|
Hodgson dalam dilema
HODGSON
LONDON – Liverpool terus dihimpit sengsara.Keadaan tersebut turut menghadirkan resah kepada pengurusnya, Roy Hodgson.
Kekalahan terus menyelubungi kelab dari Anfield itu, mengakibatkan mereka menghuni tangga kedua tercorot Liga Perdana England dengan enam mata.
Sejak Hodgson menerajui kelab yang mendapat jolokan The Reds itu, tiada keistimewaan yang ditonjolkannya kecuali kekalahan walaupun beraksi di gelanggang sendiri.
Paling memalukan ialah ketika mereka tewas 1-2 kepada pendatang baru liga, Blackpool di gelanggang sendiri awal bulan ini dan penyokong Liverpool tidak boleh menerima keputusan tersebut.
Ekoran itu, mereka mendesak agar Hodgson dipecat dan digantikan dengan Kenny Dalglish yang kini menerajui akademi pembangunan bola sepak Liverpool.
Terbaru, kelab itu tewas 0-2 kepada Everton dan situasi tersebut terus meresahkan penyokong mereka yang tidak mahu melihat Liverpool yang memiliki reputasi sebagai kelab elit jatuh ke liga bawahan.
Begitupun, pemilik baru kelab, John W Henry masih belum berani untuk mengambil sebarang tindakan sama ada untuk memecat Hodgson.
Namun, sumber dalaman kelab menjelaskan, khabar angin kini bertiup kencang bahawa Hodgson bakal menjadi pengurus pertama dipecat dalam saingan Liga Perdana England musim ini.
Kedudukan Liverpool sekarang juga merupakan yang terburuk dalam sejarah kelab berkenaan.
Meskipun mengetahui tentang khabar angin bahawa beliau bakal berdepan pemecatan, Hodgson, 63, belum panik, malah masih mampu tersenyum walaupun terus gagal membawa perubahan kepada kelab.
“Ini adalah cara permainan kami dan saya yakin lama-kelamaan ia akan membawa keputusan yang lebih baik kepada pasukan.
“Saya juga tidak menolak kemungkinan masalah dalaman yang berlaku sebelum ini serba sedikit telah menjejaskan prestasi kelab. Kini semuanya sudah berakhir dan saya yakin kami akan bangkit,” katanya.
Aksi hambar Liverpool pada perlawanan di Goodison Park itu turut disaksikan oleh pemilik baru mereka yang jelas kecewa dengan apa yang disaksikannya.
Namun, penyokong setia The Reds yang tidak mahu melihat pasukan mereka tersungkur terus mendesak agar Hodgson dipecat bagi membolehkan Dalglish, 59, menerajuinya. – Agensi |
|