|
Aisya mantapkan jalan cerita
Oleh Georgie Joseph
[email protected]
SELEPAS sambutan yang sangat memberangsangkan terhadap beberapa drama terbaiknya termasuklah Spa Q, Adam, Haryati, Mengejar Pelangi dan terbaru, DejaVu di Kinabalu, Global Station Sdn Bhd kini tampil mempertaruhkan Adam dan Hawa.
Istimewanya, siri drama 80 episod yang menggandingkan Aaron Aziz dan Nadiya Nissa itu mengadaptasi sebuah kisah daripada novel paling laris nukilan novelis tersohor, Aisya Sofea.
Mungkin bukan saja penangannya kuat pada barisan pelakon drama itu sendiri, pastinya bagi pembaca yang sudah membaca novel berkenaan, inilah masanya untuk melihat secara visual kisah penuh suka-duka itu.
Bukan saja menjalani peng-gambaran di lokasi tempatan, produksi GSSB nampaknya mengambil risiko untuk ke beberapa destinasi kegemaran termasuklah Madinah, Makkah dan Perth, Australia bagi peng-gambaran selama lima bulan.
Memperkuatkan lagi perjalanan cerita itu dilakon layar, penulis Adam dan Hawa, Aisya juga tidak ketinggalan untuk ke set bagi memantau dan memastikan karya asalnya tidak ‘terbabas’.
Menurut Penerbit Eksekutif GSSB, Zetty Adila Ramly, peranan Aisya sememangnya sangat diperlukan apalagi watak-watak dalam siri berkenaan harus mengikut idea asalnya.
“Tidak dinafikan, hanya Aisya yang dapat mendalami jiwa sebenar Adam dan Hawa, maka setiap inci pendapatnya adalah penting bagi memastikan sudut lakonan serta plot jalan cerita menjadi lebih hidup dan berkesan.
“Mungkin ada sedikit pengolahan yang dilakukan demi mencantikkan lagi babak, tetapi kami tidak mahu ianya lari daripada idea asal. Yang penting, ceritanya memang sama seperti dalam novel.
“Daripada segi penggambaran pula, antara cabaran besar yang kami hadapi adalah faktor cuaca dan sewaktu melakukan penggambaran di Arab Saudi serta Perth, ianya tidak menentu menyebabkan penggambaran kadang-kadang tergendala.
“Tetapi syukurlah, semua kru memang tidak pernah mengeluh dan memberikan yang terbaik sepanjang penggambaran. Jadi, cabaran-cabaran yang dihadapi tidaklah menjadi masalah terbesar buat kami,” katanya.
Adam dan Hawa mengisahkan dua insan disatukan dalam satu ikatan yang bukan dipinta mereka. Hanya kerana salah sangka dan berada di tempat kejadian yang salah, Ain Hawani akur dalam terpaksa diijabkabulkan dengan Adam Mukhriz.
Kenyataan yang baru saja berlaku masih lagi tidak dapat diterima Ain dan merasa takdir mempermainkan dirinya. Dia masih muda, masih jauh lagi perjalanannya untuk menikmati kehidupan, tetapi semua itu musnah kerana kini zaman solonya sudah berakhir.
Diarahkan Mohd Feroz Kader, siri drama meruntun kalbu itu tidak ketinggalan membariskan bakat-bakat baru termasuklah Anzalna Nasir, Elfaeza Ul Haq dan Dazrin Kamarudin.
Yang jelas, pergolakan ditonjolkan dalam siri ini bukan seperti kebiasaan kerana pada setiap episod, penonton bakal ditinggalkan dengan tanda tanya mengenai hubungan rumit Adam dan Ain.
Perkahwinan sekadar di atas kertas itu juga memaksa Ain melarikan diri daripada berhadapan realiti yang bukan dipintanya dan sekali gus meninggalkan Adam dalam keadaan ter-
pinga-pinga. Dua-duanya tidak salah namun apalah maksud ikatan itu sekiranya tiada cinta hadir dalam diri masing-masing terutama sekali Ain.
Sementelah Ain jauh membawa diri, Adam pula menghitung hari-hari nan sepi menantikan kepulangan isterinya itu. Dalam diam, dia sebenarnya rindu dengan Ain, namun akur dengan keputusan ‘isterinya’ itu yang masih terkejut dan tidak dapat menerima suratan itu.
Lapan tahun berlalu, bagaikan satu keajaiban, mereka dipertemukan di satu tempat yang tidak terduga, namun pertemuan itulah akan merubah segala-galanya.
Bagi Adam, inilah yang dinanti-nantikannya selama ini dan menganggap doanya termakbul manakala Ain sebaliknya terus membenci dan menganggap ikatan mereka sudah lama terputus.
Namun, pada masa sama, kerana pertemuan itu, perasaan Ain seperti diduga dan dia tiba-tiba gementar serta mula tidak keruan sejak bertemu Adam. Tetapi, keegoan mengatasi segalanya tatkala Ain sekeras-nya menidakkan perasaan yang dianggapnya cuma sementara itu.
Apakah kesudahan cinta agung antara dua insan ini dan benarkah takdir sudah menentukan mereka sememangnya ikatan itu adalah milik mereka? Jangan lupa saksikan episod pertama Adam dan Hawa di saluran Astro Mustika bermula 27 Ogos ini, jam 10 malam.
Credits: hmetro.com.my Last edited by achik2009 on 24-8-2012 10:13 AM
|
|