Remaja perempuan hilang dari rumah di Maran ditemui selamat di Seremban
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai. - Foto PDRM
KUANTAN: Remaja perempuan 15 tahun yang dilaporkan hilang dari rumah di Kampung Paya Chedung, Maran pada Sabtu lalu, ditemui selamat di rumah rakannya di Seremban, Negeri Sembilan, kelmarin. Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai, berkata pelajar Tingkatan Tiga itu berjaya dikesan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) lbu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran pada jam 11 malam Rabu lalu. "Sebaik JSJ IPD Maran dapat maklumat kedudukan orang hilang ini berada di Seremban pada 13 November, pasukan terus ke sana dan mendapati mangsa berada dalam keadaan sihat. Dia bersama seorang rakannya yang berusia 18 tahun. "Pasukan JSJ membawa balik remaja perempuan berkenaan kira-kira jam 12.30 malam dan sampai ke rumah keluarganya dalam jam 3.30 pagi. Ibu mangsa turut membuat laporan polis mengesahkan anaknya telah selamat kembali," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Gimnasium dan Jamuan Deepavali Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang yang disempurnakan Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman. Katanya, remaja perempuan itu sebelum ini, menurut ibunya, pernah cuba melarikan diri dari rumah sebanyak dua kali kerana terpengaruh dengan rakan, namun gagal kerana berjaya dihalang keluarga. "Berdasarkan kenyataan ibunya, mangsa pernah cuba melarikan diri sebelum ini, cuma kali ini, remaja perempuan ini berjaya melarikan diri. "Kebanyakan kes hilang, biasanya kerana pengaruh kawan. Kalau tidak pun, disebabkan gaduh atau tidak bersefahaman dengan keluarga," katanya. Sehubungan itu, PDRM menasihatkan orang ramai sentiasa memberi perhatian kepada perubahan sikap dan tabiat serta rakan anak dengan meluangkan lebih masa berkomunikasi dengan mereka untuk mengelak kejadian lari dari rumah.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/11/1324228/remaja-perempuan-hilang-dari-rumah-di-maran-ditemui-selamat-di-seremban
|