Proses kiraan undi bagi menentukan siapa artis yang layak dalam senarai finalis 16 kategori dipertandingkan dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 rancak dilakukan di Balai Berita, di sini, berikutan semalam (6 Januari) adalah tarikh akhir penerimaan borang undian.
Semua borang yang diterima penganjur akan dikira sehingga Isnin ini sebelum senarai penuh finalis ABPBH 2011 bakal diumumkan pada sidang media, Rabu depan.
Borang pencalonan awal mula disiarkan menerusi akhbar Berita Harian dan Berita Minggu bermula 25 November hingga 30 Disember lalu yang memerlukan pembaca atau peminat melengkapkan tujuh borang undian dalam satu set sebelum dihantar kepada penganjur.
Seramai 12 petugas yang mengira undian ABPBH 2011 bertungkus lumus memastikan semua borang diterima dapat dikira menggunakan sistem komputer yang telus hingga Isnin ini membabitkan ribuan borang undi yang dihantar.
Turut sama meninjau semasa proses kiraan undi berlangsung semalam ialah Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2011 yang juga Pengarang Hiburan Berita Harian, Zainuri Misfar dan Penolong Setiausaha Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2011, Roshafizah Halim.
"Seperti kelaziman tahun sebelumnya, aliran peminat menghantar borang undian pada saat akhir sering berlaku. Sejak semalam dan dua hari sebelumnya kita menerima borang undian yang dihantar menerusi kelab peminat mereka.
"Semalam saja kita menerima tujuh kotak borang undian daripada peminat Tasha Shila dan beberapa artis lain pada saat akhir. Jadi, kedudukan lima artis yang meraih jumlah undian tertinggi kerap berubah dan tidak menentu dari sehari ke sehari.
"Ini bermakna peminat tak boleh selesa dengan apa yang sudah dilakukan terhadap undian untuk artis pilihan mereka," kata Zainuri.