berharap tiada perkara buruk berlaku. Doktor juga kini memberi tumpuan merawat bahagian kulit melecur akibat terkena asid. Nur Ain juga baru menjalani pembedahan membuang kulit mati pada muka, bibir, tangan dan kakinya, Rabu lalu,” katanya.
Remaja berkenaan kini dilaporkan masih belum sedar selepas menjalani pembedahan itu tetapi dalam keadaan stabil dan menunggu untuk pembedahan seterusnya.
Dalam kejadian itu, Nur Ain yang mengandung enam bulan koma manakala kandungannya meninggal dunia selepas ditikam bertubi-tubi selain disimbah cuka getah oleh seorang lelaki berusia 42 tahun yang dipercayai berang selepas
cintanya ditolak mangsa. |
|
|
|
|
|
|
|
kosmo..
Rumah jadi makmal dadah
MOHAMAD NASIR (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di Muar semalam.
MUAR - Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM70,000 dalam serbuan di sebuah rumah yang dijadikan sebagai makmal dadah di Jalan Daud di sini awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, pada serbuan pukul 5.30 pagi itu, polis turut menahan dua suspek masing-masing berusia 25 dan 27 tahun.
"Polis juga merampas wang tunai berjumlah RM1,400 dan sebuah kereta Proton Perdana yang dilaporkan hilang di Larkin, Johor Bahru pada tahun 2008 di rumah berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Mohamad Nasir berkata, hasil pemeriksaan, polis menjumpai dadah jenis ekstasi, ketamin dan syabu serta peralatan-peralatan untuk memproses dadah.
Jelas beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, polis yakin sebanyak lima kes pecah kilang di sekitar daerah Muar berjaya diselesaikan dengan tertangkapnya lima warga negara Vietnam selepas menahan sebuah teksi pada satu sekatan polis di persimpangan lampu isyarat Bukit Pasir di sini kelmarin.
Mohamad Nasir berkata, dalam kejadian pukul 4.40 pagi itu, kesemua suspek yang berusia lingkungan 19 hingga 30 tahun cuba melarikan diri tetapi anggota polis berjaya memberkas mereka. |
|
|
|
|
|
|
|
metro
Geng Ali Baba tumpas
Oleh Sharifah Zulaikha Syed Amali
[email protected]
MUAR: Kegembiraan lima penjenayah warga Vietnam bergelar kumpulan Ali Baba yang baru selesai memecah masuk sebuah rumah tidak berpanjangan apabila ditahan polis beberapa kilometer dari premis berkenaan.
Mereka ditahan ketika menaiki teksi dengan membawa hasil curi itu untuk dibawa ke rumah sewa berdekatan Jalan Salleh di sini, kelmarin.
Polis menahan teksi yang membawa lima penumpang warga asing mencurigakan di persimpangan lampu isyarat dekat Sungai Terap, Bukit Pasir, di sini, kira-kira jam 4.40 pagi.
Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas kenderaan awam itu, suspek dipercayai cuba melarikan diri daripada polis, namun tindakan pantas anggota keselamatan itu berjaya menahan semua suspek terbabit.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Nasir Ramli berkata, hasil pemeriksaan, polis merampas beberapa perkakas yang digunakan suspek untuk melakukan jenayah.
Katanya, antara barangan dirampas dua mesin pemotong besi, mata pemotong besi, pemutar skru, spanar, gunting, penutup hidung, cermin mata plastik, pita pelekat dan sarung tangan getah yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah.
“Selain itu, kami juga merampas pelbagai barangan disyaki dicuri seperti pembesar suara dan set komputer yang diletakkan di ruang barang kenderaan itu,” katanya dalam sidang media, semalam.
Katanya, hasil siasatan mendapati semua suspek tiada dokumen perjalanan sah serta tidak mempunyai pekerjaan tetap sejak memasuki negara ini sembilan bulan lalu.
“Semua suspek berusia antara 19 hingga 32 tahun. Suspek yang berusia 32 tahun itu disyaki ketua kumpulan penjenayah bergelar Ali Baba yang bergiat aktif sejak September lalu,” katanya di sini.
Katanya, penahanan suspek menyelesaikan lima kes pecah masuk kilang yang dilaporkan di sekitar daerah ini.
Selain itu, katanya, hasil maklumat diberikan suspek, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Ria dekat Jalan Kim Kee yang didakwa menjadi sarang persembunyian serta markas kumpulan berkenaan. |
|
|
|
|
|
|
|
utusan
Geng pecah kilang warga Vietnam diberkas
MUAR 24 Dis. - Polis yakin berjaya menyelesaikan lima kes pecah kilang di sekitar daerah ini apabila memberkas lima warga Vietnam dalam satu sekatan di persimpangan lampu isyarat di Bukit Pasir di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 4.40 pagi itu, kesemua suspek yang berusia antara 19 hingga 30 tahun itu yang menaiki sebuah teksi cuba melarikan diri namun tindakan pantas polis berjaya menangkap mereka.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, kumpulan itu dipercayai terlibat dalam jenayah pecah kilang di daerah ini sejak tiga bulan lalu dan pemeriksaan mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.
