Menurut seorang penduduk, Nicolas Ferrier, beliau menemui beg pakaian dan sebuah kerusi pesawat dipercayai jenis Boeing 777 itu pada Mei lalu, namun tidak terfikir barangan tersebut kemungkinan adalah daripada pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada Mac tahun lalu, sehinggalah penemuan komponen sayap, juga dipercayai daripada jet berkenaan pada Rabu lalu.
Ferrier berkata, pada mulanya beliau percaya, objek-objek itu merupakan ‘serpihan sampah’, namun kini percaya lebih banyak barangan kepunyaan pesawat itu yang hilang sejak Mac tahun lalu akan ditemui.
Ferrier sebagaimana dilaporkan Sunday Telegraph yang dipetik Mail Online berkata, tugasnya adalah untuk `mengutip sampah dan membakarnya’ termasuklah ketika dia mengesan sebuah kerusi berwarna biru dan beberapa beg pakaian di pantai berkenaan pada awal Mei lalu.
“Saya membakarnya,’’ kata Ferrier kepada akhbar itu, selain mendakwa pernah juga melihat komponen sayap pesawat terdampar di pantai.
Cerita Ferrier turut menyamai kisah seorang wanita yang memberitahu portal berita Zinfos974.com bahawa dia melihat komponen pesawat semasa sedang berjalan di sepanjang pantai di pulau terpencil berkenaan sebelum ini.
Dakwaan itu dibuat ketika bahagian sayap pesawat itu yang disahkan pihak berkuasa Malaysia adalah pesawat jenis Boeing 777 dan telah tiba di makmal di Toulouse di Perancis bagi pemeriksaan menyeluruh.
Ujian makmal ke atas serpihan itu jika didapati benar merupakan milik MH370, akan dapat merungkai lebih banyak maklumat tentang punca nahas pesawat itu, sama ada sepadan dengan letupan di udara atau terhempas di lautan.
Sementara itu, beberapa pegawai tambahan dari Malaysia sedang dalam perjalanan ke Perancis dan Pulau La Reunion untuk meneruskan siasatan.