Saya tahu batasan, tak bersentuhan dengan Sophia, Nelissa - Alif
KUALA LUMPUR: Artis versatil, Alif Satar menegaskan tidak berlaku sebarang sentuhan terhadap dua pelakon wanita, Sophia Albarakbah dan Nelissa Nizam ketika merakamkan video promosi filem terbaharunya, Reeza GTR, baru-baru ini. Alif berkata, dia tahu mengenai batas yang perlu dijaga terutama ketika bersama wanita bukan mahram. Malah, katanya, dua pelakon wanita terbabit juga maklum mengenai 'pantang larang' ditetapkannya. "Saya buat promosi filem Reeza GTR yang akan ditayangkan pada 17 Oktober ini.
"Saya sudah tahu apa batasan dan pelakon wanita itu juga tahu batas. "Mereka tahu perlu jarakkan diri walaupun saya tak suruh. Tapi pasukan pemasaran mungkin ada cara lebih baik untuk mempromosikannya," katanya ditemui selepas sesi rakaman Podcast Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36 di Balai Berita, Bangsar di sini, hari ini. Pelakon berusia 34 tahun itu menjelaskan, apa dilakukan adalah permintaan pasukan pemasaran filem berkenaan. "Saya cakap boleh buat, tapi jangan minta untuk saya lakukan lebih. Ramai orang mahu beri pendapat, tapi saya sendiri tahu batas apa yang perlu dijaga," katanya.
Terdahulu, video tarian Alif bersama Sophia dan Nelissa bagi mempromosikan filem Reeza GTR mengundang pelbagai reaksi netizen apabila tindakan aktor itu dianggap tidak selari dengan kempen 'Geng Subuh Macam Jumaat' digerakkan sejak tahun lalu. Malah, ada juga netizen menggesa Alif supaya kembali ke pangkal jalan termasuk memberi kata-kata sinis dan memerli tindakannya itu. Dalam pada itu, Alif berkata, kempen berkenaan tidak perlu dikaitkan dalam hal ini kerana sebagai manusia, dia tidak lari daripada melakukan kesilapan. "Kalau orang kaitkan dengan kempen Geng Subuh Macam Jumaat, itu memang tanggungjawab sebagai Muslim dan saya bangun pagi memang akan solat subuh. "Saya tak cakap bila buat kempen ini maka akan terlepas daripada kesilapan. Saya tak boleh anggap begitu. "Tapi, secara peribadi, saya tahu batas perlu dijaga. Kalau tengok betul-betul video, memang tak bersentuhan dan jarak antara kami jauh. Jadi, terpulang kepada mereka dengan pendapat masing-masing," katanya. Dalam perkembangan lain, Alif juga tercalon dalam lima kategori ABPBH 36 iaitu Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular bersama kumpulannya The Locos, Aktor Filem Popular dan Aktor TV Popular. Alif turut bolos senarai Top 20 kategori Couple Filem Popular bersama Amelia Henderson dan Couple Drama Popular yang menyaksikannya bergandingan dengan Wanna Ali. Menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67, ABPBH 36 mengangkat tema Teguh membawa mesej keutuhan, perpaduan dan solidariti dalam kalangan rakyat Malaysia. ABPBH 36 diinspirasikan CONBOO sebagai penaja utama.
https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2024/09/1305016/saya-tahu-batasan-tak-bersentuhan-dengan-sophia-nelissa-alif
|