"Bagaimanapun, pemandu teksi warga tempatan itu tidak ditahan, namun pemeriksaan dalam kenderaan tersebut menemui pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk melakukan jenayah antaranya dua mesin pemotong besi, gunting, pemutar skru, spanar, sarung tangan, penutup mulut dan cermin mata.
"Selepas soal siasat dibuat, suspek membawa pihak polis ke sebuah rumah di Taman Ria yang menjadi tempat simpanan barang samun merangkumi komponen komputer daripada kilang yang dicuri," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mohamad Nasir berkata, kesemua barangan tersebut dianggarkan bernilai RM20,000 dan kumpulan itu turut mengaku telah menyamun wang tunai sebanyak RM100,000 sepanjang tiga bulan lalu, namun kesemua wang itu telah habis dibelanjakan.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan pihaknya kini turut memburu beberapa lagi suspek yang masih lagi bebas, katanya.
Dalam serbuan di Taman Ria itu, polis juga menahan tujuh lagi warga Vietnam termasuk seorang wanita yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Dalam kes berasingan, Mohamad Nasir memberitahu, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM70,000 dalam serbuan di sebuah rumah yang dijadikan sebagai makmal di Jalan Daud di sini awal pagi ini.
Menurutnya, dalam serbuan pukul 5.30 pagi itu, pihaknya menahan dua lelaki berusia 25 dan 27 tahun selain merampas wang tunai berjumlah RM1,400 serta sebuah kereta Proton Perdana yang dilaporkan hilang di Larkin, Johor Bahru pada 2008.
"Setelah diperiksa, polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM70,000 yang merangkumi pil ekstasi, ketamin, syabu serta peralatan untuk memproses dadah," katanya sambil memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. |
|
|
|
|
|
|
|
utusan
Guna bas model baru latih pemandu
JOHOR BAHRU 24 Dis. - Institut memandu di negeri ini disaran menggunakan bas model baru yang berteknologi tinggi untuk pemandu menjalani latihan bagi mendapatkan lesen memandu kenderaan berkenaan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Mohd. Rosli Ramli berkata, pemilihan bas model baru yang berteknologi tersebut adalah bersesuaian dengan penggunaan bas sedia ada di negeri ini.
Beliau berkata, bas lama yang diguna untuk tujuan latihan terutamanya yang berusia lebih 30 tahun tidak lagi sesuai digunakan dan agak ketinggalan.
"Pada masa ini pengusaha syarikat bas didapati menyediakan perkhidmatan bas yang berteknologi tinggi untuk keselesaan penumpang. Malah sistem kawalan yang terdapat di dalam bas berkenaan juga canggih dan mengikut peredaran zaman.
"Sekiranya latihan memandu menggunakan bas lama, ia sedikit sebanyak akan mewujudkan suasana kurang selesa kepada pemandu," katanya ketika merasmikan sambutan Hari Apresiasi Institut Memandu Bunga Raya Sdn. Bhd. (IMBR) ke-2 dan pelancaran sistem maklum balas pelanggan (VOC) di sini semalam.
Turut hadir, Naib Pengerusi Persatuan Institut Memandu Malaysia, Sharum Salleh.
Pada majlis itu, seramai 30 pelatih yang berjaya mendapat lesen IMBR diberikan sijil penghargaan.
Mohd. Rosli berkata, institut memandu juga perlu mengadakan beberapa siri kursus bagi pemandu mengenai kelengkapan yang terdapat di dalam kenderaan tersebut.
"Ia bagi memudahkan pemandu bas terbabit mengendalikannya dengan baik dan selamat apabila membawa penumpang.
"Pihak syarikat bas juga disaran menghantar pemandu mereka menjalani latihan semula selaras dengan perkhidmatan bas yang disediakan," katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
metro
Pemuda mati tergantung
MUAR: Seorang lelaki ditemui mati tergantung di rumah sewanya di Jalan Arab di sini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, Ahmad Hanafi, 22, ditemui tergantung oleh abangnya yang tinggal serumah dengannya.
Abang mangsa, Mohamad Razif, 26, berkata kali terakhir dia berjumpa mangsa ialah sehari sebelum kejadian.
Katanya, perangai mangsa berubah sejak seminggu lalu dan gemar mengurung diri di dalam bilik.
“Pada hari kejadian, arwah seharian mengunci diri dalam bilik menyebabkan saya dan rakan serumah lain mula mengesyaki sesuatu yang buruk lalu bertindak mengetuk pintu malah cuba memecahkan dinding bilik tetapi tidak berjaya.
“Kami kemudian memanjat dinding bilik dari luar rumah dan terkejut selepas mendapati mangsa dalam keadaan tergantung,” katanya.
Menurutnya, dia kemudian memaklumkan kejadian itu kepada polis sebelum mayat mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|