Romisa berkata, terdahulu Allahyarham dipercayai keluar ke kebun yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah, kira-kira jam 8 pagi semalam tanpa memaklumkan kepada sesiapa.
Katanya, arwah lazimnya berjalan ke kebun pada jam 8 pagi dan akan pulang ke rumah sekitar jam 4 atau 5 petang setiap hari.
Dalam kejadian semalam, beliau memaklumkan bahawa ibunya, Fatimah Ibrahim, 55, keluar ke kenduri sebelum pulang kira-kira jam 11 pagi dan bertanyakan keberadaan arwah.
"Namun apabila ayah tidak pulang untuk solat Jumaat, adik saya terus ke kebun untuk mencarinya tetapi tidak jumpa. Justeru selepas solat maghrib, operasi mencari ayah dijalankan bersama penduduk kampung hingga jam 12 tengah malam.
"Kami juga membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu kira-kira jam 9 malam tadi berhubung kehilangan ayah," katanya.
Sementara itu Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, Zulhisham Mohamad Yusop, berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 1 pagi tadi lalu bergegas ke lokasi serta melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebelum mayat mangsa dijumpai orang awam kira-kira jam 7 pagi.
Beliau berkata, mangsa disyaki diserang sekumpulan gajah liar, dan disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu, Loo Kean Seong, ketika dihubungi pula meminta semua pihak bersabar serta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu sementara menunggu keputusan bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Zainul Mujahidin Mat Yudin, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Bulan lalu, NSTP pernah menemu bual Musa berhubung kebimbangannya akan kehadiran gajah liar yang didakwa merosakkan tanaman berhampiran rumah beliau.